Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Kenyataan Media / Sektor Kargo Udara Malaysia Melihat Pertumbuhan Mampan 

Sektor Kargo Udara Malaysia Melihat Pertumbuhan Mampan

25 Oktober, 2021

 

MAVCOM Melaporkan Aduan Pengguna Menurun Sebanyak 59.1% pada setengah tahun pertama 2021

 

KUALA LUMPUR, 25 OKTOBER 2021 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM atau  Suruhanjaya) telah menerbitkan Laporan Hak Trafik Udara (ATR) yang merangkumi tinjauan  Suruhanjaya dari tempoh 1 Julai hingga 30 September 2021 serta Laporan Pengguna dwitahunan yang kesepuluh bagi separuh tahun pertama 2021.  

Laporan ATR tersebut menggariskan jumlah ATR yang diperuntukkan oleh Suruhanjaya bagi sektor  penerbangan awam Malaysia, manakala Laporan Pengguna pula memberi gambaran keseluruhan  aduan pengguna yang telah dikemukakan kepada Suruhanjaya terhadap syarikat-syarikat penerbangan dan lapangan terbang, serta menyoroti inisiatif-inisiatif pengguna yang dilaksanakan oleh MAVCOM.  

Sorotan penting daripada Laporan Hak Trafik Udara (ATR)

Suruhanjaya terus memainkan peranan sebagai pengawalselia ekonomi bagi industri penerbangan  awam dengan meluluskan 100 peratus 21 permohonan ATR yang diterima pada suku ketiga tahun  2021. Jumlah permohonan ini menunjukkan peningkatan permohonan ATR sebanyak 110 peratus  berbanding kadar permohonan dari suku kedua pada tahun 2021.  

MAVCOM telah meluluskan sebanyak 14 ATR bagi destinasi antarabangsa dan 7 ATR bagi laluan  domestik. MyJet Xpress Sdn. Bhd. dan World Cargo Airline Sdn. Bhd. telah menerima jumlah  kelulusan permohonan tertinggi dengan 5 ATR bagi setiap syarikat, diikuti dengan AirAsia X Berhad yang menerima 4 ATR dan MAB Kargo Sdn. Bhd. dengan 3 ATR, serta Malaysia Airlines Berhad dan AirAsia Group Berhad dengan peruntukan 2 ATR masing-masing. 

Dari kesemua permohonan ATR tersebut, 18 permohonan peruntukan ATR adalah dari sektor kargo,  yang menunjukkan pertumbuhan yang sihat bagi sektor kargo. MAVCOM, sebelum ini telah  melaporkan peningkatan antara 26.5 dan 28.2 peratus tahun-ke-tahun (YoY) bagi trafik kargo udara  negara tahun 2021.  

Selain kelulusan ATR, Suruhanjaya terus menyokong pemain industri dalam proses pemulihan dari  kesan pandemik COVID-19 dengan melanjutkan lagi tempoh penangguhan penilaian permohonan  peruntukan ATR yang telah dilaksanakan dari Oktober 2020 sehingga tarikh yang akan diberitahu  kelak. 

Sorotan Penting daripada Laporan Pengguna

Menurut Laporan Pengguna MAVCOM, sebanyak 157 aduan telah diterima oleh Suruhanjaya.  Jumlah tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 59.1 peratus daripada jumlah aduan yang  difailkan pada tempoh masa yang sama pada tahun lepas. Dari 157 aduan tersebut, 98.1 peratus  aduan yang diterima melibatkan aduan terhadap syarikat penerbangan dan 1.9 peratus selebihnya  pula berkaitan dengan lapangan terbang.  

Aduan terhadap AirAsia mewakili 41.4 peratus daripada jumlah aduan keseluruhan yang difailkan  dengan Suruhanjaya. Ini diikuti dengan Malaysia Airlines dengan 28.7 peratus dan Malindo Air  dengan 12.1 peratus. Laporan tersebut juga mencatatkan pengurangan jumlah aduan terhadap  kesemua syarikat penerbangan kecuali Firefly Airlines, yang setara dengan penurunan jumlah  penumpang udara yang dibawa bagi semua syarikat penerbangan. 

Laporan pengguna tersebut juga menyatakan di mana 60.1 peratus daripada aduan yang diterima, syarikat penerbangan telah mengubah keputusan asal mereka dengan memberikan penyelesaian  yang lebih memuaskan atau adil kepada pengguna. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 2.3  peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2020.  

Selaras dengan komitmen MAVCOM untuk melindungi hak pengguna penerbangan, Suruhanjaya  berjaya menyelesaikan 97.5 peratus aduan pengguna yang diterima dalam jangka masa enam bulan tersebut. Selain daripada itu, 82 aduan yang diterima tidak dapat dilanjutkan disebabkan oleh  dokumentasi pengguna yang tidak lengkap, aduan berada di luar skop Kod Perlindungan Pengguna  Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) atau aduan dihantar melebihi tempoh satu tahun dari tarikh  kejadian. Aduan pengguna yang diselesaikan termasuk aduan yang berkaitan dengan pembayaran  balik, program penerbangan kerap serta pembatalan penerbangan.  

Pada masa yang sama, sejumlah 675 permohonan bayaran balik berkaitan dengan COVID-19 telah  diterima oleh MAVCOM pada separuh pertama tahun 2021.  

Selain menyelesaikan permohonan dan aduan pengguna, MAVCOM juga berusaha untuk  meningkatkan lagi pendedahan mengenai hak-hak pengguna penerbangan, memperkenalkan  penambahbaikkan yang akan meningkatkan kemudahan untuk pengguna serta pelaksanaan Rangka  Kerja Kualiti Perkhidmatan (QoS) Lapangan Terbang.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim berkata, “MAVCOM dengan  sukacitanya telah menyelesaikan 97.5 peratus aduan dan meluluskan semua permohonan ATR. Hal  ini menunjukkan bahawa Suruhanjaya berpegang teguh pada komitmen untuk terus membantu  pengguna dan pemain-pemain industri penerbangan. Pertumbuhan sektor kargo memberi sinar  cahaya dalam industri penerbangan semasa pandemik. Dengan permintaan e-dagang yang semakin  meningkat serentak dengan penurunan kapasiti ruang kargo pesawat yang melonjakkan sektor kargo 

ke hadapan secara global, MAVCOM akan terus menyokong pemain industri tempatan dalam memanfaatkan prospek bagi perkembangan masa hadapan.” 

Tambah Datuk Seri Hj. Saripuddin, “Suruhanjaya akan terus meningkatkan usaha untuk melindungi  hak-hak pengguna dan menyokong pemulihan pemain industri penerbangan dari kesan pandemik  COVID-19.” 

Laporan Pengguna dan Hak Trafik Udara dikeluarkan secara berkala. Maklumat lanjut boleh didapati di laman web MAVCOM di www.mavcom.my