Ruang Berita / Kenyataan Media / Permohonan Peruntukan Hak Trafik Udara Meningkat 233 Peratus pada Suku Tahun Keempat 2020
Permohonan Peruntukan Hak Trafik Udara Meningkat 233 Peratus pada Suku Tahun Keempat 2020
KUALA LUMPUR, 21 Januari 2021 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) hari ini telah mengeluarkan laporan peruntukan Hak Trafik Udara (ATR) bagi suku tahun keempat 2020. Laporan tersebut merangkumi peruntukan ATR oleh MAVCOM bagi sektor penerbangan awam di Malaysia bagi tempoh 1 Oktober hingga 31 Disember 2020.
Dalam tempoh tersebut, Suruhanjaya telah meluluskan 93 peratus daripada 43 permohonan ATR yang diterima. Sebanyak 14 ATR telah diluluskan untuk destinasi antarabangsa sementara baki 26 ATR lagi diluluskan untuk destinasi domestik. Ini menunjukkan bahawa kadar permohonan ATR telah meningkat sebanyak 233 peratus berbanding dengan 12 permohonan ATR yang diterima pada tempoh suku tahun sebelumnya. Peningkatan ini disebabkan oleh pertambahan permohonan untuk perkhidmatan kargo udara berjadual dan laluan domestik baru.
Daripada 40 peruntukan ATR yang diluluskan bagi tempoh suku tahun keempat 2020, 26 adalah bagi destinasi domestik dan 14 untuk destinasi antarabangsa. Kelulusan ATR untuk destinasi antarabangsa termasuk empat destinasi di negara China, dua untuk destinasi Eropah, dua untuk destinasi India dan selebihnya, enam ATR diluluskan untuk destinasi Asia yang lain.
Peruntukan ATR berdasarkan lapangan terbangan adalah seperti berikut: 17 peruntukan untuk penerbangan berasal dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KUL), enam dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB), lima peruntukan dari Lapangan Terbang Kota Kinabalu (BKI) dan juga 12 dari lapangan terbang domestik yang lain.
Perincian peruntukan ATR oleh syarikat penerbangan adalah seperti berikut: Malaysia Airlines Berhad (MAB) menerima kelulusan tertinggi sebanyak 11 ATR, diikuti oleh AirAsia Group yang menerima 10 ATR. MyJet Xpress Airlines Sdn. Bhd. pula menerima sembilan ATR, manakala Raya Airways Sdn. Bhd. menerima sebanyak enam ATR dan Fly Firefly Sdn. Bhd. menerima empat ATR.
Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim berkata, “Walaupun pemulihan industri penerbangan akan mengambil masa, namun demikian masih terdapat ruang untuk pertumbuhan daripada segmen kargo. Pihak kami dapat melihat segmen kargo berkembang seiring dengan keperluan logistik dan pemain industri tempatan mengambil peluang untuk memenuhi keperluan baru ini.”
“Sebagai pengawal selia ekonomi industri penerbangan, Suruhanjaya maklum akan cabaran yang dihadapi oleh syarikat penerbangan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. MAVCOM sedar akan keperluan untuk membantu syarikat penerbangan kembali beroperasi sepenuhnya. Justeru itu, berkuatkuasa 4 Jun 2020, Suruhanjaya telah memberikan penangguhan sementara syarat pembatalan ATR secara automatik jika ia tidak digunakan dalam tempoh enam bulan daripada tarikh kelulusan ATR. Penangguhan syarat tersebut adalah bertujuan untuk meringankan beban pentadbiran yang dihadapi serta membolehkan syarikat-syarikat penerbangan untuk terus memegang ATR sedia ada. Berikutan itu, tiada ATR yang tamat tempoh dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2020 dan pihak Suruhanjaya akan terus berusaha untuk membantu memulihkan semula industri penerbangan.”
Laporan Hak Trafik Udara dikeluarkan secara berkala dan maklumat tersebut boleh didapati di laman web MAVCOM di www.mavcom.my.