Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Pengumuman / Notis Kepada Syarikat Penerbangan Berhubung Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016

Notis Kepada Syarikat Penerbangan Berhubung Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016

8 Apr 2020

 

Industri penerbangan seluruh dunia telah terjejas teruk oleh pandemik COVID-19. Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Suruhanjaya) juga menyedari bahawa syarikat penerbangan telah menerima jumlah pertanyaan yang tinggi daripada pengguna yang ingin membuat perubahan kepada tempahan perjalanan atau mendapatkan pembayaran balik ke atas tempahan mereka. 

Disebabkan oleh situasi yang dialami oleh syarikat penerbangan ekoran daripada penularan wabak COVID-19 ini, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia telah menetapkan perkara -perkara seperti berikut:

(a) Lanjutan tempoh masa untuk penyelesaian aduan dan pembayaran balik
Seperti yang termaktub dalam perenggan 7A (4) dan 17 (4) kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC), syarikat penerbangan diberi tempoh selama 30 hari untuk membuat pembayaran balik dan menyelesaikan aduan yang diterima. Suruhanjaya dengan ini telah memberi lanjutan tempoh selama 60 hari kepada syarikat penerbangan untuk penyelesaian aduan dan bayaran balik dari tarikh penerimaan aduan atau tuntutan bayaran balik. Ini adalah terpakai bagi semua aduan dan tuntutan bayaran balik yang diterima dari 1 Februari 2020 hingga 30 September 2020.

Walau bagaimapun, syarikat penerbangan adalah digalakkan untuk menyelesaikan aduan dan membuat pembayaran balik dengan secepat dan sebaik mungkin.

(b) Pemberitahuan perubahan status penerbangan
Suruhanjaya juga mengetepikan keperluan untuk memaklumkan kepada penumpang dan orang awam tentang apa-apa perubahan status penerbangan seperti yang ditetapkan di bawah perenggan 8 MACPC. Ini adalah terpakai kepada syarikat penerbangan yang penerbangannya terjejas untuk tempoh 1 Februari 2020 hingga 30 September 2020. Walau bagaimanapun, syarikat penerbangan perlu berusaha memaklumkan pengguna tentang sebarang perubahan status penerbangan sebaik sahaja syarikat penerbangan mengetahui tentang perubahan tersebut.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi kami di enquiries@mavcom.my atau layari laman web kami di https://www.mavcom.my/bm/laman-utama/