Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Kenyataan Media / MAVCOM Melaporkan Maklumat Terkini Tentang Penyiasatan Gangguan Penerbangan AirAsia X dan Batik Air

 

MAVCOM Melaporkan Maklumat Terkini Tentang Penyiasatan Gangguan Penerbangan AirAsia X dan Batik Air

13 Jan 2023


KUALA LUMPUR, 13 Januari 2023 
– Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) ingin melaporkan maklumat terkini mengenai siasatannya berhubung pembatalan penerbangan D7 219 oleh AirAsia X Berhad (AirAsia X) dari Melbourne ke Kuala Lumpur pada 2 Januari 2023 serta penundaan penerbangan OD 7634 dari Kuala Lumpur ke Kuching yang dikendalikan oleh Batik Air Sdn. Bhd. (Batik Air) pada 22 Disember 2022.

Penemuan Mengenai Penerbangan D7 219 oleh AirAsia X dari Melbourne ke Kuala Lumpur pada 2 Januari 2023

MAVCOM telah menerima semua maklumat yang diperlukan daripada AirAsia X dan pengguna yang membuat laporan (pengguna yang terjejas) mengenai insiden tersebut kepada MAVCOM ekoran pembatalan penerbangan D7 219. Pengguna yang terjejas telah membeli 2 tiket bagi penerbangan D7 219 yang dijadualkan untuk berlepas dari Melbourne ke Kuala Lumpur pada 2 Januari 2023. Pada 30 Disember 2022, pengguna yang terjejas telah menerima notifikasi mengenai pembatalan penerbangan tersebut daripada AirAsia X atas sebab-sebab operasi. Sehubungan dengan itu, pengguna yang terjejas telah ditempatkan semula dalam penerbangan D7 213 yang dijadualkan untuk berlepas ke Kuala Lumpur pada 6 Januari 2023.

Siasatan MAVCOM mengesahkan bahawa kesemua pengguna yang terjejas telah dimaklumkan oleh AirAsia X mengenai pembatalan penerbangan melalui SMS serta melalui e-mel pada 30 Disember 2022 yang menawarkan 3 pilihan pemulihan perkhidmatan kepada pengguna. Ketiga-tiga pilihan tersebut merangkumi penempatan semula penerbangan secara percuma pada tarikh perjalanan pilihan pengguna, penukaran kos tiket penerbangan kepada Akaun Kredit atau bayaran balik tiket penerbangan yang tidak digunakan.

Berdasarkan laporan dan bukti yang diperolehi daripada AirAsia X dan pengguna yang terjejas, AirAsia X telah memaklumkan pengguna yang terjejas mengenai gangguan penerbangan tersebut. AirAsia X turut memberikan pilihan kepada pengguna yang terjejas untuk menempah semula penerbangan mereka dari Melbourne ke Kuala Lumpur dari tarikh 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2023, tertakluk kepada ketersediaan penerbangan yang dipilih. AirAsia X juga telah menempatkan semula pengguna-pengguna penerbangan D7 219 dalam penerbangan lain antara 3 hingga 7 Januari 2023.

Penemuan Suruhanjaya menunjukkan bahawa AirAsia X telah menawarkan pilihan untuk mengurangkan beban gangguan penerbangan bagi pengguna yang terjejas menurut Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) iaitu dengan menawarkan pengguna bayaran balik penuh tiket penerbangan atau penerbangan alternatif sama ada pada tarikh yang terdekat atau tarikh lain yang bersesuaian kepada pengguna sekiranya berlaku pembatalan penerbangan.

Pada masa yang sama, Suruhanjaya juga menasihati pengguna supaya berhati-hati apabila berkongsi maklumat dalam talian berkaitan isu penerbangan mereka dan meminta pengguna menghantar aduan mereka kepada saluran-saluran rasmi yang tersedia, dengan menyediakan maklumat dan dokumentasi yang mencukupi untuk memastikan penyiasatan menyeluruh dapat dilaksanakan. 

Pengemaskinian Mengenai Penerbangan OD 7634 oleh Batik Air dari Kuala Lumpur ke Kuching 

Penerbangan Batik Air OD 7634 telah dijadualkan untuk berlepas dari Kuala Lumpur ke Kuching pada 22 Disember 2022, jam 11.35 malam. Penerbangan tersebut ditangguhkan selama 8 jam dan akhirnya berlepas pada 23 Disember 2022, jam 7.45 pagi, menjejaskan seramai 170 penumpang.

Susulan daripada siasatan MAVCOM mengenai gangguan penerbangan tersebut, perenggan-perenggan 8 (1) dan 12 (6) MACPC memperuntukkan sesuatu syarikat penerbangan yang beroperasi hendaklah memberikan maklumat kepada penumpang dan orang ramai tentang sesuatu perubahan status penerbangan dengan secepat yang dapat dilaksanakan dan beban pembuktian berkenaan sama ada dan bila penumpang diberitahu mengenai penundaan atau pembatalan penerbangan hendaklah terletak pada syarikat penerbangan yang beroperasi. Batik Air telah memberikan maklumat berkaitan gangguan penerbangan OD 7634 dari Kuala Lumpur ke Kuching kepada pihak MAVCOM. Walau bagaimanapun, MAVCOM mendapati bahawa bukti untuk mengesahkan sekiranya Batik Air telah mengambil kesemua langkah-langkah pemakluman berkenaan gangguan penerbangan kepada pengguna-pengguna terjejas pada hari tersebut adalah tidak mencukupi.  

MAVCOM tidak berpuas hati dengan maklumat yang diberikan oleh Batik Air berhubung gangguan komunikasi penerbangan kepada pengguna yang terjejas dan telah mengeluarkan surat tunjuk sebab (show cause letter) kepada Batik Air pada 12 Januari 2023 untuk mengemukakan representasi secara bertulis kepada MAVCOM. 

Ia adalah kewajipan MAVCOM untuk memastikan penyiasatan yang objektif dan mendalam dijalankan sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan dilaksanakan. Oleh itu, Suruhanjaya perlu mengesahkan semua maklumat daripada syarikat penerbangan dan pengguna yang terjejas untuk memastikan tindakan seterusnya adalah wajar.

Bergantung kepada jenis dan tahap ketidakpatuhan terhadap MACPC, syarikat penerbangan boleh dikenakan penalti kewangan yang tidak melebihi RM200,000 untuk kesalahan pertama dan 10 kali ganda amaun penalti tersebut untuk ketidakpatuhan kedua atau seterusnya. 

Sehingga kini, Suruhanjaya telah mengenakan penalti kewangan berjumlah RM4.7 juta terhadap syarikat penerbangan kerana ketidakpatuhan kepada MACPC.

Apakah yang boleh pengguna lakukan apabila berlakunya isu penerbangan?

MAVCOM menggesa pengguna yang terjejas untuk memberi peluang kepada syarikat penerbangan untuk memberikan penyelesaian kepada aduan mereka. Pengguna terjejas yang tidak menerima maklum balas atau tidak berpuas hati dengan penyelesaian yang diberi oleh syarikat penerbangan digalakkan untuk mengemukakan aduan mereka kepada MAVCOM melalui laman web MAVCOM di www.mavcom.my.

Pengguna juga boleh mengemukakan aduan mereka melalui FlySmart, iaitu inisiatif berteraskan pengguna MAVCOM, di laman web www.flysmart.my, atau aplikasi mudah alih FlySmart yang boleh dimuat turun secara percuma di Apple App Store dan Google Play Store. 

Pengguna juga boleh menghubungi talian pengguna MAVCOM di 1800-18-6966 untuk panggilan dalam Malaysia atau +603-7651 2777 untuk panggilan dari luar Malaysia.