Pilih satu Halaman
Ruang Berita / Kenyataan Media / MAVCOM Mengumumkan Penemuan Awal Siasatan Mengenai Penundaan Penerbangan Semasa Tempoh Perjalanan Hari Raya Aidilfitri

MAVCOM Mengumumkan Penemuan Awal Siasatan Mengenai Penundaan Penerbangan Semasa Tempoh Perjalanan Hari Raya Aidilfitri

30 Mei 2022

 

KUALA LUMPUR, 30 Mei 2022 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengumumkan penemuan awal siasatan mengenai penundaan penerbangan oleh syarikat penerbangan semasa tempoh perjalanan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini. Siasatan tersebut melibatkan analisis Suruhanjaya mengenai gangguan jadual penerbangan dan dibuat berdasarkan data yang dikemukakan oleh syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang.

Berdasarkan penemuan awal MAVCOM, sepanjang tempoh perjalanan dari 29 April hingga 9 Mei 2022, lebih daripada 6,000 penerbangan domestik telah dikendalikan oleh syarikat penerbangan tempatan sepanjang tempoh perjalanan Hari Raya Aidilftri dari 29 April hingga 9 Mei 2022, berbanding dengan lebih daripada 8,000 penerbangan domestik yang dikendalikan sepanjang tempoh perjalanan sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri pada bulan Jun 2019, sebelum penularan wabak COVID-19. Daripada jumlah penerbangan yang dikendalikan sepanjang tempoh perjalanan Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2022, 8 peratus atau 495 penerbangan telah merekodkan penundaan penerbangan melebihi 1 jam.

Sepanjang tempoh perjalanan tersebut, AirAsia telah mengendalikan sebanyak 2,954 penerbangan. Daripada jumlah penerbangan tersebut, 13 peratus atau 368 penerbangan mengalami penundaan penerbangan melebihi 1 jam. Ini diikuti Malaysia Airlines yang telah mengendalikan 1,447 penerbangan, dengan 3 peratus atau 44 penerbangan tertunda. Seterusnya, MASwings telah mengendalikan 656 penerbangan, dengan 10 peratus atau 64 penerbangan ditunda. Firefly juga mengalami penundaan penerbangan sebanyak 2 peratus atau 15 penerbangan daripada 680 penerbangan yang telah dikendalikan. Manakala Batik Air (sebelum ini dikenali sebagai Malindo Air) telah mengendalikan 555 penerbangan dengan 1 peratus atau 4 penerbangan tertunda.

Bagi penundaan penerbangan melebihi 2 jam, analisis awal MAVCOM menunjukkan bahawa 71 peratus atau 119 penerbangan ditunda disebabkan oleh faktor operasi termasuk kekurangan pesawat, perhentian penerbangan malam yang tidak berjadual disebabkan had waktu pekerjaan sah anak kapal, dan kelewatan ketibaan lanjutan dari penundaan, antara lainnya. Ini diikuti oleh faktor-faktor teknikal seperti kerosakan pesawat, penyelenggaraan mendesak yang tidak dijadualkan, serta kekurangan alat ganti atau peralatan penyelenggaraan, yang secara kolektif menyumbang kepada 25 peratus atau 41 penerbangan yang ditunda melebihi 2 jam. Kedua-dua faktor operasi dan teknikal menyumbang kepada 96 peratus atau 160 penerbangan daripada jumlah penerbangan yang ditunda melebihi 2 jam dalam tempoh perjalanan tersebut. Faktor-faktor penundaan penerbangan lain adalah disebabkan keadaan cuaca buruk.

Suruhanjaya sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai penyediaan penjagaan bagi 160 penerbangan yang ditunda melebihi 2 jam untuk memastikan sama ada penjagaan seperti yang ditetapkan di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) telah disediakan bagi pengguna. Pengguna yang terjejas oleh penundaaan penerbangan melebihi 2 jam disebabkan oleh faktor operasi dan teknikal hendaklah diberi makanan, panggilan telefon, dan akses internet. Tambahan itu, syarikat penerbangan perlu menyediakan penginapan, dan pengangkutan bagi penundaan penerbangan selama 5 jam atau lebih, sekiranya penginapan diperlukan oleh pengguna.

Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, berkata “MAVCOM telah ditubuhkan untuk memastikan hak-hak pengguna penerbangan sentiasa dilindungi, dan syarikat penerbangan perlu mematuhi undang-undang yang sedia ada. Pengguna harus ditawarkan penjagaan secara automatik seperti yang tertakluk di bawah MACPC dan tidak perlu meminta penjagaan daripada syarikat penerbangan. Suruhanjaya sedang dalam proses pengesahan justifikasi yang diberikan oleh syarikat penerbangan berkaitan penyediaan penjagaan semasa penundaan penerbangan dalam tempoh yang ditinjau. MAVCOM tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan kuasanya sekiranya justifikasi yang diberikan tidak memenuhi keperluan di bawah MACPC. Bergantung kepada jenis dan tahap ketidakpatuhan, syarikat penerbangan boleh dikenakan penalti kewangan yang tidak melebihi RM 200,000 untuk kesalahan pertama, dan dalam hal ketidakpatuhan kedua atau yang berikutnya, suatu amaun sepuluh kali daripada penalti kewangan yang telah dikenakan sebelumnya bagi ketidakpatuhan terhadap MACPC.

“Sebagai pengawal selia ekonomi dan komersial bagi industri penerbangan negara, adalah menjadi kewajipan kami untuk memastikan penyiasatan yang mendalam dan objektif dijalankan sebelum sebarang tindakan diambil oleh Suruhanjaya. Selaras dengan mandat kami, MAVCOM bermatlamat untuk menjadikan industri penerbangan awam di Malaysia berdaya maju dari segi komersial dan berdaya tahan, sambil memperkasakan pengguna untuk melindungi hak-hak mereka sebagai pengguna penerbangan. Suruhanjaya juga menggesa semua syarikat penerbangan memainkan peranan dalam mendidik pengguna mengenai hak-hak penerbangan mereka seperti yang diperuntukkan dalam perenggan 19 MACPC.”