Ruang Berita / Pengumuman / Trafik Penumpang Udara bagi Tahun 2021 Merosot antara 22.9 dan 29.1 Peratus Tahun ke Tahun
Trafik Penumpang Udara bagi Tahun 2021 Merosot antara 22.9 dan 29.1 Peratus Tahun ke Tahun
KUALA LUMPUR, 28 April 2021 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) hari ini menerbitkan ulasan mengenai trafik penumpang udara Malaysia bagi tahun 2021. Ulasan tersebut memperincikan semakan ramalan trafik penumpang udara MAVCOM yang susut serta cabaran yang sedang dihadapi oleh industri penerbangan dalam hala tuju pemulihan.
Dalam edisi Disember 2020 laporan industri, Waypoint, Suruhanjaya meramalkan bahawa trafik penumpang udara bagi tahun 2021 akan pulih antara 94.2 peratus dan 100.3 peratus tahun ke tahun bersamaan dengan 51.7 hingga 53.3 juta penumpang. Ramalan ini berpunca daripada pemulihan sektor penerbangan secara beransur-ansur akibat sekatan perjalanan antarabangsa yang dijangka diangkat pada tahun 2021.
Walau bagaimanapun, MAVCOM telah menyemak semula ramalan trafik penumpang udara tersebut disebabkan oleh peningkatan semula kes COVID-19 negara dan antarabangsa baru-baru ini. Suruhanjaya kini meramalkan penguncupan trafik penumpang antara 22.9 peratus dan 29.1 peratus tahun ke tahun, yang diterjemahkan kepada 18.9 hingga 20.6 juta penumpang.
Suku pertama tahun 2021 menyaksikan hanya 1.7 juta penumpang yang menggunakan perkhidmatan udara. Penurunan 91.1 peratus tahun ke tahun daripada 19.1 juta penumpang pada suku pertama tahun 2020 ini dapat menunjukkan jumlah trafik penumpang yang rendah bagi sepanjang tahun. Keperluan perjalanan udara turut terjejas akibat pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan perjalanan yang dijangkakan berkuatkuasa sepanjang tahun 2021. Selain daripada itu, ramalan Suruhanjaya juga mempertimbangkan faktor beban dan kapasiti tempat duduk untuk tahun ini.
Oleh kerana pasaran domestik menyumbang sebahagian besar daripada sektor penerbangan untuk separuh kedua tahun 2021, Suruhanjaya juga menjangkakan bahawa pasaran domestik akan terus menjadi pemacu utama dalam menghidupkan semula industri penerbangan. Ini termasuk dengan pandangan bahawa gelumbung perjalanan atau ‘travel bubble’ antara negeri-negeri PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih dibenarkan. Walau bagaimanapun, ramalan ini dibuat berdasarkan keadaan wabak COVID-19 yang sedang berlaku.
Industri penerbangan dijangka terus menghadapi kesan pandemik COVID-19 sambil ketidakpastian mengancam pemulihan.
Pada Februari 2021, kerajaan Malaysia telah melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara berfasa. Sebelum penularan wabak COVID-19, kebanyakkan pelancong udara terdiri daripada orang dewasa yang sihat. Pelaksanaan vaksin untuk orang dewasa yang sihat bakal dijalankan pada fasa terakhir, iaitu fasa ketiga yang akan berlangsung dari Mei 2021 hingga Februari 2022.
Malangnya, kelalaian dalam mematuhi langkah-langkah kesihatan awam juga boleh meningkat seiring dengan usaha pemvaksinan yang menyebabkan gelombang jangkitan baharu. Ini akan mengakibatkan pemulihan industri lebih lambat lagi.
Tambahan pula, pembatalan penerbangan kerana penutupan sempadan antara negeri dan antarabangsa pada tahun 2020 serta isu pembayaran balik dapat mempengaruhi kesediaan orang ramai untuk melakukan perjalanan udara. Pada separuh kedua tahun 2020, proses pembayaran balik, pembatalan penerbangan dan penjadualan semula penerbangan merupakan tiga aduan teratas yang dicatatkan oleh Suruhanjaya.
Selanjutnya, pembukaan semula sempadan antarabangsa negara adalah tertakluk kepada kelulusan Majlis Keselamatan Negara dan perkembangan terbaru COVID-19 tempatan serta negara-negara lain. Yang penting, pengesahan sijil vaksinasi dan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi kuarantin di seluruh dunia mesti dilaksanakan untuk pembukaan semula sempadan bagi memulakan perjalanan antarabangsa.
Malaysia sedang mengkaji pelaksanaan pas kesihatan digital yang diiktiraf di peringkat antarabangsa seperti Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA). Pas tersebut boleh memaklumkan kepada penumpang mengenai vaksin, ujian kesihatan serta langkah-langkah lain yang perlu diperhatikan sebelum melakukan perjalanan. Selain itu, pas itu juga membolehkan para pelancong untuk berkongsi hasil ujian kesihatan dan status vaksinasi mereka dengan cara yang selamat serta memudahkan lagi perjalanan selepas wabak pandemik COVID-19 dalam usaha untuk memacu pergerakan penumpang antarabangsa. Tambahan lagi, gelumbung perjalanan udara antara negara- negara zon hijau juga dapat meningkatkan trafik penumpang.
Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim berkata, “Dengan mengambil kira cabaran yang dihadapi oleh industri penerbangan, pihak Suruhanjaya telah menyemak semula ramalan trafik penumpang dan menjangkakan terdapat penurunan dalam trafik penumpang untuk tahun 2021. Faktor-faktor seperti jangka masa pelaksaanaan pemvaksinan, langkah-langkah kesihatan awam yang lebih ketat atau dilonggarkan serta pembukaan semula sempadan udara antarabangsa yang selamat dan perubahan permintaan untuk perjalanan udara akan terus mempengaruhi kepantasan pemulihan sektor ini. Justeru itu, MAVCOM akan terus memantau dan menilai perkembangan semasa industri penerbangan pada tahun ini dengan teliti. Suruhanjaya tetap akan berusaha untuk mengurangkan impak pandemik COVID-19 dengan menyokong pemulihan sektor penerbangan negara kembali ke tahap pra-pandemik.
Laporan Waypoint dikeluarkan setiap setengah tahun dan boleh didapati di laman web MAVCOM di www.mavcom.my. Laporan Waypoint edisi Disember 2020 boleh didapati dalam bentuk PDF di sini.
Kertas ulasan mengenai Semakan Ramalan Trafik Penumpang Udara 2021 Negara boleh didapati di pautan ini.