Ruang Berita / Pengumuman / Ulasan Kedua Mengenai Bantuan Kerajaan kepada Industri Penerbangan
Ulasan Kedua Mengenai Bantuan Kerajaan kepada Industri Penerbangan
BENTUK-BENTUK BANTUAN KERAJAAN KEPADA INDUSTRI PENERBANGAN
Pada minggu 27 April 2020, industri penerbangan seluruh dunia menyaksikan jumlah penumpang menjunam hampir 67 peratus berbanding tahun sebelumnya akibat daripada pandemik Covid-19. Kesan itu turut dirasai terutamanya di kalangan syarikat penerbangan, pengendali lapangan terbang dan pengendali darat yang mengalami kemerosotan hasil pendapatan dan aliran tunai yang terjejas. Bagi membantu industri penerbangan, pihak kerajaan di serata dunia telah menghulurkan pelbagai bentuk bantuan. Suruhanjaya Penerbangan Malaysia telah mengkaji bentuk-bentuk bantuan yang diberikan, merit dan cabaran setiap bantuan tersebut, serta mengetengahkan prinsip tadbiran yang baik melalui inisiatif bantuan kerajaan.
- Bantuan dan usaha keraajan menunjukkan kepentingan dan sifat strategik industri penerbangan. Pada tahun 2020, industri penerbangan dunia dijangka mengalami kerugian bernilai USD411.0 billion angkara wabak Covid-19. Impak kemerosotan industri ini telah mencetuskan keperluan bagi kerajaan untuk memberi bantuan dalam bentuk peruntukan yang bersesuaian. Bantuan ini menunjukkan kepentingan industri penerbangan dalam membantu menghubungkan warga dunia serta menjalankan aktiviti-aktiviti ekonomi yang penting. Antara bentuk bantuan kerajaan ialah penangguhan atau pelepasan bayaran fi, subsidi, pelaburan ekuiti, pinjaman dan sokongan laluan.
- Penangguhan atau pelepasan bayaran fi adalah suatu langkah meringankan beban masalah aliran tunai syarikat penerbangan. Walaupun penangguhan atau pengecualian bayaran fi serta pengenaan subsidi adalah bermanfaat dalam jangka masa pendek, pihak operator dan kerajaan mungkin mengalami masalah aliran tunai jika bantuan ini diteruskan dalam jangka masa yang panjang. Suruhanjaya menyokong pemberian subsidi khusus kepada pekerja, memandangkan subsidi tersebut bertujuan untuk melindungi mereka. Dalam hal ini, pihak yang bertanggungjawab harus memastikan bahawa impak daripada dana yang diberikan diterima oleh pihak yang sepatutnya.
- Pelaburan ekuiti atau instrumen ekuiti yang berkaitan membolehkan pengumpulan dana secara komersial, walaupun sesetengah kerajaan mungkin turut meletakkan syarat. Beberapa syarikat penerbangan telah mengumumkan penerbitan saham tambahan bagi mengumpul modal baru dari pemegang saham dan juga kerajaan. Selain itu, kaedah saham hybrid, option atau waran, yang membolehkan pemulangan modal di masa hadapan telah dilaksanakan dalam sesetangah pakej ransangan. Instrumen ekuiti yang ditawarkan oleh sesetengah kerajaan mempunyai beberapa syarat seperti syarikat harus mengekalkan tahap pekerjaan tanpa memotong gaji dan faedah pekerja. Di samping itu, syarikat harus mengehadkan pembelian balik saham, bayaran dividen dan pampasan eksekutif.
- Pegangan ekuiti mungkin menjejaskan dana awam dan mengakibatkan moral hazard. Bantuan kewangan langsung yang disalurkan kepada syarikat-syarikat biasanya dianggap sebagai bailout dari pihak kerajaan. Jika bantuan ini disalurkan tanpa kerangka yang jelas, ia boleh mengurangkan daya saing dan meningkatkan moral hazard jika disalurkan kepada pemain industri yang kedudukan kewangannya sudah sedia terjejas sebelum krisis ini. Dana awam juga boleh terjejas, sekaligus membebankan pembayar cukai dan mengalihkan dana dari sektor yang lebih memerlukan seperti sektor kesihatan dan pendidikan.
- Kerajaan boleh menawarkan jaminan terhadap pinjaman kepada syarikat penerbangan, samada secara menyeluruh atau separa. Sebagai alternatif, kerajaan boleh menawarkan jaminan pinjaman atau memberi pinjaman secara langsung kepada syarikat penerbangan. Instrumen ini biasa diberikan di bawah pakej ransangan kerajaan memandangkan peminjam mempunyai komitmen untuk membayar balik dana yang disalurkan dengan faedah. Seperti dana ekuiti, pinjaman kerajaan tidak boleh diberi secara bebas. Kerangka yang jelas dan prinsip yang nyata adalah penting untuk urusan ini.
- Sokongan laluan harus diutamakan bagi memastikan pemeliharaan laluan-laluan penting dalam usaha mengekalkan kesalinghubungan. Dari segi sokongan laluan, bantuan ini lebih berasaskan kepentingan sosioekononik berbanding keuntungan komersil, terutamanya di kawasan pedalaman yang terpencil. Di Malaysia, kerajaan terus menyokong operasi Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di Sabah dan Sarawak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Operasi ini adalah penting bagi menghubungkan komuniti terpencil.
- Sesetengah kerajaan tidak mahu memberi bantuan khusus kepada pemain industri penerbangan. Secara asasnya, sesetangah kerajaan, termasuk kerajaan Malaysia, telah menolak untuk memberi bantuan khusus kepada sesetangah pemain industri penerbangan hingga ke hari ini dan lebih fokus untuk memberi bantuan kepada semua sektor. Langkah ini adalah untuk mengurangkan kerugian kepada pembayar cukai dan memastikan tiada sektor yang diabaikan.
- Apa-apa bentuk bantuan kewangan yang diberikan oleh kerajaan haruslah berdasarkan kerangka yang jelas, prinsip yang nyata serta mempunyai objektif yang bermanfaat. Kerajaan perlu memastikan apa-apa bentuk bantuan kewangan yang disalurkan haruslah berdasarkan kerangka yang jelas, tidak bersifat diskriminasi dan harus mempunyai objektif yang nyata. Ia juga perlu berasaskan kepada prinsip ketelusan dan akauntabiliti. Kewujudan kerangka ini dalam apa-apa bantuan kewangan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia akan memastikan objektif ini dapat dicapai.
Ulasan sepenuhnya boleh didapati dalam bentuk PDF di sini.