Ruang Berita / Kenyataan Media / MAVCOM Mempertingkatkan Usaha Melindungi Pengguna Menerusi Cadangan Penambahbaikan Kod Pengguna Penerbangan dan Mengalu-alukan Maklum Balas Awam
MAVCOM Mempertingkatkan Usaha Melindungi Pengguna Menerusi Cadangan Penambahbaikan Kod Pengguna Penerbangan yang Sedia ada dan Mengalu-alukan Maklum Balas Awam
MACPC Akan Dipinda untuk Menangani Isu-isu Utama Bayaran Balik
KUALA LUMPUR, 19 OKTOBER 2022 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah menerbitkan Kertas Rundingan mengenai cadangan pindaan terhadap Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia atau lazimnya dikenali sebagai MACPC, iaitu Malaysian Aviation Consumer Protection Code (MACPC). Suruhanjaya menjangkakan pelaksanaan penambahbaikan MACPC pada suku pertama tahun 2023.
Cadangan-cadangan pindaan terhadap MACPC termasuk perlindungan berkaitan bayaran balik, hak-hak penumpang, pas perjalanan serta pemadaman penerbangan yang telah dibatalkan daripada sistem tempahan syarikat penerbangan.
Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, berkata, “Sebagai sebahagian daripada komitmen Suruhanjaya terhadap perlindungan pengguna penerbangan, Suruhanjaya buat julung kalinya, telah menganjurkan webinar penerbangan antarabangsa pada 28 Jun 2022 yang membincangkan perkembangan terkini mengenai perlindungan penerbangan global serta trend masa hadapan bersama-sama barisan pakar daripada industri penerbangan dan perlindungan pengguna sedunia. Webinar tersebut serta pelbagai usaha penglibatan bersama pihak berkepentingan dan analisis terhadap aduan yang dikemukakan kepada MAVCOM telah memberikan gambaran selanjutnya mengenai perkara-perkara dalam MACPC yang perlu diperhalusi dan ditambahbaik. Oleh itu, Suruhanjaya berhasrat untuk berkongsi cadangan-cadangan penambahbaikan kepada MACPC dan berharap dapat menerima maklum balas daripada pihak berkepentingan Suruhanjaya, serta pengguna-pengguna penerbangan.”
“Sebagai pengawal selia ekonomi dan komersial industri penerbangan Malaysia, MAVCOM berada dalam kedudukan terbaik untuk memperjuangkan hak-hak pengguna penerbangan. Sebagai usaha berterusan untuk melindungi pengguna, Suruhanjaya mengetengahkan beberapa pindaan terhadap MACPC yang amat diperlukan supaya jurang-jurang yang telah dikenalpasti dapat ditangani, terutamanya selepas pandemik. Sesungguhnya, pengawalseliaan perlindungan pengguna harus diubahsuai supaya ianya kekal relevan. Sebagai pengawal selia, ia adalah tanggungjawab MAVCOM untuk mendapatkan maklum balas daripada pengguna penerbangan dan industri untuk memastikan hak-hak pengguna penerbangan dilindungi apabila penerbangan mereka tergendala.”
Beliau menambah, “Sesi penglibatan pihak berkepentingan MAVCOM mengenai cadangan penambahbaikan MACPC telah pun bermula. Amatlah penting bagi Suruhanjaya bahawa kami mengambil langkah penambahbaikan MACPC ini bersama-sama dengan pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan untuk memastikan bahawa mereka sedar dengan sepenuhnya akan jangkaan MAVCOM mengenai penambahbaikan MACPC. Selain itu, sesi penglibatan tersebut memberi peluang kepada pemain industri untuk memberikan pandangan mereka. Ini memastikan bahawa penambahbaikan yang dicadangkan memperjuangkan hak-hak pengguna penerbangan dan tidak membebankan operasi perniagaan pemain industri penerbangan.”
Datuk Seri Hj. Saripuddin mengulas lagi, “Ia adalah penting bagi pihak Suruhanjaya untuk menerima pandangan daripada pelbagai pihak bagi menentukan penambahbaikan MACPC yang akan dilaksanakan pada tahun 2023 dapat dijalankan secara holistik dan isu-isu yang dikenalpasti dapat ditangani apabila MACPC diwartakan kelak.”
Sejak penguatkuasaan MACPC pada tahun 2016, syarikat-syarikat penerbangan dikehendaki membayar balik pengguna penerbangan sekiranya penerbangan dibatalkan atau pelan penerbangan diubah dengan ketara. Salah satu penambahbaikan yang dicadangkan terhadap MACPC 2022 adalah bayaran balik dalam kaedah pembayaran asal bagi penerbangan yang tergendala. Peruntukan baharu ini akan memastikan mod pembayaran balik yang konsisten kepada pengguna penerbangan. Selain itu, Suruhanjaya turut mencadangkan bahawa syarikat penerbangan harus jua menawarkan pilihan bayaran balik dalam cara pembayaran asal sekiranya penerbangan ditangguhkan.
Tambahan lagi, Kertas Rundingan tersebut turut menampilkan cadangan peruntukan baharu untuk melindungi pengguna penerbangan yang telah membuat pembayaran terlebih dahulu bagi tiket penerbangan atau pas perjalanan. Ini terpakai sekiranya syarikat penerbangan tidak dapat melaksanakan perkhidmatan seperti yang dijanjikan, seandainya berlaku krisis kewangan seperti penstrukturan semula hutang, pembubaran, atau isu pelesenan. Apabila syarikat penerbangan menjangkakan gangguan kepada operasinya, cadangan pindaan baharu Suruhanjaya ini menghendaki syarikat penerbangan memaklumkan dan menyerahkan pelan yang memperincikan penyelesaian pembayaran balik kepada pengguna. Pelan yang dikemukakan membolehkan MAVCOM untuk mengambil tindakan dan langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan hak-hak pengguna senantiasa dilindungi.
Usaha penambahbaikan MACPC ini adalah yang kedua sejak penerbitan asal MACPC pada Julai 2016, berikutan semakan pertama MACPC pada tahun 2019. Pindaan terhadap MACPC pada tahun 2019 telah memperkenalkan penambahbaikan seperti penghapusan caj-caj tersembunyi semasa penerbangan serta keperluan syarikat penerbangan memaparkan MACPC dengan jelas bagi rujukan pengguna. Pindaan-pindaan tersebut bertujuan untuk memastikan ketelusan yang lebih baik mengenai kewajipan penyedia perkhidmatan penerbangan terhadap pengguna serta menggariskan hak-hak dan kepentingan mereka sebagai pengguna penerbangan.
MAVCOM ingin memperoleh maklum balas mengenai Kertas Rundingannya yang memberi peluang kepada semua pihak untuk memberikan pendapat serta pandangan konstruktif mengenai cadangan-cadangan penambahbaikan terhadap hak-hak penerbangan. Untuk gambaran penuh mengenai cadangan-cadangan pindaan yang dikemukakan, pihak-pihak yang berminat dijemput untuk memberi maklum balas terhadap Kertas Rundingan yang tersedia di laman web MAVCOM. Semua maklum balas dan pandangan perlu diberi secara bertulis dan dihantar sebelum jam 5.00 petang pada tarikh 7 November 2022.
Anda juga boleh memberi maklum balas melalui salah satu cara berikut:
a) Melalui pos yang dialamatkan kepada:
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia
Tingkat 19, Menara 1 Sentrum
201, Jalan Tun Sambanthan
50470 Kuala Lumpur
Malaysia
Perhatian: Unit Hal Ehwal Pengguna
b) Dengan tangan ke alamat di atas.