Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Kenyataan Media / Peningkatan Permohonan Hak Trafik Udara Sebanyak 18.8% pada S3 2022

Peningkatan Permohonan Hak Trafik Udara Sebanyak 18.8% pada S3 2022

8 Nov 2022

 

Permintaan Penerbangan Luar Jangkaan di Rantau Asia Pasifik Menyumbang kepada Lonjakan Permohonan Hak Trafik Udara

 

KUALA LUMPUR, 8 NOVEMBER 2022 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah menerbitkan laporan Hak Trafik Udara (ATR) bagi suku ketiga tahun 2022 (S3 2022) dari 1 Julai hingga 30 September 2022. Laporan tersebut menggariskan peruntukan ATR Suruhanjaya untuk sektor penerbangan awam Malaysia sepanjang tempoh tersebut. 

Pada S3 2022, Suruhanjaya telah menerima sejumlah 38 permohonan ATR yang terdiri daripada 33 laluan udara antarabangsa dan 5 laluan udara domestik. Menurut Suruhanjaya, kadar peruntukan ATR terus bertambah baik apabila industri penerbangan semakin pulih, seperti yang dapat dilihat melalui peningkatan sebanyak 18.8 peratus dalam permohonan yang diterima berbanding suku sebelumnya (S2 2022) serta lonjakan permohonan ketara sebanyak 81 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya (S3 2021).

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim berkata, “Suruhanjaya berbesar hati melaporkan peningkatan yang berterusan dalam permohonan dan kelulusan ATR sepanjang tahun lalu dan untuk 3 suku tahun pada tahun ini, yang mencerminkan kemajuan positif dalam pemulihan sektor penerbangan Malaysia. Antara penyumbang kepada pemulihan tersebut adalah pembukaan semula sempadan serantau dan antarabangsa secara beransur-ansur, pengurangan penyebaran COVID-19, pengaktifan semula pesawat oleh syarikat penerbangan, dan peningkatan dalam perkhidmatan penumpang ke destinasi-destinasi didorongi oleh permintaan terpendam. Majoriti permohonan ATR yang telah diterima oleh Suruhanjaya adalah bagi destinasi-destinasi di rantau Asia Pasifik termasuk 11 permohonan bagi laluan udara di ASEAN, 9 bagi laluan udara di Asia dan 4 bagi destinasi di Australasia. Suruhanjaya yakin bahawa industri penerbangan negara akan terus mencapai kadar pemulihan yang progresif.”

Pada S3 2022, Suruhanjaya telah meluluskan 34 daripada 38 permohonan ATR yang diterima daripada syarikat penerbangan. Semua permohonan ATR domestik telah diluluskan oleh MAVCOM. Daripada 34 ATR yang diluluskan oleh Suruhanjaya, Batik Air Malaysia dan AirAsiaX telah menerima jumlah kelulusan ATR tertinggi berjumlah 10 ATR bagi setiap syarikat penerbangan. Ini diikuti oleh MABKargo dengan kelulusan sebanyak 5 ATR. Kedua-dua Malaysia Airlines dan World Cargo Airlines masing-masing diberikan kelulusan sebanyak 3 ATR, manakala AirAsia, MyJet Xpress, dan Raya Airways masing-masing mendapat 1 kelulusan ATR.

MAVCOM mengambil kira beberapa syarat semasa membuat peruntukan ATR, termasuk permintaan pasaran, kualiti perkhidmatan dan daya maju ekonomi penerbangan yang dicadangkan, tahap persaingan – terutama sekali di laluan antarabangsa serta impak ke atas lapangan terbang dan industri penerbangan Malaysia, antara lainnya. 

Menurut Suruhanjaya, sektor kargo telah menyaksikan pertumbuhan dari segi jumlah  permohonan ATR yang dikemukakan dan diluluskan oleh MAVCOM pada tahun 2022, di mana sejumlah 10 ATR diperuntukkan untuk sektor kargo pada S3 2022. Peningkatan permintaan untuk kargo di ASEAN dan destinasi-destinasi di China menjadi faktor penyumbang kepada peningkatan tersebut. Dari segi prestasi, kelulusan ATR untuk sektor kargo telah meningkat sebanyak 25 peratus dari S1 2022 hingga S3 2022, sebanyak 10 peratus dari S2 2022 hingga S3 2022, dan melonjak sebanyak 44.4 peratus berbanding S3 2021.

Laporan Hak Trafik Udara dikeluarkan secara berkala dan maklumat lanjut boleh didapati di laman web MAVCOM, www.mavcom.my.