Ruang Berita / Pengumuman / Pembatalan Penerbangan Disebabkan Oleh Pandemik COVID-19
Pembatalan Penerbangan Disebabkan Oleh Pandemik COVID-19
Sekatan perjalanan antarabangsa dan domestik yang dikenakan akibat penularan pandemik COVID-19 telah mengakibatkan banyak pembatalan penerbangan. Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (“MAVCOM”) amat prihatin dengan pengguna yang terjejas akibat pandemik tersebut ekoran hal luar dari kebiasaan mengenai isu ini. Dalam mengimbangkan hak pengguna yang terjejas dan kelestarian industri penerbangan, MAVCOM akan terus melaksanakan tugas di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771] dan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016.
PEMBAYARAN BALIK KEPADA PENGGUNA YANG TERJEJAS OLEH SYARIKAT PENERBANGAN
Sekiranya penerbangan dibatalkan kerana sekatan yang dikenakan oleh kerajaan dengan niat untuk membendung penularan wabak COVID-19, syarikat penerbangan secara prinsipnya, perlu membayar balik amaun bersamaan dengan kos tiket pada masa pembelian termasuklah cukai, fi dan caj yang telah diperuntukkan di bawah mana-mana undang-undang tertulis, serta caj perkhidmatan pilihan yang telah dibeli oleh pengguna yang terjejas.
MAVCOM mengambil maklum bahawa kebanyakan syarikat penerbangan telah memenuhi permintaan bayaran balik kepada pengguna yang terjejas. MAVCOM menggalakkan semua syarikat penerbangan untuk terus berusaha bagi memenuhi keperluan bayaran balik kepada pengguna yang terjejas.
KAEDAH PEMBAYARAN BALIK
Syarikat penerbangan mestilah melaksanakan prinsip wajar dan adil dalam penentuan kaedah pembayaran balik kepada pengguna yang terjejas. Kaedah pembayaran balik mesti meletakkan pengguna terjejas di posisi, serta keadaan yang sama pada waktu pembelian tiket untuk kepentingan terbaik syarikat penerbangan dan juga pengguna yang telah terjejas.
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk kepada Soalan Lazim COVID-19 di sini.