Ruang Berita / Pengumuman / MAVCOM mengesahkan peletakan jawatan YBrs. Dr. Nungsari Ahmad Radhi dan menyambut baik Pelantikan YBhg. Datuk Seri Saripuddin Haji Kasim sebagai Pengerusi Eksekutif
MAVCOM mengesahkan peletakan jawatan YBrs. Dr. Nungsari Ahmad Radhi dan menyambut baik Pelantikan YBhg. Datuk Seri Saripuddin Haji Kasim sebagai Pengerusi Eksekutif
KUALA LUMPUR, 1 Mei 2020 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM atau Suruhanjaya) mengesahkan bahawa YBrs. Dr. Nungsari Ahmad Radhi telah meletakkan jawatan beliau sebagai Pengerusi Eksekutif MAVCOM pada 10 April 2020, iaitu hari jadi beliau yang ke-60. Beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif pada 1 Julai 2018, dan sebelum itu telah turut berkhidmat sebagai anggota Suruhanjaya semenjak penubuhan MAVCOM pada 1 Mac 2016.Â
Dr. Nungsari berpegang teguh kepada prinsip kebebasan dalam melaksanakan tugas sebagai pengawal selia ekonomi, bersesuaian dengan lunas dan landasan peruntukan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015. Beliau juga telah memainkan peranan utama dalam pelbagai pencapaian Suruhanjaya sehingga kini. Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Pengerusi Eksekutif, Suruhanjaya telah melangkah maju dalam segala usaha untuk mencapai matlamat pengawalseliaan bagi industri penerbangan, serta daya upayanya untuk memperkasakan MAVCOM sebagai sebuah institusi.Â
Seluruh warga MAVCOM amat berterima kasih kepada Dr. Nungsari di atas kepimpinan dan bimbingan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan beliau dengan MAVCOM. Juga jutaan terima kasih untuk segala khidmat bakti yang telah beliau curahkan kepada industri penerbangan dan negara selama ini.Â
Suruhanjaya juga menyambut baik pelantikan YBhg. Datuk Seri Saripuddin Haji Kasim sebagai Pengerusi Eksekutif MAVCOM, seperti yang diumumkan oleh YB Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong hari ini. Pelantikan YBhg. Datuk Seri Saripuddin oleh Perdana Menteri YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin, berkuat kuasa mulai 4 Mei 2020.Â
YBhg. Datuk Seri Saripuddin sebelum ini pernah menjadi anggota Suruhanjaya dari 1 Mac 2016 hingga 6 Januari 2019, semasa beliau berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha di Kementerian Pengangkutan. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia. Sebelum bersara wajib dari Perkhidmatan Awam Malaysia pada bulan November 2019, beliau telah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan. YBhg. Datuk Seri Saripuddin adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya, Diploma Lanjutan Pengurusan Awam dari Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan Korporat) dari University of Hartford, Connecticut, USA.