Ruang Berita / Kenyataan Media / Industri Penerbangan Digesa Bersedia Menghadapi Perayaan Tahun Baru Cina
Industri Penerbangan Digesa Bersedia Menghadapi Perayaan Tahun Baru Cina
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengarahkan syarikat penerbangan menambahbaik pengurusan gangguan penerbangan selaras dengan jangkaan trafik penumpang yang tinggi dan peningkatan kapasiti penerbangan
KUALA LUMPUR, 10 Januari 2023 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah mengarahkan semua syarikat penerbangan mempertingkatkan pengurusan gangguan penerbangan dengan serta-merta dan mengingatkan syarikat penerbangan terhadap kewajipan mereka kepada pengguna di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC). Keperluan baharu tersebut diarah oleh Suruhanjaya sebagai persediaan untuk jangkaan peningkatan kapasiti penerbangan serta trafik penumpang semasa musim perayaan Tahun Baru Cina, yang merupakan salah satu tempoh perjalanan puncak di Malaysia.
Selain itu, arahan tersebut menggesa syarikat penerbangan untuk segera menyelesaikan sebarang isu yang dialami oleh penumpang berikutan isu-isu gangguan penerbangan yang telah berlaku baru-baru ini.
MAVCOM mengingatkan syarikat penerbangan terhadap kewajipan mereka kepada pengguna
Walaupun syarikat penerbangan mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mengendalikan gangguan penerbangan, pengurusan gangguan tersebut perlu diperkukuhkan lagi dan memerlukan perhatian segera. Oleh itu, keperluan baharu tersebut bertujuan untuk menangani kebimbangan orang ramai mengenai pengurusan pengendalian penundaan dan pembatalan penerbangan oleh syarikat penerbangan terutamanya semasa musim cuti perayaan, berikutan jangkaan peningkatan perjalanan udara.
Antara obligasi lain, MAVCOM telah mengarahkan syarikat penerbangan untuk mengerahkan Pasukan Pengendali Penundaan bagi penerbangan yang ditunda selama 2 jam atau lebih. Kakitangan syarikat penerbangan yang terlibat mestilah diberi kuasa untuk bertindak dan harus membantu pengguna di semua lapangan terbang di Malaysia sekiranya berlaku penundaan atau sebarang gangguan penerbangan. Obligasi ini bertujuan untuk menambahbaik komunikasi kepada penumpang serta menyediakan penjagaan serta keperluan seperti yang digariskan di dalam MACPC.
Syarikat penerbangan hendaklah melaksanakan kewajipan mereka apabila berlaku gangguan penerbangan terutamanya semasa musim perayaan seperti Tahun Baru Cina yang akan datang serta tempoh perjalanan puncak yang lain. MAVCOM telah meluluskan kesemua penerbangan tambahan yang dimohon oleh syarikat penerbangan untuk tempoh Tahun Baru Cina yang akan datang dan oleh itu, syarikat penerbangan perlu bersedia dari segi operasi dan melaksanakan kewajipan mereka secara efektif untuk memastikan keselesaan pengguna senantiasa diutamakan.
MAVCOM meluluskan kesemua 291 penerbangan tambahan yang dimohon oleh syarikat penerbangan untuk perayaan Tahun Baru Cina
Sebagai usaha untuk meningkatkan kapasiti penerbangan antara 18 hingga 31 Januari 2023, MAVCOM telah meluluskan kesemua 291 penerbangan tambahan yang dimohon oleh syarikat penerbangan. Langkah ini bertujuan memenuhi permintaan perjalanan dan menangani isu tambang penerbangan yang tinggi semasa tempoh Tahun Baru Cina.
Setakat 6 Januari 2023, 291 penerbangan tambahan yang dimohon oleh syarikat penerbangan telah diluluskan oleh MAVCOM merangkumi AirAsia (134), Malaysia Airlines (53), Batik Air (44), SKS Airways (44) dan Firefly (16) ke semua destinasi di Malaysia dalam tempoh tersebut.
Laluan yang mempunyai penerbangan tambahan tertinggi bagi musim tersebut ialah laluan antara Sabah dan Sarawak dengan 205 penerbangan. Perkhidmatan tambahan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah terdiri daripada 50 ke Kota Kinabalu, diikuti dengan 21 ke Tawau, dan 2 ke Sandakan. Selain itu, 52 penerbangan tambahan dari Semenanjung Malaysia diluluskan ke Kuching, diikuti dengan 41 ke Sibu, 23 ke Miri, dan 16 ke Bintulu.
Ini merupakan tambahan kepada 1,253 penerbangan sedia ada yang telah dijadualkan untuk beroperasi antara Semenanjung Malaysia dan Sabah, 1,594 antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak, serta 3,261 dalam Semenanjung Malaysia yang akan dikendalikan oleh semua syarikat penerbangan dalam tempoh yang dinyatakan.
Secara keseluruhan, Suruhanjaya telah meluluskan sebanyak 33.5 peratus penambahan penerbangan domestik bagi tahun 2023 berbanding musim perayaan Tahun Baru Cina 2022.