Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Kenyataan Media / Sektor Kargo Udara Malaysia Melihat Pertumbuhan Mampan 

Menteri Pengangkutan Melancarkan Sistem Elektronik Pelesenan Pertama bagi Industri Penerbangan Malaysia dan Panduan Nasihat Perjalanan FlySmart

6 November, 2021

 

Inisiatif Digital Holistik MAVCOM Mempercepatkan Pemulihan Sektor Penerbangan

 

KUALA LUMPUR, 6 November 2021 – Menteri Pengangkutan, Yang Berhormat Datuk Seri Ir. Dr.  Wee Ka Siong melancarkan “AeroLicence”, sistem pelesenan elektronik pertama industri  penerbangan Malaysia bagi penyedia perkhidmatan penerbangan dan memperkenalkan Panduan  Nasihat Perjalanan baharu di dalam aplikasi mudah alih FlySmart, sebagai sebahagian daripada  inisiatif digital Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM atau Suruhanjaya) bagi membantu  pemulihan industri penerbangan negara.  

Sistem AeroLicence Baharu  

Sistem AeroLicence baharu ini memperbaik dan memudahkan pemprosesan kesemua lesen dan  permit penerbangan komersial yang dikeluarkan oleh MAVCOM seperti Lesen Perkhidmatan Udara  (ASL), Permit Perkhidmatan Udara (ASP), Lesen Pengendalian Darat (GHL), dan Lesen Pengendali  Aerodrom (AOL). 

AeroLicence dibangunkan berdasarkan keperluan untuk meningkatkan kecekapan dan  mempermudahkan penyedia perkhidmatan penerbangan. Sistem AeroLicence memperkenalkan  pendekatan digital dalam permohonan lesen baharu, pembaharuan lesen serta dalam penyerahan  laporan suku tahunan kepada Suruhanjaya. Sistem atas talian ini mengurangkan keperluan  penyerahan dokumen dan data penyedia perkhidmatan udara secara fizikal serta memastikan proses  permohonan yang selamat dan tanpa sentuh. 

Melalui sistem AeroLicence, penyedia perkhidmatan udara akan dibimbing melalui arahan langkah  demi langkah yang komprehensif untuk membantu dan mengurangkan ralat semasa proses penyerahan dokumen dan data. Tambahan pula, data sejarah syarikat akan disimpan di dalam sistem  tersebut dan dilindungi dengan kawalan keselamatan yang ketat. Ini juga dapat mengurangkan risiko  penyerahan permohonan yang tidak lengkap dan mengelakkan penyerahan semula dokumen dan  data berulang kali yang menjejaskan masa pemprosesan untuk kelulusan permohonan lesen atau  permit.  

Selain itu, pemegang lesen yang berdaftar dengan MAVCOM akan menerima notifikasi secara  automatik bagi pembaharuan lesen dan permit serta penyerahan dokumen-dokumen lain yang  diperlukan. 

MAVCOM telah melibatkan pemain-pemain industri, yang merupakan pemegang lesen Suruhanjaya dalam membangunkan sistem AeroLicence untuk mendapatkan maklum balas mereka mengenai sistem tersebut. Proses konsultasi ini membolehkan Suruhanjaya mengenalpasti perkara-perkara  yang perlu dibaikpulih sebelum AeroLicence dilancarkan.

Panduan Nasihat Perjalanan di dalam Aplikasi Mudah Alih FlySmart  

Selaras dengan matlamat MAVCOM untuk meningkatkan lagi kesedaran mengenai hak-hak pengguna, Suruhanjaya telah memperkenalkan panduan nasihat perjalanan sebagai  penambahbaikan kepada aplikasi mudah alih FlySmart. Aplikasi FlySmart telah diperkenalkan oleh  MAVCOM pada tahun 2019 bagi pengguna untuk mengemukakan aduan mereka kepada  Suruhanjaya sekiranya mereka tidak menerima resolusi yang memuaskan daripada syarikat  penerbangan atau lapangan terbang, dan untuk mendapatkan maklumat mengenai hak-hak pengguna penerbangan di mana-mana sahaja.  

Penambahbaikan yang terkini ini membolehkan aplikasi mudah alih FlySmart menjadi pusat sehenti  bagi pengguna yang melakukan perjalanan dalam norma baharu. Panduan Nasihat Perjalanan  baharu dalam aplikasi FlySmart menyediakan maklumat terkini mengenai peraturan dan sekatan  perjalanan udara termasuk sekatan sempadan, keperluan ujian COVID-19, vaksinasi serta keperluan  kuarantin di seluruh dunia, antara lainnya. Fungsi terbaharu ini menjadi rujukan bagi pengguna  sebelum perjalanan mereka oleh kerana keperluan perjalanan sentiasa berubah dan berbeza di  serata dunia. 

Aplikasi ini juga memperkenalkan segmen Soalan Lazim (FAQ) baharu yang dilengkapi dengan  senarai jawapan yang komprehensif kepada soalan-soalan yang lazim ditanya mengenai hak  perjalanan udara sebagai sebahagian daripada usaha Suruhanjaya untuk membina kesedaran,  mendidik dan memperkasakan pengguna mengenai hak-hak penerbangan mereka. 

Selain daripada itu, aplikasi mudah alih FlySmart mempunyai perincian butiran syarikat penerbangan  dan lapangan terbang tempatan dan asing untuk membolehkan pengguna menghubungi penyedia  perkhidmatan penerbangan dengan mudah mengenai isu penerbangan atau perjalanan mereka. 

Menteri Pengangkutan, Yang Berhormat Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, “Perjalanan udara  amat diperlukan di Malaysia. Ketika negara sedang bersiap sedia untuk pemulihan sektor  penerbangan, penggunaan teknologi digital yang meluas menjadi lebih penting dalam perancangan  untuk membina daya tahan industri dan sektor penerbangan yang kukuh lagi mampan. Maka,  pengenalan inisiatif digital AeroLicence serta aplikasi FlySmart yang telah ditambahbaik oleh  MAVCOM ini datang tepat pada masanya.

“Penggabungan inisiatif-inisiatif digital MAVCOM akan membantu penyedia perkhidmatan  penerbangan dalam sektor yang senantiasa berkembang serta menambah keyakinan pengguna  penerbangan. Pelancaran AeroLicence dan penambahbaikan aplikasi FlySmart memainkan peranan besar dalam menyokong pelan Kerajaan untuk mendigitalisasi perkhidmatan bagi Rakyat serta komuniti perniagaan. Secara kesimpulannya, inisiatif-inisiatif ini bertepatan dengan keperluan kritikal  industri serta pengguna dalam usaha untuk mempertingkatkan kemampanan sektor penerbangan  negara,” akhiri YB Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong. 

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim berkata, “Pelancaran  AeroLicence dan penambahbaikan aplikasi FlySmart menandakan pendekatan holistik Suruhanjaya  sebagai pengawalselia ekonomi dan pembela hak-hak pengguna bagi sektor penerbangan negara.  Inisiatif-inisiatif digital yang diperkenalkan akan membantu perniagaan dalam pemulihan daripada pasca wabak COVID-19 dan membantu pengguna untuk melakukan perjalanan dengan lebih yakin  dalam situasi semasa ini. MAVCOM kekal utuh dalam komitmen kami untuk menghidupkan semula  sektor penerbangan sambil memperjuangkan hak-hak pengguna dan akan terus meneroka cara-cara  lain untuk mengukuhkan sektor supaya pertumbuhan masa hadapan adalah lebih teguh dan  mampan.”