Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Pengumuman / MAVCOM Kekal Sokong Pemulihan Sektor Penerbangan Negara dengan Lanjutan Moratorium Hak Trafik Udara

MAVCOM Kekal Sokong Pemulihan Sektor Penerbangan Negara dengan Lanjutan Moratorium Hak Trafik Udara

13 Jul 2021

 

KUALA LUMPUR, 13 Julai 2021 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) terus membenarkan syarikat penerbangan mengekalkan portfolio Hak Trafik Udara (ATR) sedia ada tanpa menghadapi risiko tamat tempoh. Keputusan ini sejajar dengan usaha Suruhanjaya untuk menyokong pemain industri penerbangan yang teruk terjejas akibat pandemik COVID-19.

MAVCOM kekal dengan dasar melonggarkan satu daripada syarat ATR iaitu pembatalan secara automatik jika ia tidak digunakan dalam tempoh enam bulan daripada tarikh kelulusannya. Kelonggaran syarat ini telah berkuat kuasa sejak 5 Jun 2020 bagi memudahkan pentadbiran dan pengawalan seliaan syarikat-syarikat penerbangan, serta membolehkan mereka untuk mengekalkan portfolio ATR sedia ada yang aktif.

Bagi tempoh suku kedua tahun 2021 daripada 1 April sehingga 30 Jun 2021, Suruhanjaya telah meluluskan seratus peratus permohonan ATR. Sebanyak 10 permohonan ATR diterima, lima daripada jumlah tersebut diperuntukkan bagi laluan penerbangan antarabangsa dan selebihnya untuk laluan penerbangan domestik.

Kadar permohonan ATR pada suku kedua tahun ini mencatatkan penurunan sebanyak 58.3 peratus daripada suku pertama, serta pengurangan 11 peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2020.

Dari 10 permohonan ATR yang diluluskan, MyJet Xpress Airlines Sdn. Bhd. telah menerima jumlah kelulusan ATR tertinggi dengan tujuh ATR. Ini diikuti oleh AirAsia X, Malindo Airways Sdn. Bhd. dan World Cargo Airline Sdn. Bhd. yang menerima satu kelulusan ATR masing-masing. Justeru itu, World Cargo Airline Sdn. Bhd. merupakan pemegang Lesen Perkidmatan Udara (ASL) baharu untuk segmen kargo setelah Permit Perkhidmatan Udara (ASP) syarikat tersebut ditukarkan kepada ASL dan berkuat kuasa sejak 1 April 2021. ASL tertakluk kepada perkhidmatan penerbangan berjadual, manakala ASP adalah untuk perkhidmatan penerbangan tidak berjadual.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim berkata, “Sebagai pengawal selia komersial dan ekonomi bagi industri penerbangan, MAVCOM berpegang teguh pada komitmen untuk terus membantu pemain-pemain industri di waktu yang sangat mencabar ini. Keputusan melanjutkan moratorium ATR bagi syarikat-syarikat penerbangan membolehkan mereka bertahan pandemik dan menyokong usaha pemulihan untuk meneruskan perkhidmatan penuh dalam masa yang terdekat. Selain daripada menawarkan fleksibiliti tamat tempoh ATR, Suruhanjaya juga melanjutkan moratorium bagi penguatkuasaan Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan (QoS) serta Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).”

“Pada masa yang sama, pihak kami didorong oleh pertumbuhan segmen kargo yang kekal sihat. Perkembangan ini menggambarkan tahap ketahanan sektor yang kukuh dan kemampuan untuk bangkit semula yang meyakinkan. Ini menandakan masa depan yang cerah bagi industri penerbangan.”

Laporan Hak Trafik Udara dikeluarkan secara berkala dan maklumat lanjut boleh didapati di laman web MAVCOM di www.mavcom.my.

 

download

download

download

download

download

download

download

download

download

download

download