Webinar Antarabangsa Pertama Malaysia Mengenai Perlindungan Pengguna Penerbangan
MAVCOM Melakar Era Baharu dalam Perlindungan Pengguna Penerbangan
KUALA LUMPUR, 28 Jun 2022 – Dalam keadaan industri sedang berkembang pesat semula serta berhadapan dengan cabaran-cabaran baharu serta kesan akibat pandemik COVID-19, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah menganjur webinar penerbangan antarabangsa pertama Suruhanjaya bertema, “Melakar Era Baharu: Keperluan Perlindungan Pengguna Penerbangan Pada Hari Ini dan Seterusnya”.
Suatu pencapaian baharu bagi Malaysia, di mana webinar hibrid ini telah dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan, Yang Berhormat Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, adalah bertujuan untuk menyediakan suatu platform interaktif di antara pihak-pihak berkepentingan serta pakarpakar industri penerbangan. Semasa webinar tersebut berlangsung, para peserta dapat menerokai perkembangan terkini serta trend berkenaan perlindungan pengguna penerbangan. Webinar tersebut juga bertujuan untuk meningkatkan pemahaman orang ramai mengenai hak-hak perlindungan pengguna penerbangan. Webinar tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato Henry Sum Agong, dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak.
Dengan lebih daripada 250 peserta berkumpul dalam talian dan di Pusat Konvensyen ACE, webinar tersebut mengetengahkan tajuk-tajuk penting termasuk evolusi perundangan perlindungan pengguna penerbangan sebelum, semasa dan selepas pandemik COVID-19; penambahbaikan pengalaman perjalanan pengguna seiring dengan kepesatan pendigitalan; serta langkah-langkah untuk memastikan pertumbuhan berterusan sektor penerbangan dan perlindungan pengguna.
Salvatore Sciacchitano, Presiden International Civil Aviation Organisation (ICAO) telah memberikan ucapan alu-aluan khasnya pada webinar tersebut, yang turut menyaksikan ahliahli panel terpilih yang terdiri daripada barisan pakar industri yang bertauliah dan terkenal termasuk Michael Gill, Pengarah Biro Undang-undang ICAO, dan Mr. Peter Alawani, Ketua Bahagian Rangka Kerja Pengawalseliaan Ekonomi, Biro Pengangkutan Udara ICAO; Stefano Baronci, Ketua Pengarah Airports Council International (ACI) Asia-Pacific; Vinoop Goel, Pengarah Lapangan Terbang dan Perhubungan Luar Serantau Asia-Pasifik International Air Transport Association (IATA); Olivier Waldner, Timbalan Ketua Unit Hak Penumpang, Direktorat Jeneral Mobiliti dan Pengangkutan European Commission; Soukkhongthong Voraphet, Pengarah Bahagian Pengangkutan Udara Department of Civil Aviation of Lao PDR dan Amna Arshad, Ketua Pengamalan Pengawalseliaan Penerbangan Amerika Syarikat, Penasihat Khas di Freshfields Bruckhaus Deringer. Tambahan pula, barisan panel tersebut telah diwakili oleh Pengarah Hal Ehwal Pengguna MAVCOM, Puan Pushpalatha Subramaniam, berserta Ahli Jawatankuasa Perlindungan Pengguna MAVCOM, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Sothi Rachagan.
Di samping itu, sesi panel tersebut telah disertai oleh ahli-ahli akademik, iaitu Prof. Dr. Jae Woon (Jun) Lee, Penolong Profesor, Fakulti Undang-undang di Chinese University of Hong Kong (CUHK) dan Ridha Aditya Nugraha, Perunding Undang-undang Penerbangan dan Angkasa di Universitas Prasetiya Mulya. Barisan penceramah panel tersebut turut dianggotai oleh Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader dan Ketua Pegawai Eksekutif di Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Saravanan Thambirajah.
Menteri Pengangkutan, Yang Berhormat Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, “Dengan penyambungan semula serta peningkatan sektor penerbangan yang berterusan di peringkat tempatan dan global, evolusi serta pemahaman yang utuh mengenai perlindungan pengguna penerbangan adalah amat penting bagi pemulihan industri. Ini terutamanya amat relevan memandangkan kepesatan pendigitalan yang bukan sahaja memudahkan akses pengguna kepada maklumat tetapi juga menggesa pihak berkepentingan industri untuk merangka penyelesaian baharu dan inovatif dalam memastikan perlindungan hak-hak pengguna diteruskan.
Kementerian Pengangkutan mengalu-alukan serta memuji usaha MAVCOM di atas inisiatif ini yang dilaksanakan tepat pada masanya. Webinar ini telah menyediakan platform yang berkesan bagi para pemimpin dalam sektor penerbangan serta perlindungan pengguna untuk bersama-sama berbincang mengenai perkembangan semasa dan masa hadapan. Wacana yang bermakna terhasil daripada webinar ini akan mempertingkatkan sektor penerbangan serta penambahbaikan perlindungan perlindungan pengguna. Di samping itu, Malaysia, sebagai satu daripada hab utama penerbangan di rantau ASEAN, akan terus mendahului dalam pembentukan industri penerbangan awam global yang cekap dan mampan.” Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kassim berkata, “MAVCOM telah menganjurkan webinar antarabangsa ini untuk meneroka bagaimana kerajaan, agensi kawal selia, penyedia perkhidmatan penerbangan serta pakar-pakar industri penerbangan dan hal ehwal pengguna dapat menambahkan usaha untuk melindungi hak-hak pengguna sambil mengekalkan daya saing industri. Dengan maklumat yang dikongsi melalui webinar ini, harapan kami adalah untuk kedua-dua pemain industri dan pengguna sama-sama mendapat manfaat daripada peningkatan pemahaman mengenai hak-hak pengguna, yang akan menyumbang kepada penambahbaikan perlindungan pengguna serta meningkatkan keyakinan mereka dalam industri penerbangan.
MAVCOM pada masa ini sedang menambahbaik Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) berdasarkan maklum balas pengguna dan pembelajaran penting yang telah diperolehi semasa pandemik. Penambahbaikan tersebut akan meliputi peningkatan perlindungan pengguna dalam situasi yang yang belum pernah berlaku (unprecedented situations). Penambahbaikan MACPC ini antara lain akan memperkenalkan peruntukan baharu untuk mengawal selia pas perjalanan, serta peruntukan bagi penstrukturan semula atau pembubaran syarikat penerbangan dan kesannya terhadap penumpang penerbangan.”