Ruang Berita / Pengumuman / MAVCOM Meluluskan Percantuman Berkaitan Persaingan Pertama di Malaysia
MAVCOM Meluluskan Percantuman Berkaitan Persaingan Pertama di Malaysia
Percantuman Korean Air Lines – Asiana Airlines Akan Membawa Kepada Manfaat-manfaat Penting
KUALA LUMPUR, 9 September 2021 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM atau Suruhanjaya) hari ini mengumumkan bahawa percantuman antara Korean Air Lines Co, Ltd. (Korean Air Lines) dan Asiana Airlines, Inc. (Asiana Airlines) telah diluluskan.
Oleh kerana percantuman tersebut melibatkan perkhidmatan penumpang udara antara Korea Selatan dan Malaysia, Korean Air Lines dan Asiana Airlines telah mengemukakan Notis Sukarela dan Permohonan Percantuman Jangkaan kepada MAVCOM pada 19 Mac 2021. Percantuman yang dijangkakan tersebut juga ditakrifkan sebagai ‘pertahanan firma yang gagal’ atau ‘failing firm defence’. Hal ini demikian kerana Asiana Airlines telah mengalami masalah kewangan untuk tempoh sekian lama dan tidak dapat dipulihkan kecuali dengan percantuman yang dijangkakan.
Setelah meneliti permohonan tersebut, MAVCOM telah memutuskan bahawa percantuman tersebut tidak melanggar larangan di bawah Seksyen 54, Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771], yang melarang sebarang percantuman yang akan mengakibatkan Pengurangan Persaingan yang Substantial atau Substantial Lessening of Competition (SLC) dalam industri penerbangan. Keputusan yang dibuat oleh Suruhanjaya ini merupakan kes percantuman pertama berkaitan persaingan yang dianalisis oleh mana-mana pihak berkuasa persaingan atau pengawal selia sektor di Malaysia.
Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim berkata, “Sejak penubuhan MAVCOM pada tahun 2016, Suruhanjaya berdiri teguh sebagai pengawal selia urusan ekonomi dan pengguna industri perkhidmatan penerbangan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Sebagai satu-satunya pengawal selia sektor di Malaysia yang berfungsi membuat keputusan mengenai hal-hal jangkaan percantuman dan percantuman berkaitan persaingan, kelulusan yang diberi untuk percantuman antara Korean Air Lines dan Asiana Airlines ini telah mempertimbangkan sepenuhnya maklumat dan maklum balas yang dikemukakan oleh semua pihak serta penyelidikan dan analisis Suruhanjaya sendiri. Keputusan percantuman ini menunjukkan bahawa Bahagian VII: Persaingan Akta 771 setaraf dengan undang-undang persaingan antarabangsa, serta kemampuan dan kebolehupayaan MAVCOM dalam melaksanakan analisis persaingan percantuman yang relevan untuk memastikan perlindungan dan perkembangan industri penerbangan Malaysia yang berterusan.”
Dalam Keputusan Akhir tersebut, Suruhanjaya menyimpulkan bahawa penguasaan pasaran selepas percantuman Korea Air Lines dan Asiana Airlines bagi satu laluan penerbangan terus antara Seoul, Korea Selatan dan Kota Kinabalu, Malaysia akan menjadi lebih tinggi. Walaubagaimanapun, percantuman tersebut tidak akan mengakibatkan sebarang kesan unilateral atau menjadi penghalang bagi kemasukan dan pengembangan pasaran-pasaran berkaitan. Suruhanjaya juga menyatakan bahawa para penumpang dapat menggunakan kuasa timbal balas pembeli atau “countervailing buyer power” terhadap syarikat-syarikat penerbangan tersebut disebabkan peningkatan agensi pelancongan dalam talian serta pengawalseliaan ketat oleh Ministry of Land, Infrastructure and Transport of South Korea (MOLIT), yang menghalang pihak-pihak yang bercantum daripada menaikkan harga tambang dengan ketara.
Selain itu, MAVCOM mendapati bahawa percantuman tersebut akan menghasilkan kecekapan ekonomi dan faedah sosial yang signifikan, seperti peningkatan taraf keselamatan, pengurangan kos latihan, serta kecekapan yang berkaitan dengan penyelenggaraan, pembaikan, dan baik pulih (MRO).
Keputusan Akhir Suruhanjaya mengenai kelulusan permohonan percantuman tersebut boleh didapati di pautan ini.