Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Kenyataan Media / Permohonan Hak Trafik Udara pada Suku Keempat Tahun 2022 Melepasi Tahap Pra-Pandemik

 

Permohonan Hak Trafik Udara pada Suku Keempat Tahun 2022 Melepasi Tahap Pra-Pandemik

31 Jan 2023

Pengukuhan Pemulihan Industri Penerbangan Berkekalan Sejajar Dengan Kelulusan 100 peratus Permohonan Hak Trafik Udara

 

KUALA LUMPUR, 31 JANUARI 2023 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) hari ini mengeluarkan laporan Hak Trafik Udara (ATR) bagi suku keempat tahun 2022 (S4 2022), yang memperincikan 44 peruntukan ATR untuk sektor penerbangan awam Malaysia dalam tempoh Oktober hingga Disember 2022.

Ketika industri penerbangan sedang melalui fasa pasca-pandemik COVID-19, laporan ATR tersebut mencatatkan pemulihan industri yang stabil sejajar dengan trend peningkatan peruntukan ATR bagi S4 2022. Secara keseluruhan, Suruhanjaya telah menerima peningkatan permohonan ATR sebanyak 15.8 peratus berbanding suku ketiga 2022 (S3 2022), di mana 100 peratus ATR yang dimohon telah diluluskan oleh Suruhanjaya. Peruntukan ATR untuk S4 2022 terdiri daripada 28 laluan antarabangsa dan 16 laluan domestik.

Selain itu, Suruhanjaya telah mencatatkan jumlah peruntukan ATR tertinggi pada S4 2022, berbanding suku yang sama sepanjang empat tahun lalu, yang menyaksikan 27 ATR diberikan pada S4 2021, 40 ATR pada S4 2020, dan 37 ATR pada S4 2019 masing-masingnya.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim berkata, “Dengan tamatnya tahun 2022 iaitu tahun pemulihan bagi syarikat penerbangan dan industri penerbangan, Suruhanjaya sukacita melaporkan bahawa permohonan ATR pada S4 2022 telah mencapai 12.8 peratus daripada permohonan ATR yang diterima sebelum pandemik pada S4 2019. Penyambungan semula perjalanan udara secara beransur-ansur sejak pembukaan semula sempadan serantau dan antarabangsa telah meningkatkan kadar permohonan ATR bagi suku tersebut, yang terutamanya didorong oleh pembukaan laluan-laluan udara domestik baharu. Ini merupakan peningkatan ketara sebanyak 220 peratus dalam permohonan ATR yang diterima dan diberikan untuk destinasi-destinasi tempatan pada S4 2022, yang kebanyakannya disebabkan kemunculan MYAirline, iaitu syarikat penerbangan penumpang tambang rendah terbaharu Malaysia yang telah mula beroperasi pada bulan Disember 2022.”

Daripada 44 ATR yang diperuntukkan oleh Suruhanjaya, MYAirline telah diberikan bilangan kelulusan ATR yang tertinggi iaitu sebanyak 12 daripada 16 ATR bagi penerbangan domestik. Ini diikuti oleh AirAsia, AirAsia X, dan Batik Air Malaysia yang masing-masing menerima 9 ATR. Sementara itu, kedua-dua Firefly dan Raya Airways masing-masing diberikan kelulusan 2 ATR, dan Malaysia Airlines diberi 1 kelulusan ATR.

Dari segi perbandingan tahun ke tahun, Suruhanjaya telah melaporkan lonjakan sebanyak 31 peratus dalam permohonan ATR pada tahun 2022 berbanding pada tahun 2021, dan peningkatan sebanyak 29 peratus berbanding tahun 2020. Berikutan pemulihan yang stabil sepanjang tahun 2022, permohonan ATR telah mencapai sebanyak 78 peratus daripada permohonan ATR pra-pandemik yang diterima oleh Suruhanjaya pada tahun 2019. Tambahan lagi, MAVCOM telah meluluskan 52 ATR pada tahun 2022 berbanding tahun 2021 untuk penerbangan antarabangsa. Ini menunjukkan impak pembukaan semula sempadan di seluruh dunia yang memberikan kesan positif yang menetapkan industri pada laluan pemulihan.

Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim menambah, “Sebagai menyokong pemulihan industri, Suruhanjaya memberikan kelulusan ATR kepada syarikat penerbangan untuk destinasi-destinasi baharu di seluruh Asia Pasifik seperti Australia dan Bangladesh, antara lain. Ini termasuk kelulusan untuk 4,241 tempat duduk tambahan bagi perkhidmatan berjadual ke Australia, penerbangan harian ke Dubai, 7 penerbangan mingguan setiap satu untuk Jeddah dan Madinah, serta Amritsar dan Trivandrum di India. Suruhanjaya juga meluluskan laluan terus harian dari Pulau Pinang ke Singapura dan Kuala Namu, Indonesia. Suruhanjaya yakin industri penerbangan negara akan kekal pada laluan yang stabil menuju pemulihan menjelang 2024 seperti yang diramalkan oleh International Air Transport Association (IATA).” 

Sebaliknya, permohonan ATR untuk sektor kargo udara mengalami pengurangan sebanyak 80 peratus pada suku dalam semakan dengan penerimaan 2 permohonan ATR berbanding S3 2022, yang merekodkan 10 permohonan ATR. Dari segi tahun ke tahun, permohonan ATR untuk kargo udara pada S4 2022 telah menurun sebanyak 85 peratus berbanding S4 2021, disebabkan oleh pengurangan permintaan untuk perniagaan pengangkutan kargo udara. Ini berikutan peningkatan ruang perut pesawat penumpang (passenger belly space) dengan ketara berikutan lonjakan perjalanan udara.

Laporan Hak Trafik Udara dikeluarkan secara berkala dan maklumat lanjut boleh didapati di laman web MAVCOM, www.mavcom.my.