Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Kenyataan Media / MAVCOM Mengalu-alukan Pelantikan Anggota Suruhanjaya Terbaharu

 

MAVCOM Mengalu-alukan Pelantikan Anggota Suruhanjaya Terbaharu

11 Apr 2023

 

KUALA LUMPUR, 11 APRIL 2023 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pengangkutan dan mengalu-alukan pelantikan YBhg. Dato Ir. Alice Jawan Empaling sebagai Anggota Suruhanjaya baharu MAVCOM untuk tempoh 3 tahun, berkuat kuasa dari 28 Mac 2023 hingga 27 Mac 2026.

YBhg. Dato Ir. Alice membawa bersama pengetahuan serta pengalaman yang luas dalam sektor awam dengan peranan beliau antara lainnya, sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak dan perkhidmatan beliau di Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim berkata, “MAVCOM amat berterima kasih kepada Menteri Pengangkutan atas pelantikan YBhg. Dato Ir. Alice. Bersama-sama dengan barisan Anggota Suruhanjaya kami yang sedia ada, kami yakin pengalaman YBhg. Dato Ir. Alice yang meluas akan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan usaha MAVCOM untuk menggalakkan industri penerbangan awam yang berdaya maju dari segi komersial, berorientasikan pengguna dan berdaya saing dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara.”

Beliau menambah, “Penyertaan YBhg. Dato Ir. Alice sebagai Anggota Suruhanjaya akan dapat memangkinkan pelbagai pelaksanaan inisiatif Suruhanjaya terutamanya yang berkaitan dengan Malaysia Timur iaitu Perkhidmatan Udara Luar Bandar di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Pelantikan beliau juga mampu membawa perspektif wanita dalam bidang pengangkutan terutamanya udara. Pihak MAVCOM yakin beliau dapat memberikan sumbangan dalam menambahkan lagi kepelbagaian dan keterangkuman yang juga akan memberi kesan positif kepada Suruhanjaya.”