Pilih satu Halaman
Ruang Berita / Kenyataan Media / MAVCOM Menggesa Pengguna yang Terjejas Untuk Mengemukakan Aduan Mengenai Isu Penjadualan Semula Penerbangan

MAVCOM Menggesa Pengguna yang Terjejas Untuk Mengemukakan Aduan Mengenai Isu Penjadualan Semula Penerbangan

13 Mei, 2022

 

Permintaan Penerbangan Luar Jangkaan di Rantau Asia Pasifik Menyumbang kepada Lonjakan Permohonan Hak Trafik Udara

 

KUALA LUMPUR, 13 Mei 2022: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menggesa pengguna yang terjejas oleh perubahan jadual penerbangan untuk membuat aduan kepada syarikat penerbangan berkaitan bagi memastikan pengguna menerima penjagaan dan bayaran balik yang sewajarnya.

Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC), yang diperkenalkan oleh MAVCOM pada tahun 2016 dan ditambahbaik pada tahun 2019 telah dikuatkuasakan untuk melindungi kepentingan pengguna penerbangan. Dengan adanya MACPC, syarikat penerbangan perlu menyelesaikan aduan pengguna dalam tempoh 30 hari selepas aduan tersebut diterima.

Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim, Pengerusi Eksekutif, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia, berkata, “Adalah amat penting bagi pengguna untuk mengetahui hak-hak mereka sebagai pengguna penerbangan dan menyedari bahawa syarikat penerbangan serta penyedia perkhidmatan penerbangan lain perlu menyelesaikan aduan mereka dalam tempoh 30 hari seperti yang digariskan di dalam MACPC. Keperluan garis masa ini juga terpakai bagi pelbagai isu yang berkaitan dengan sektor penerbangan termasuk isu pembatalan penerbangan, isu kehilangan, kerosakan dan kelewatan bagasi dan lain-lain.”

Beliau menambah, “Sekiranya maklum balas yang diberikan oleh syarikat penerbangan tidak memuaskan atau aduan tersebut masih tidak dapat diselesaikan, pengguna diminta untuk mengemukakan aduan kepada MAVCOM bersama-sama dengan dokumentasi yang berkaitan. Sejak penubuhan MAVCOM pada tahun 2016, kami telah menerima lebih dari 22,000 aduan serta maklum balas daripada pengguna yang telah kami bantu.”

MAVCOM ingin menegaskan sekali lagi bahawa hak-hak pengguna penerbangan perlu sentiasa diutamakan oleh syarikat penerbangan. Penyiasatan Suruhanjaya mengenai isu penjadualan semula penerbangan oleh syarikat penerbangan semasa musim perayaan baru-baru ini juga sedang dijalankan. Semakan MAVCOM berdasarkan fakta dan data ini bertujuan untuk memberikan pandangan yang objektif, tepat dan menyeluruh mengenai situasi tersebut. Hasil siasatan MAVCOM mengenai perkara ini akan diumumkan dalam masa terdekat.

MAVCOM akan berpandukan mekanisme pengenaan penalti kewangan yang sedia ada sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan kepada MACPC atau Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015. Sejak penubuhannya, MAVCOM telah mengenakan penalti berjumlah RM4.7 juta terhadap syarikat penerbangan kerana tidak mematuhi MACPC.

Bagi pengguna yang terjejas dan tidak menerima maklum balas atau tidak berpuas hati dengan penyelesaian yang diberikan oleh penyedia perkhidmatan penerbangan digalakkan untuk mengemukakan aduan kepada MAVCOM melalui laman web FlySmart di www.flysmart.my, atau aplikasi mudah alih FlySmart yang boleh dimuat turun secara percuma di Apple App Store dan Google Play Store. Pengguna juga boleh menghubungi talian pengguna kami di 1800-18-6966 bagi panggilan dalam Malaysia atau +603-7651 2777 bagi panggilan di luar Malaysia.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai hak-hak penerbangan anda sekiranya berlaku penundaan atau pembatalan penerbangan, sila klik di sini.