Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Kenyataan Media / MAVCOM Akan Melaksanakan Kuasa Di Bawah Undang-Undang Jika AirAsia X Berhad Tidak Membuat Bayaran Balik Bagi Tiket yang Dibeli oleh Pengguna Penerbangan

KENYATAAN MEDIA

Untuk Memetik:
Jurucakap
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia

12 November 2021

MAVCOM Akan Melaksanakan Kuasa Di Bawah Undang-Undang Jika AirAsia X Berhad Tidak Membuat Bayaran Balik Bagi Tiket yang Dibeli oleh Pengguna Penerbangan

 

PETIKAN

Selaras dengan mandat Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (“MAVCOM”) untuk mengawal selia perkara ekonomi dan komersial berkaitan penerbangan awam di Malaysia dan komitmennya untuk melindungi hak pengguna penerbangan, MAVCOM, pada 11 November 2021, telah mengeluarkan surat kepada AirAsia X Berhad (“AAX”) sebagai maklum balas terhadap penstrukturan semula hutang AAX yang sedang berlangsung. Surat ini adalah susulan daripada surat-menyurat yang terdahulu antara MAVCOM dan AAX.

Dalam surat tersebut, MAVCOM dengan jelas dan nyata menggesa AAX untuk menilai semula cadangannya yang mengklasifikasikan pengguna penerbangan sebagai pemiutang dan hanya membayar 0.5 peratus daripada nilai tiket yang dibeli seperti yang diumumkan pada 18 Oktober 2021. MAVCOM berpandangan bahawa pengguna penerbangan tidak sepatutnya diklasifikasikan sebagai “pemiutang” kerana pengguna penerbangan tidak, antara lain, menjual sebarang produk, menyediakan perkhidmatan atau membuat pinjaman kepada AAX tetapi sebaliknya telah membayar wang bagi pembelian tiket sebagai pendahuluan untuk penerbangan mereka.

Sehubungan dengan itu, MAVCOM mengulangi pendiriannya bahawa AAX harus membayar balik pengguna penerbangan untuk tiket yang telah dibeli.

Sekiranya AAX gagal membayar balik pengguna penerbangan yang terjejas dengan sewajarnya, MAVCOM tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan kuasanya di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [“Akta 771”].

AAX telah berulang kali dalam surat-menyuratnya dengan MAVCOM dan dalam kenyataan yang dibuat kepada orang ramai, memberi jaminan bahawa AAX beriltizam untuk membayar balik pengguna penerbangan yang tidak membuat penerbangan disebabkan pembatalan penerbangan.

MAVCOM sentiasa komited untuk melaksanakan tugasnya di bawah Akta 771 dan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia dalam memastikan hak pengguna penerbangan dilindungi.

PETIKAN AKHIR