Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Kenyataan Media / MAVCOM Menjalankan Pemeriksaan Lapangan Terbang Menjelang Tahun Baharu Cina

 

MAVCOM Menjalankan Pemeriksaan Lapangan Terbang Menjelang Tahun Baharu Cina

17 Jan 2023


KUALA LUMPUR, 17 Januari 2023
– Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah menjalankan pemeriksaan mengejut di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada hari ini menjelang tempoh perjalanan Tahun Baharu Cina.

Pemeriksaan tersebut bertujuan untuk menilai kesiapsiagaan operasi syarikat-syarikat penerbangan dan lapangan terbang, terutamanya pada musim-musim perayaan atau cuti di mana trafik penumpang dijangka meningkat.

Pemeriksaan tersebut dilaksanakan susulan kelulusan daripada Suruhanjaya terhadap pemohonan oleh syarikat-syarikat penerbangan untuk 316 penerbangan tambahan bagi tempoh 18 hingga 31 Januari 2023. Pada 16 Januari 2023, MAVCOM telah mengeluarkan surat peringatan kepada semua syarikat-syarikat penerbangan tempatan supaya mematuhi jadual penerbangan dan slot-slot yang diluluskan.

Pemeriksaan tersebut disertai oleh Anggota-anggota Suruhanjaya, Ahli-ahli Jawatankuasa Perlindungan Pengguna serta Pengurusan Kanan Suruhanjaya untuk memastikan operasi di lapangan terbang dan pengendalian penumpang diurus dengan baik oleh syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang semasa tempoh genting ini.

Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang MAVCOM

Pemeriksaan oleh MAVCOM merupakan inisiatif yang dilaksanakan menjelang musim yang mempunyai kadar trafik penumpang yang tinggi. Suruhanjaya melaksanakan pemeriksaan bulanan terhadap pematuhan pengendali lapangan terbang kepada Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang) dengan objektif untuk meningkatkan keselesaan penumpang di lapangan terbang dan memperbaiki pengalaman di lapangan terbang bagi syarikat penerbangan, pengendali darat dan pengguna-pengguna lapangan terbang yang lain di Malaysia.

Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang pada asasnya berfungsi sebagai arahan kepada pengendali lapangan terbang untuk menilai, memantau, menyelenggara dan mempertingkat perkhidmatannya berdasarkan piawaian dan penunjuk prestasi utama yang digariskan dalam Rangka Kerja tersebut. Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang terdiri daripada 4 kategori kualiti perkhidmatan utama, iaitu keselesaan dan kemudahan penumpang, masa penggiliran, aliran penumpang dan bagasi, serta kelengkapan pengendali dan kemudahan kakitangan. 4 kategori ini diperincikan selanjutnya kepada 28 elemen kualiti perkhidmatan seperti kepuasan keseluruhan di lapangan terbang, kebersihan tandas, masa ketibaan bagasi, dan lain-lain.

Sehingga 31 Disember 2022, Suruhanjaya telah melaksanakan sebanyak 20 elemen kualiti perkhidmatan di KLIA dan klia2. 8 elemen kualiti perkhidmatan yang selebihnya berkenaan masa penggiliran di lapangan terbang disasarkan untuk dilaksanakan dalam tahun 2023.

Sebagai pengawal selia ekonomi dan komersial untuk industri penerbangan, MAVCOM akan terus memantau prestasi penerbangan syarikat penerbangan, operasi lapangan terbang, serta memastikan perlindungan pengguna terus ditegakkan dan dilindungi.

Lampiran Fakta Mengenai Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang