Peningkatan Permohonan Hak Trafik Udara Sebanyak 650 Peratus Berikutan Pembukaan Semula Sempadan Antarabangsa
KUALA LUMPUR, 21 April 2022 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah menerbitkan laporan Hak Trafik Udara (ATR) bagi suku pertama 2022 (S1 2022). Laporan tersebut menggariskan peruntukan ATR oleh MAVCOM bagi tempoh antara 1 Januari hingga 31 Mac 2022.
Bagi S1 2022, MAVCOM telah meluluskan 95.4 peratus daripada 22 permohonan ATR yang diterima, dan memberikan 21 kelulusan ATR kepada 8 syarikat penerbangan. 22 permohonan ATR yang dikemukakan kepada Suruhanjaya menunjukkan kadar permohonan yang menurun sebanyak 0.08 peratus, berbanding 24 permohonan yang diterima bagi suku yang sama pada tahun 2021. Menurut Suruhanjaya, syarikat penerbangan menunggu pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia sebelum membuat permohonan dan ini menyumbang kepada penurunan dalam kadar permohonan ATR.
Daripada 22 permohonan yang diterima secara keseluruhan, 14 ATR adalah bagi laluan antarabangsa, manakala baki sebanyak 8 ATR adalah bagi laluan domestik. SKS Airways Sdn. Bhd., yang merupakan antara syarikat penerbangan terbaru di Malaysia, telah diberi bilangan kelulusan ATR yang tertinggi iaitu sebanyak 4 ATR ke laluan-laluan domestik. Sementara itu, AirAsia Berhad, Malaysia Airlines Berhad, M Jets International Sdn. Bhd. dan MyJet Xpress Airlines Sdn. Bhd. masing-masing telah menerima 3 kelulusan ATR diikuti oleh MABKargo dan MASwings, yang kedua-duanya menerima 2 ATR. AirAsia X Berhad telah diberi 1 kelulusan ATR.
Berikutan pengumuman Kerajaan mengenai pembukaan sempadan antarabangsa Malaysia pada 1 April 2022, terdapat lonjakan ketara dalam permohonan ATR. Sebanyak 15 permohonan ATR telah dikemukakan kepada MAVCOM antara 1 April 2022 dan 15 April 2022. Permohonan tersebut terdiri daripada 7 ATR bagi sektor kargo termasuk penerbangan Penumpang ke Kargo (Passenger to Cargo), 3 ATR bagi penerbangan penumpang untuk laluan udara domestik, dan 5 ATR bagi penerbangan penumpang bagi laluan udara antarabangsa. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 650 peratus dalam permohonan yang diterima dalam tempoh 15 hari tersebut, berbanding 2 permohonan yang diterima antara 1 dan 15 Mac 2022.
Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim, Pengerusi Eksekutif, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia, berkata, “Sejak pengumuman Kerajaan mengenai pembukaan sepenuhnya sempadan antarabangsa Malaysia pada 1 April 2022, terdapat peningkatan permohonan ATR daripada syarikat penerbangan. Ini sememangnya satu perkembangan yang memberangsangkan kerana ia menandakan industri penerbangan sedang beralih ke arah pemulihan secara beransur-ansur.”
“Selain itu, menurut siasatan MAVCOM berhubung isu tambang penerbangan tinggi ke Sabah dan Sarawak, MAVCOM ingin melaporkan bahawa sebanyak 1,141 kekerapan penerbangan (flight frequency) telah diluluskan bagi laluan antara Semenanjung Malaysia ke Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Sibu, Kuching, Bintulu, Miri dan Labuan untuk penerbangan sepanjang tempoh perjalanan Hari Raya Aidilfitri, iaitu dari 27 April hingga 8 Mei 2022. Pemerhatian terbaru MAVCOM pada 21 April 2022 menunjukkan bahawa kebanyakan tambang penerbangan sehala kelas ekonomi bagi penerbangan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak adalah sekitar RM200 hingga RM500 semasa tempoh perjalanan yang sama. Pengurangan ini adalah disebabkan peningkatan kekerapan penerbangan dan penambahan tiket penerbangan yang tersedia bagi pengguna. Dalam pada itu, MAVCOM tidak mengawal tambang penerbangan kerana ia ditentukan berdasarkan mekanisme harga dinamik (dynamic pricing) yang digunakan oleh syarikat penerbangan di seluruh dunia dan turut dipraktikkan dalam pelbagai industri.”
Bagi permohonan ATR untuk sektor kargo, MAVCOM telah menerima dan meluluskan sebanyak 8 permohonan ATR pada S1 2022. Walaupun ini mewakili penurunan sebanyak 38.5 peratus berbanding 13 ATR yang diterima pada suku keempat 2021, pertumbuhan kargo kekal sihat akibat kekurangan kapasiti kargo yang berterusan. Di samping itu, kadar harga kargo kekal lebih tinggi daripada paras pra-pandemik.
Laporan Hak Trafik Udara dikeluarkan secara berkala dan maklumat lanjut boleh didapati di laman web MAVCOM, www.mavcom.my.