Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Kenyataan Media / Keyakinan Penumpang untuk Melancong Semakin Meningkat

Keyakinan Penumpang untuk Melancong Semakin Meningkat

1 Oktober, 2021

 

60 peratus penumpang penerbangan di Malaysia yang ditinjau menantikan perjalanan udara domestik

 

KUALA LUMPUR, 1 Oktober 2021 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM atau Suruhanjaya) pada hari ini telah menerbitkan hasil Tinjauan Pengguna untuk mengenalpasti harapan dan jangkaan penumpang penerbangan mengenai perjalanan udara selepas penularan wabak COVID-19. Tinjauan tersebut telah dilaksanakan di antara bulan Februari dan Mei 2021 dan melibatkan responden-responden dari Malaysia yang telah menaiki penerbangan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 12 bulan sebelum tinjauan tersebut dijalankan dan bersedia untuk menaiki penerbangan dalam tempoh 12 bulan ke hadapan.

Tinjauan Suruhanjaya yang dikendalikan oleh NielsenIQ, menunjukkan peningkatan dalam jangkaan dan harapan terhadap perjalanan udara, di mana 60 peratus daripada 1,000 responden telah menyatakan harapan mereka untuk melakukan perjalanan udara ke destinasi dalam negara. Antara sebab yang dinyatakan bagi pilihan perjalanan udara domestik termasuklah kos perjalanan yang lebih rendah, risiko pendedahan yang tinggi terhadap COVID-19 sekiranya melakukan perjalanan udara ke destinasi antarabangsa serta responden-responden yang tinggal bersama ahli keluarga yang berisiko tinggi.

Responden yang selebihnya iaitu sebanyak 40 peratus memilih perjalanan udara ke destinasi antarabangsa. 72 peratus daripada responden tersebut memberi pertimbangan untuk mengunjungi destinasi-destinasi di Asia, dengan tiga negara pilihan teratas merupakan Jepun, China dan Korea Selatan.

Hasil tinjauan menunjukkan bahawa titik sentuh (touchpoints) perjalanan utama di lapangan terbang perlu direka semula untuk merangkumi langkah-langkah bagi pengawalan khalayak ramai dan penjarakan sosial, sanitasi berkala, serta penyediaan kemudahan tanpa sentuh. Tinjauan tersebut juga menekankan bahawa penggunaan teknologi digital seperti dokumen perjalanan tanpa kertas dan kemudahan e-pembayaran, antara lain, adalah beberapa perkara yang dijangka dan menjadi harapan pengguna.

Di samping itu, tinjauan tersebut menegaskan bahawa penguatkuasaan SOP COVID-19 dalam mewujudkan pengalaman perjalanan dari mula hingga akhir yang selamat amat diperlukan untuk meningkatkan keyakinan penumpang penerbangan.

Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim, Pengerusi Eksekutif MAVCOM mengatakan, “Walaupun penumpang penerbangan di Malaysia masih berwaspada dengan keadaan penularan wabak yang tidak menentu dan kekal berhati-hati untuk mengelak jangkitan COVID-19, hasil tinjauan ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia tidak sabar untuk melakukan perjalanan udara dalam sektor domestik dan antarabangsa. Dengan penemuan kajian ini, Suruhanjaya berharap para pemain industri yang relevan akan berusaha untuk terus berwaspada dan membuat penambahbaikan yang sewajarnya di titik-titik utama perjalanan udara untuk menambah keyakinan masyarakat, selari dengan usaha kita untuk melangkah lebih jauh ke arah pembukaan sektor penerbangan.”