Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Pengumuman / 100 Peratus Kelulusan bagi Permohonan Peruntukan Hak Trafik Udara pada Suku Pertama Tahun 2021

100 Peratus Kelulusan bagi Permohonan Peruntukan Hak Trafik Udara pada Suku Pertama Tahun 2021

19 Apr 2021

 

Pelaksanaan langkah-langkah bagi meringankan beban COVID-19 terhadap syarikat  penerbangan oleh MAVCOM

KUALA LUMPUR, 19 April 2021 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) baru-baru ini telah  mengeluarkan laporan peruntukan Hak Trafik Udara (ATR) bagi suku pertama tahun 2021. Laporan  tersebut merangkumi peruntukan ATR oleh MAVCOM bagi sektor penerbangan awam di Malaysia bagi  tempoh 1 Januari hingga 31 Mac 2021.  

Permohonan ATR pada suku pertama tahun ini mencatatkan kelulusan 100 peratus daripada  Suruhanjaya bagi 24 permohonan ATR yang diterima dari syarikat penerbangan Daripada jumlah  tersebut, 21 peruntukan ATR adalah bagi laluan penerbangan antarabangsa sementara baki bagi tiga  ATR lagi adalah untuk laluan penerbangan domestik. 

Kadar permohonan ATR telah berkurangan sebanyak 51.7 peratus berbanding dengan 43 permohonan  ATR bagi suku terakhir tahun 2020. Namun, bagi suku yang sama pada tahun lepas (Q12020),  permohonan ATR menampakkan kenaikan sebanyak 33.33 peratus dengan 18 permohonan  kesemuanya. 

MyJet Xpress Airlines Sdn. Bhd. telah menerima jumlah kelulusan ATR tertinggi dengan 12 daripada  kesemua 24 permohonan ATR yang diterima oleh MAVCOM pada suku pertama tahun 2020.  Manakala, Malaysia Airlines Berhad, AirAsia Group dan diikuti oleh Raya Airways Sdn. Bhd. menerima  enam, empat dan dua ATR masing-masingnya.  

Suku tahun pertama ini merupakan keadaan luar biasa di mana tiada ATR tamat tempoh telah  direkodkan berikutan dengan langkah-langkah yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya bagi meringankan  cabaran yang dihadapi oleh syarikat-syarikat penerbangan semasa wabak pandemik COVID-19. MAVCOM telah melonggarkan satu syarat ATR iaitu pembatalan secara automatik jika ia tidak  digunakan dalam tempoh enam bulan daripada tarikh kelulusannya, di mana kelonggaran tersebut  telah berkuatkuasa sejak 5 Jun 2020. Kelonggaran syarat ini adalah untuk memudahkan pentadbiran  dan pengawalan seliaan syarikat-syarikat penerbangan, termasuk membolehkan mereka untuk terus  memegang portfolio ATR sedia ada yang aktif. Ini juga menandakan suku tahun kedua berturut-turut tanpa sebarang ATR yang tamat tempoh. 

Walau bagaimanapun, kelonggaran syarat ini tidak tertakluk kepada ATR yang telah tamat tempoh dan  dibatalkan secara automatik, serta ATR untuk laluan penerbangan yang ditamatkan oleh syarikat  penerbangan atas dasar mereka sendiri.  

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim berkata, “Berikutan dengan impak  COVID-19, Suruhanjaya sedar dan akan terus menganalisa cabaran yang dihadapi oleh syarikat  penerbangan. Selain daripada itu, pihak kami sedia membantu dan menyokong pemulihan sektor  penerbangan dengan kelonggaran syarat ATR tersebut sehingga syarikat penerbangan kembali  beroperasi sepenuhnya. Suruhanjaya juga jelas melihat perkembangan segmen kargo yang sihat  seiring dengan keperluan logistik yang semakin meningkat. Ini menunjukkan ketangkasan dan daya  ketahanan sektor yang kuat dalam mengatasi kesan teruk pandemik sementara kita menantikan  perkembangan positif bagi sektor penerbangan negara.” 

Laporan Hak Trafik Udara dikeluarkan secara berkala dan maklumat lanjut boleh didapati di laman web MAVCOM di www.mavcom.my