Pilih satu Halaman
Ruang Berita / Kenyataan Media / MAVCOM Menjangkakan Masa Hadapan yang Cerah bagi Industri Penerbangan

MAVCOM Menjangkakan Masa Hadapan yang Cerah bagi Industri Penerbangan

9 Disember, 2021

 

Suruhanjaya Meramalkan Peningkatan Trafik Penumpang Udara Tahun ke Tahun antara316 Peratus hingga 525 Peratus pada Tahun 2022

 

KUALA LUMPUR, 9 Disember 2021 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) hari ini menerbitkan edisi kesepuluh laporan industrinya, Waypoint, yang melaporkan prestasi sektor penerbangan tempatan bagi suku ketiga tahun 2021. Laporan tersebut turut menghuraikan tentang kebangkitan semula pasca pandemik serta prospek pemulihan sektor penerbangan bagi suku terakhir tahun 2021 dan tahun 2022, dari perspektif makroekonomi dan industri.

Dalam Laporan Waypoint, Suruhanjaya mencatatkan bahawa sektor penerbangan telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang awal pada bulan September 2021 dengan pertumbuhan trafik penumpang udara sebanyak 56.6 peratus bulan ke bulan, serta pada bulan Oktober 2021 iaitu sebanyak 190.2 peratus bulan ke bulan. Laporan tersebut juga menyatakan bahawa kedua-dua bulan tersebut merekodkan 5.3 peratus dan 14.9 peratus daripada jumlah trafik penumpang udara bagi bulan yang sama pada tahun 2019. Selain itu, jumlah trafik penumpang udara bagi Tahun Kewangan (TK) 2021 dijangkakan lebih hampir dengan ramalan senario terbaik Suruhanjaya iaitu antara 6.9 juta hingga 7.8 juta jumlah penumpang trafik udara.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim berkata, “Suruhanjaya mengambil maklum mengenai kelonggaran sekatan perjalanan, gelembung pelancongan (travel bubble), pembukaan sempadan antarabangsa berikutan pelaksanaan vaksinasi yang pantas, serta pelaksanaan Perjalanan Vaksinasi (VTL) ke Singapura yang dilancarkan baru-baru ini. Inisitiatif- inisiatif tersebut membolehkan aktiviti-aktiviti pelancongan dimulakan semula dan menunjukkan prospek yang amat positif bagi trafik penumpang udara pada tahun 2022.”

Beliau turut berkata, “Pemulihan penuh sektor penerbangan tidak akan dapat dicapai dalam tempoh yang singkat. Para pemain industri penerbangan mungkin akan menghadapi cabaran-cabaran yang sukar kelak, ekoran kenaikan harga minyak mentah Brent serta bahan api jet yang boleh memberi kesan yang signifikan terhadap kos operasi syarikat penerbangan. Ditambah pula dengan kemungkinan penularan varian-varian wabak COVID-19 yang baharu, termasuk varian Omicron yang merebak dengan pantas. Walau bagaimanapun, kami tetap berharap industri penerbangan akan terus berkembang, terutamanya apabila Kerajaan Malaysia sedang mempertimbangkan pembukaan semula sempadan ke beberapa negara.”

Trafik penumpang udara pada TK2022 diramalkan meningkat antara 316 peratus dan 525 peratus tahun ke tahun iaitu bersamaan dengan 32.6 juta hingga 49.0 juta penumpang. Ramalan ini menunjukkan pemulihan sebanyak 30 hingga 45 peratus daripada tahap trafik penumpang udara pra- pandemik pada tahun 2019. Selain itu, syarikat penerbangan dijangka meningkatkan kapasiti tempat duduk secara beransur-ansur. Ini kerana permintaan perjalanan yang terpendam sekian lama dan simpanan terkumpul (accrued savings) akan memacu pertumbuhan trafik penumpang pada tahun 2022.

Gelembung Pelancongan Domestik Langkawi yang bermula pada 16 September 2021 menyaksikan peningkatan penumpang udara domestik yang ketara bagi bulan September 2021 iaitu sebanyak 2,411.0 peratus bulan ke bulan, serta bagi bulan Oktober tahun 2021 iaitu sebanyak 261.4 peratus bulan ke bulan. Kelonggaran sekatan sempadan bagi pelancong-pelancong antarabangsa turut menyumbang kepada pertumbuhan trafik penumpang udara.

Selain itu, permintaan bagi kargo udara Malaysia kekal berdaya tahan. Jumlah kargo udara negara dari segi Freight Tonne Kilometre (FTK) telah mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 19.7 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga tahun 2021. Suruhanjaya menjangkakan sektor kargo udara akan terus signifikan dalam usaha menghidupkan semula industri penerbangan pada baki tahun 2021 dan pada tahun 2022.

Bagi tahun 2022, trafik kargo udara diramalkan meningkat antara 3.9 peratus dan 6.7 peratus tahun ke tahun, iaitu sebanyak 20.8 billion hingga 21.6 billion FTK. Peningkatan ini bakal disokong oleh kemajuan program vaksinasi, pertumbuhan kukuh dalam sektor e-dagang, sektor elektrikal dan elektronik (E&E), serta permintaan daripada rakan rakan perdagangan utama Malaysia.

Laporan Waypoint dikeluarkan dua kali setahun dan maklumat lanjut boleh didapati di laman web MAVCOM di sini.