Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Kenyataan Media / MAVCOM Mengalu-alukan Pelantikan Baharu dan Pelantikan Semula Anggota Suruhanjaya

MAVCOM Mengalu-alukan Pelantikan Baharu dan Pelantikan Semula Anggota Suruhanjaya

12 Jun 2022

 

KUALA LUMPUR, 12 Jun 2022 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Menteri Pengangkutan serta mengalu-alukan keputusan pelantikan semula Datuk Seri Long See Wool sebagai Anggota Suruhanjaya serta pelantikan 2 Anggota baharu Suruhanjaya iaitu Datuk Roger Tan Kor Mee dan Dato ‘ Wan Kamaruzaman Bin Wan Ahmad bagi tempoh 3 tahun.

Datuk Seri Long See Wool telah dilantik semula sebagai Anggota Suruhanjaya MAVCOM dari 1 Mac 2022 hingga 28 Februari 2025. Beliau telah berkhidmat sebagai Anggota Suruhanjaya MAVCOM sejak tahun 2016 dan mempunyai pengalaman luas dalam industri penerbangan melalui perkhidmatan beliau di Kementerian Pengangkutan dengan tumpuan khusus dalam bidang penerbangan. Di samping itu, pelantikan baharu Datuk Roger Tan Kor Mee dan Dato’ Wan Kamaruzaman Bin Wan Ahmad sebagai Anggota Suruhanjaya berkuat kuasa dari 8 Jun 2022 hingga 7 Jun 2025.

MAVCOM percaya bahawa dengan pengetahuan dan pengalaman luas mereka dalam sektor swasta serta awam, pelantikan Anggota-anggota baharu Suruhanjaya merupakan aset yang besar bagi Suruhanjaya dan industri penerbangan.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim berkata, “MAVCOM amat mengalu-alukan pelantikan semula dan pelantikan baharu Anggota Suruhanjaya untuk mendorong Suruhanjaya serta industri penerbangan Malaysia ke hadapan pada tahun-tahun yang akan datang. Dengan pelantikan Anggota-anggota Suruhanjaya ini, MAVCOM akan terus memainkan peranan penting kami sebagai pengawal selia ekonomi bebas yang menjadikan industri penerbangan awam di Malaysia berdaya maju dari segi komersial, serta responsif kepada keperluan rakyat.”

Beliau menambah, “Kami juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada bekas Anggota Suruhanjaya kami, Dato’ Mah Weng Kwai dan Dato’ Fauziah Yaacob atas sumbangan mereka yang tidak terhingga sepanjang tempoh 6 tahun sebagai Anggota Suruhanjaya dari 1 Mac 2016 hingga 28 Februari 2022.”