Ruang Berita / Kenyataan Media / Industri Penerbangan Bersiap Sedia untuk PRU15
Industri Penerbangan Bersiap Sedia untuk PRU15
Analisis MAVCOM Menunjukkan Penambahan Kekerapan Penerbangan Syarikat Penerbangan dan Pengurangan Tambang Penerbangan
KUALA LUMPUR, 27 OKTOBER 2022 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah melengkapkan semakan tambang penerbangan domestik yang akan beroperasi pada tarikh 16 hingga 20 November 2022 (tarikh perjalanan penerbangan PRU15) sempena Pilihan Raya Umum Malaysia ke-15 pada 19 November 2022.
Pemerhatian terkini Suruhanjaya pada 25 Oktober 2022 menunjukkan kebanyakan tambang penerbangan semasa tempoh perjalanan PRU15 telah menyusut selepas lonjakan awal berikutan pengumuman tarikh PRU15. Berdasarkan semakan Suruhanjaya, purata tambang penerbangan domestik sehala merentasi semua syarikat penerbangan bagi laluan udara dalam Semenanjung Malaysia ialah RM185. Sementara itu, purata tambang penerbangan bagi laluan udara dalam Malaysia Timur ialah RM188 dan RM296 bagi laluan udara antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.
Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, berkata, “Pemerhatian Suruhanjaya menunjukkan syarikat penerbangan telah memperkenalkan promosi dan melancarkan diskaun bagi tambang penerbangan untuk memudahkan pengguna bagi tujuan ini. Terdapat juga skim diskaun sedia ada yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan khusus untuk pelajar dan ini dapat membantu pengundi muda untuk keluar mengundi. Industri penerbangan telah menunjukkan sokongan bagi memudahkan pengundi menunaikan kewajipan mereka tanpa beban tambang penerbangan yang tinggi. Namun begitu, ianya boleh ditambahbaik dan adalah penting untuk syarikat-syarikat penerbangan memainkan peranan masing-masing untuk negara dalam tempoh kritikal ini.”
Analisis MAVCOM turut menunjukkan bahawa terdapat beberapa laluan udara sehala yang mempunyai tambang yang melebihi harga purata. Oleh itu, Suruhanjaya menggesa syarikat penerbangan untuk menambah lebih banyak kapasiti di laluan-laluan tersebut memandangkan permintaan yang tinggi semasa tempoh PRU15. Tambahan lagi, MAVCOM telah meminta syarikat-syarikat penerbangan menambah kapasiti bagi laluan-laluan udara yang beroperasi semasa tempoh tarikh perjalanan penerbangan PRU15 bagi memastikan sejumlah penerbangan telah tersedia ke pelbagai destinasi domestik pada harga yang berpatutan. Sebagai pengawal selia ekonomi dan komersial bagi industri penerbangan, Suruhanjaya komited untuk meluluskan semua permohonan laluan bagi tujuan PRU15 dan dalam melaksanakan mandat yang telah diberikan kepada Suruhanjaya untuk kepentingan negara.
Berdasarkan data yang telah dikemukakan kepada MAVCOM, semua syarikat penerbangan tempatan telahpun membuat perancangan untuk menambah penerbangan bagi tujuan PRU15 mulai November 2022 menggunakan sumber yang sedia ada. Penerbangan tambahan yang dirancang termasuk 45 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) ke lokasi-lokasi terpilih di Semenanjung Malaysia. Khusus bagi penerbangan yang beroperasi dari Subang, 30 penerbangan tambahan telah dirancang ke destinasi-destinasi terpilih di Semenanjung Malaysia. Di samping itu, 68 penerbangan tambahan telah dirancang untuk penerbangan antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur. Tambahan pada itu, Malaysia Airlines turut mengatur pelan untuk meningkatkan kapasiti ke destinasi-destinasi utama di Semenanjung dan Malaysia Timur menggunakan pesawat Airbus A330 berbadan lebar (wide-body) bagi menampung permintaan yang tinggi semasa tempoh perjalanan PRU15.
Selain itu, terdapat penerbangan tambahan yang dirancang ke destinasi terpilih di Malaysia Timur di bawah program Perkhidmatan Udara Luar Bandar, serta 5 penerbangan tambahan yang dirancang antara Subang dan Seletar di Singapura.
Datuk Seri Hj. Saripuddin seterusnya menambah bahawa “MAVCOM mengalu-alukan pelan tindakan ini oleh syarikat-syarikat penerbangan. Penambahan kapasiti yang dirancang mungkin berubah hampiri tarikh pilihan raya bergantung kepada sebab operasi dan permintaan pasaran keseluruhan. Walau bagaimanapun, Suruhanjaya akan memantau perkembangan industri dengan teliti untuk memastikan penerbangan ditawarkan pada harga yang berpatutan dan adalah mencukupi dan tersedia bagi memenuhi permintaan penerbangan bagi PRU15.”
Di samping itu, Suruhanjaya ingin menekankan bahawa selaras dengan keputusan Kerajaan Malaysia pada tahun 2006 untuk merasionalkan sektor perkhidmatan udara domestik, tambang penerbangan ditetapkan oleh syarikat penerbangan.
Suruhanjaya ingin menegaskan bahawa mengundi semasa Pilihan Raya Umum adalah tanggungjawab penting yang perlu ditegakkan. Oleh itu, syarikat-syarikat penerbangan digalakkan untuk terus mengambil peranan yang lebih ketara dalam memastikan harga tambang penerbangan adalah berpatutan supaya dapat membantu rakyat Malaysia memenuhi kewajipan sivik mereka yang memberi kesan kepada masa depan negara.
MAVCOM akan terus bekerjasama bersama Kementerian Pengangkutan serta syarikat-syarikat penerbangan tempatan dan bertekad untuk memastikan pengguna dapat pulang mengundi dan melaksanakan hak-hak demokrasi mereka dengan lancar.