Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Kenyataan MediaTrafik Penumpang Mencapai Rekod Tertinggi Sejak Permulaan Pandemik

Trafik Penumpang Mencapai Rekod Tertinggi Sejak Permulaan Pandemik

7 Jul 2022

 

Peningkatan tahun ke tahun sebanyak 415.6 peratus kepada 8.7 juta pada suku pertama tahun 2022

 

 KUALA LUMPUR, 7 Julai 2022 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada hari ini menerbitkan edisi Laporan Industri dwitahunannya, Waypoint yang ke-11. Laporan Waypoint terkini melaporkan keseluruhan prestasi industri penerbangan negara pada suku pertama 2022 (1S22), prospek industri penerbangan bagi tahun 2022, serta trend tambang penerbangan sejak permulaan pandemik COVID-19.

MAVCOM melaporkan bahawa jumlah trafik penumpang udara bagi 3 bulan pertama tahun ini mencapai 8.7 juta, iaitu pertumbuhan sebanyak 415.6 peratus tahun ke tahun. Pertumbuhan ini disebabkan kesan asas yang rendah (low base effect) di mana trafik penumpang pada suku pertama 2021 berjumlah 1.7 juta. Perkembangan ini menunjukkan bahawa industri penerbangan sedang mengalami pemulihan secara beransur-ansur tetapi stabil. Menurut Suruhanjaya, pertumbuhan trafik penumpang udara ini terutamanya didorong oleh penumpang udara domestik yang menyumbang sebanyak 88.8 peratus daripada jumlah trafik penumpang udara pada 1S22. Sehingga Mei 2022, trafik penumpang udara Malaysia 2022 kini berjumlah 16.3 juta, menandakan pertumbuhan sebanyak 574.6 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2021. Pada bulan Mei 2022 sahaja, trafik penumpang udara antarabangsa mencecah 1.0 juta buat kali pertama sejak Mac 2020.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kassim, berkata, “Berikutan pelonggaran sekatan perjalanan di Malaysia, industri penerbangan semakin pulih daripada kesan pandemik, selaras dengan peningkatan jumlah trafik penumpang pada awal tahun 2022. Dengan pembukaan sempadan antarabangsa negara sejak tahun April 2022, pemantauan Suruhanjaya menunjukkan bahawa peningkatan tersebut didorong oleh permintaan yang tertangguh terhadap penerbangan dan pelancongan. Suruhanjaya memahami bahawa orang ramai masih berhati-hati disebabkan konflik global serta ketidaktentuan ekonomi yang sedia ada. Mahupun begitu, Suruhanjaya tetap positif dan mengunjurkan bahawa sektor penerbangan akan terus pulih pada tahun 2022 dengan pelaksanaan langkah-langkah yang sesuai.”

MAVCOM juga melaporkan bahawa jumlah kargo mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.9 peratus tahun ke tahun pada 1S22, meningkat kepada 5.1 bilion dari segi Freight Tonne Kilometre (FTK) daripada 4.8 bilion FTK pada suku pertama tahun 2021. Pertumbuhan ini didorong oleh pengembalian semula kapasiti ruang kargo pesawat (belly cargo) berikutan penyambungan semula penerbangan antarabangsa secara beransur-ansur. Selain itu, pengembangan tersebut turut disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam industri e-dagang serta sektor elektrikal dan elektronik (E&E).

MAVCOM mengekalkan ramalan jumlah trafik penumpang dan kargo udara pada tahun 2022, seperti yang dilaporkan dalam Laporan Waypoint edisi Disember 2021. Hal ini demikian kerana kedua-dua statistik tersebut telah menunjukkan prestasi dalam jangkaan. MAVCOM meramalkan bahawa jumlah trafik penumpang udara akan meningkat antara 200 peratus hingga 350 peratus tahun ke tahun, bersamaan dengan jumlah anggaran penumpang udara antara 32.6 juta hingga 49.0 juta. Manakala trafik kargo udara dijangka berkembang antara 3.9 peratus hingga 6.7 peratus tahun ke tahun, iaitu sebanyak 21.5 bilion hingga 22.0 bilion FTK.

Sementara itu, Suruhanjaya memerhati bahawa terdapat trend yang berbeza antara tambang penerbangan domestik dan antarabangsa sejak permulaan pandemik COVID-19. Secara purata, tambang penerbangan domestik bagi kelas ekonomi di negara-negara dalam rantau ASEAN, Australia dan China kebanyakannya berada di bawah paras pra-pandemik, manakala, tambang penerbangan antarabangsa bagi negara-negara yang sama mencatatkan kenaikan tambang yang ketara dan kekal melebihi paras tambang penerbangan pada tahun 2019.

Selain itu, setakat 31 Mac 2022, MAVCOM telah menerima sejumlah 22 permohonan Hak Trafik Udara (ATR), di mana 21 ATR telah diluluskan, menandakan kadar kelulusan sebanyak 95.5 peratus. Dari jumlah ATR yang diluluskan, 13 ATR telah diperuntukkan bagi laluan udara antarabangsa, manakala baki 8 ATR telah diberi bagi laluan udara domestik. Separuh daripada jumlah peruntukan ATR bagi laluan udara domestik telah diberi kepada SKS Airways, iaitu salah satu syarikat penerbangan terbaharu di Malaysia. AirAsia, Malaysia Airlines, M Jets International, dan MyJet Xpress masing-masing menerima 3 ATR, manakala kedua-dua MAB Kargo dan MASwings menerima 2 ATR setiap satu, diikuti oleh AirAsia X dengan 1 ATR. Hal ini menandakan perkembangan yang menggalakkan dalam pemulihan berterusan industri penerbangan Malaysia.

Laporan Waypoint diterbitkan sebanyak dua kali setahun dan maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang MAVCOM di sini.