MAVCOM Meramalkan Pemulihan Kukuh Bagi Sektor Penerbangan Domestik
Suruhanjaya Menyokong Peningkatan Penerbangan dengan Kadar Kelulusan
Hak Trafik Udara Sebanyak 96 Peratus pada Suku Keempat Tahun 2021
KUALA LUMPUR, 19 Januari 2022 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah menerbitkan Laporan Hak Trafik Udara (ATR) bagi suku keempat tahun 2021 (S4 2021). Laporan tersebut memperincikan peruntukan ATR yang diberikan oleh MAVCOM untuk sektor penerbangan awam Malaysia bagi tempoh 1 Oktober 2021 hingga 31 Disember 2021.
Bagi S4 2021, Suruhanjaya telah meluluskan 27 daripada 28 permohonan ATR yang dikemukakan oleh syarikat penerbangan. Peruntukan ini menandakan peningkatan permohonan ATR sebanyak 33.3 peratus serta peningkatan sebanyak 28.6 peratus bagi kelulusan ATR berbanding dengan suku ketiga tahun 2021 (S3 2021).
Daripada 28 permohonan ATR tersebut, 17 merupakan permohonan bagi laluan penerbangan domestik. Ini menunjukkan permohonan ATR telah meningkat lebih daripada dua kali ganda berbanding 7 permohonan ATR yang diterima pada S3 2021. Suruhanjaya turut melaporkan bahawa pembukaan semula sempadan negeri pada Oktober 2021 serta peningkatan permintaan penerbangan bagi percutian domestik merupakan faktor-faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan permohonan ATR. Destinasi-destinasi utama bagi penambahan penerbangan tersebut adalah ke Langkawi, diikuti oleh Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kota Bharu.
Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim berkata, “Walaupun kita masih berhadapan dengan cabaran COVID-19, Suruhanjaya dapat menyaksikan tanda-tanda pemulihan yang menggalakkan dalam sektor penerbangan tempatan dengan peningkatan permohonan ATR bagi laluan penerbangan domestik pada S4 2021. Perkembangan yang memberangsangkan ini menunjukkan daya tahan sektor penerbangan yang kukuh dan mampan untuk bangkit semula ke tahap pra-pandemik. MAVCOM berharap perkembangan ini akan berterusan dan turut menggalakkan pengguna penerbangan udara untuk merancang penerbangan mereka bagi musim perayaan dengan lebih awal untuk mengelakkan kesesakan orang ramai di lapangan terbang serta pembelian harga tiket penerbangan yang tinggi.”
Suruhanjaya turut menerima 13 permohonan ATR bagi segmen kargo udara yang menandakan pertumbuhan sektor yang berterusan dan mampan. Pemegang-pemegang Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) kargo baharu iaitu World Cargo Airline Sdn. Bhd. dan M Jets International Sdn. Bhd. turut menyumbang kepada peningkatan kelulusan ATR dan telah menerima peruntukan sebanyak 9 ATR secara keseluruhan bagi S4 2021. Suruhanjaya juga menjangkakan segmen kargo udara bakal berkembang antara 3.9 peratus dan 6.7 peratus tahun ke tahun bagi tahun 2022, iaitu antara 20.8 dan 21.6 bilion dalam Freight Tonne Kilometre (FTK).
Dari segi peruntukan ATR bagi S4 2021 pula, Malaysia Airlines Berhad dan World Cargo Airline Sdn. Bhd. telah menerima jumlah kelulusan tertinggi dengan peruntukan sebanyak 6 ATR bagi setiap syarikat penerbangan tersebut. AirAsia Berhad telah diperuntukkan 5 ATR dan M Jets International Sdn. Bhd. telah diperuntukkan 3 ATR. Selain daripada itu, AirAsia X Berhad, FlyFirefly Sdn. Bhd. dan Malindo Airways Sdn. Bhd. masing-masing diperuntukkan 2 ATR, manakala MyJet Express Airlines Sdn. Bhd. diperuntukkan 1 ATR.
Secara rumusan, MAVCOM telah meluluskan sebanyak 82 permohonan ATR bagi keseluhuran tahun 2021 dengan kadar kelulusan sebanyak 98.8 peratus.
Laporan ATR MAVCOM dikeluarkan secara berkala dan maklumat lanjut boleh didapati di laman web MAVCOM di www.mavcom.my.