Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Pengumuman / MAVCOM Semak Semula Ramalan Trafik Penumpang Udara Bagi Tahun 2021

MAVCOM Semak Semula Ramalan Trafik Penumpang Udara Bagi Tahun 2021

26 Ogos, 2021

 

Tinjauan menunjukkan peningkatan jumlah operasi kargo di sebalik penguncupan pergerakan penumpang

 

KUALA LUMPUR, 26 Ogos 2021 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM atau Suruhanjaya) telah menerbitkan edisi kesembilan Laporan Industri Waypoint. Laporan tersebut memberi gambaran keseluruhan sektor penerbangan di Malaysia pada separuh pertama tahun 2021 dari sudut makroekonomi dan industri. Laporan Waypoint juga turut memperincikan struktur dan prestasi industri penerbangan, di samping prospek pemulihan industri pasca pandemik COVID-19.

Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara suku keempat tahun 2020 dan suku kedua tahun 2021, MAVCOM melaporkan bahawa jumlah trafik penumpang udara pada suku kedua tahun 2021 mencapai 1.3 juta, iaitu jumlah yang terendah sejak suku kedua tahun 2020, yang menyaksikan hanya 0.8 juta penumpang udara. Ini menunjukkan pertumbuhan sebanyak 62.0 peratus tahun ke tahun disebabkan kesan asas yang rendah (low base effect). Walaupun terdapat penurunan dalam jumlah trafik penumpang udara, penerbangan jarak pendek domestik dijangka meningkat berikutan kelonggaran sekatan pergerakan bagi penumpang yang telah menerima suntikan dos vaksin yang lengkap.

MAVCOM telah menyemak semula ramalan bagi trafik penumpang udara pada tahun 2021 dengan mempertimbangkan faktor muatan yang lebih rendah serta tempoh pemulihan kapasiti tempat duduk yang lebih lama oleh syarikat-syarikat penerbangan. Kini, Suruhanjaya menjangkakan penguncupan trafik penumpang udara antara 77.0 peratus dan 80.2 peratus tahun ke tahun, yang diterjemahkan kepada 5.3 juta hingga 6.1 juta penumpang. Ramalan ini adalah lebih rendah berbanding ramalan Suruhanjaya pada bulan April 2021 iaitu sebanyak 18.9 juta hingga 20.6 juta penumpang.

Walaupun terdapat penyusutan jumlah trafik penumpang udara, Suruhanjaya mendapati bahawa jumlah kargo Malaysia meningkat sebanyak 80.4 peratus tahun ke tahun pada suku kedua tahun 2021, ekoran permintaan yang tinggi terhadap vaksin, peralatan perubatan, peralatan pelindung diri, komponen elektrik dan elektronik (E&E) serta pertumbuhan kukuh yang dilihat dalam industri e-dagang. MAVCOM meramalkan jumlah trafik kargo udara pada tahun 2021 akan meningkat antara 26.5 peratus dan 28.2 peratus tahun ke tahun dan pulih kembali ke tahap sebelum krisis.

Walaupun penularan wabak COVID-19 masih tinggi, MAVCOM melaporkan bahawa pemain-pemain utama kargo di Malaysia telah menambah laluan udara. Ini menunjukkan terdapat kemungkinan peningkatan jumlah operasi kargo Malaysia dalam masa terdekat. World Cargo Airline (WCA) juga telah menaiktaraf lesen mereka dari Permit Perkhidmatan Udara (ASP) kepada Lesen Perkhidmatan Udara (ASL).**

Setakat 30 Jun 2021, MAVCOM telah meluluskan 100 peratus daripada 34 permohonan Hak Trafik Udara (ATR) yang diterima pada separuh pertama tahun 2021. Ini menunjukkan peningkatan sebayak 25.9 peratus tahun ke tahun, berbanding dengan 27 permohonan ATR pada separuh tahun 2020. 26 peruntukan ATR telah diluluskan bagi laluan antarabangsa dengan peruntukan terbesar sebanyak 38.2 peratus pada separuh tahun 2021, diberi untuk laluan-laluan ke China. Ini diikuti dengan peruntukan masing-masing sebanyak 23.5 peratus yang diberi untuk laluan domestik dan rantau ASEAN. Separuh tahun pertama 2021 juga menandakan separuh tahun kedua yang berturut-turut tanpa tamatnya mana-mana portfolio ATR syarikat penerbangan. Ini berikutan keputusan MAVCOM untuk meringankan beban syarikat penerbangan yang membatalkan ATR secara automatik sekiranya ia tidak digunakan dalam tempoh enam bulan dari tarikh kelulusan.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim berkata, “Industri penerbangan masih merupakan industri yang paling teruk terjejas susulan impak penularan wabak COVID-19. Walaupun trend masa hadapan menunjukkan kemungkinan peningkatan penerbangan domestik, tatkala negara kita semakin dekat mencapai imuniti kelompok, dan sekatan perjalanan dilonggarkan bagi penumpang yang telah diberi dos suntikan vaksin yang lengkap, kadar pemulihan sektor ini tetap tidak menentu. Melangkaui isu penularan wabak ini, MAVCOM sedang bekerja keras berunding dengan pemain-pemain industri, untuk bersedia menghadapi lonjakan sektor penerbangan. Ini amat penting bagi semua pihak berkepentingan untuk bersiap sedia bagi pasaran baharu yang akan didominasi oleh pelancong yang sensitif terhadap harga. Sehubungan dengan itu, Suruhanjaya berharap bahawa pengurangan dan pembendungan kos menjadi keutamaan bagi syarikat penerbangan dan juga pengendali lapangan terbang.”

Laporan Waypoint dikeluarkan setiap setengah tahun dan boleh didapati dalam bentuk PDF di sini.

** Ralat: Raya Airways telah dikeluarkan dari kenyataan ini kerana ia merupakan Pemegang ASL sedia ada.