Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Kenyataan MediaPermohonan Hak Trafik Udara Melonjak Sebanyak 210 Peratus Pada Suku Kedua Tahun 2022

 

Permohonan Hak Trafik Udara Melonjak Sebanyak 210 Peratus Pada Suku Kedua Tahun 2022

25 Jul 2022

 

Kelulusan Diberikan bagi Laluan-laluan Udara Baharu Sejajar dengan Sektor-sektor Baharu yang Akan Diterokai Syarikat Penerbangan

 

KUALA LUMPUR, 25 JULAI 2022 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada hari ini telah menerbitkan laporan Hak Trafik Udara (ATR) suku tahunannya, yang memperincikan peruntukan ATR Suruhanjaya untuk sektor penerbangan awam Malaysia bagi tempoh 1 April hingga 30 Jun 2022.

Pada suku kedua tahun 2022 (S2 2022), Suruhanjaya telah melaporkan peningkatan kadar permohonan ATR yang diterima oleh syarikat-syarikat penerbangan, iaitu sebanyak 32 permohonan, yang terdiri daripada 28 laluan udara antarabangsa dan 4 laluan udara domestik. Ini menunjukkan peningkatan permohonan ATR sebanyak 47.6 peratus berbanding suku pertama tahun 2022 (S1 2022), dan peningkatan ATR sebanyak 210 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya (S2 2021). Peningkatan ketara ini didorong oleh pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia pada bulan April 2022 serta inisiatif syarikat penerbangan untuk mengembangkan rangkaian antarabangsa mereka sejajar dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa oleh negara-negara lain.

Selain itu, Suruhanjaya melaporkan bahawa peningkatan permohonan ATR pada S2 2022 disokong lagi oleh keputusan syarikat-syarikat penerbangan untuk meneroka sektor-sektor baharu dalam usaha untuk mengukuhkan rangkaian penerbangan mereka. Ini dilihat dengan permohonan ATR untuk beberapa laluan udara baharu dari lapangan terbang sekunder (secondary airports) di Malaysia, iaitu dari Johor Bahru dan Pulau Pinang, ke destinasi-destinasi di ASEAN. Suruhanjaya juga membuat penekanan bahawa terdapat peningkatan dalam kekerapan kapasiti penerbangan ke Australia dan New Zealand oleh syarikat penerbangan Malaysia, melalui kebebasan udara kelima (fifth freedom) dari Indonesia ke Australia, serta Australia ke New Zealand.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim berkata, “Dalam usaha melakar arah tuju dalam tempoh pasca pandemik, MAVCOM terus komited dalam peranan Suruhanjaya sebagai pengawal selia komersial dan ekonomi industri penerbangan awam di Malaysia. Landskap sektor penerbangan kekal mencabar, tetapi Suruhanjaya amat bersuka cita untuk melaporkan bahawa terdapat peningkatan permohonan ATR yang sihat, dan ini menandakan pemulihan yang stabil bagi syarikat-syarikat penerbangan. Tambahan pula, MAVCOM amat berbesar hati dan menyokong keputusan syarikat penerbangan untuk meneroka sektor-sektor baharu sebagai sebahagian daripada strategi pemulihan mereka dengan pemberian kelulusan ATR bagi laluan-laluan baharu seperti Pulau Pinang ke Denpasar, Phnom Penh dan Pekanbaru dan juga Johor Bahru ke Phnom Penh, Pekanbaru dan Kualanamu. 

Bagi suku dalam tinjauan, MAVCOM telah meluluskan 31 daripada 32 permohonan ATR yang diterima daripada syarikat penerbangan, yang menunjukkan kadar kelulusan sebanyak 96.8 peratus. Kadar kelulusan tersebut adalah lebih tinggi berbanding kadar kelulusan yang dilaporkan bagi S1 2022, iaitu sebanyak 95.4 peratus. Daripada 31 kelulusan ATR tersebut, AirAsia telah menerima jumlah kelulusan ATR tertinggi dengan 11 ATR, diikuti oleh Batik Air Malaysia dan AirAsia X, yang masing-masing menerima 7 dan 6 kelulusan ATR. Kedua-dua MY Jet Xpress Airlines dan Raya Airways telah diberikan 3 ATR setiap satu, dan MABKargo telah diberikan 1 kelulusan ATR.

Sementara itu, sektor kargo mencatat penurunan marginal. Jumlah ATR yang diberi bagi penerbangan kargo hanyalah 29 peratus daripada jumlah ATR yang dikeluarkan Suruhanjaya pada S2 2022, berbanding jumlah ATR yang diberikan bagi penerbangan kargo pada S2 2021 yang mewakili 90 peratus daripada keseluruhan ATR yang diberi. Penelitian Suruhanjaya menunjukkan bahawa pengurangan tersebut dapat dikaitkan dengan kebangkitan semula perkhidmatan penerbangan penumpang yang membawa bersamanya kapasiti kargo ruang perut (belly space cargo capacity). Selain itu, kadar pengangkutan udara kargo juga mengalami penurunan daripada kadar yang tertinggi pada Disember 2021. Walau bagaimanapun, Suruhanjaya memaklumkan bahawa kadar pengangkutan udara kargo kekal lebih tinggi daripada kadar sebelum pandemik COVID-19, dan kekurangan kapasiti kargo di pasaran tertentu turut menandakan potensi pertumbuhan sektor penerbangan kargo.

Laporan Hak Trafik Udara dikeluarkan secara berkala dan maklumat lanjut boleh didapati di laman web MAVCOM, www.mavcom.my