Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Kenyataan Media / MAVCOM Ensures Smooth Flying for Hari Raya Aidilfitri Celebrations with Surprise Airport Inspections

 

MAVCOM Melaksanakan Pemeriksaan Lapangan Terbang Mengejut untuk Memastikan Penerbangan Lancar Menjelang Sambutan Hari Raya Aidilfitri

19 Apr 2023

 

KUALA LUMPUR, 19 April 2023 – Tatkala rakyat Malaysia sedang bersiap sedia untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan datang, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah menjalankan pemeriksaan lapangan terbang mengejut di Lapangan Terbang Antarabangsa KL, Terminal 1 dan Terminal 2 serta Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Lapangan Terbang Subang), untuk menilai kesediaan syarikat penerbangan dan lapangan terbang mengendali peningkatan trafik penumpang yang dijangkakan di sepanjang tempoh musim perayaan yang menjelang.

Pemeriksaan lapangan terbang tersebut bermula pada 17 April 2023 dan Suruhanjaya akan meneruskan pemeriksaannya sepanjang tempoh perjalanan Hari Raya Aidilfitri. Pasukan pemeriksaan lapangan terbang MAVCOM merangkumi barisan Pengurusan Kanan bersama kakitangan yang memantau prestasi serta pematuhan syarikat penerbangan dan lapangan terbang untuk memastikan penumpang dikendalikan dengan efisien dan efektif semasa tempoh puncak ini.

Bagi memastikan operasi yang lancar, MAVCOM melalui surat yang dikeluarkan pada 14 April 2023, telah memberi peringatan kepada pemain industri untuk memastikan kesediaan operasi secara konsisten operasi bagi mengelakkan sebarang gangguan penerbangan kepada perjalanan penumpang. Dalam suratnya, MAVCOM menggesa syarikat penerbangan untuk mematuhi jadual penerbangan yang diterbitkan serta slot yang diluluskan. Sementara itu, pengendali lapangan terbang diingatkan supaya mematuhi tahap perkhidmatan yang telah ditetapkan.

Semasa pemantauan beliau, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim, berkata, “Berdasarkan jumlah penerbangan yang telah diluluskan oleh MAVCOM, hampir 700,000 penumpang dijangka akan menaiki penerbangan sepanjang tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri ini. Selaras dengan ini, keutamaan MAVCOM ialah memastikan keselesaan serta kelancaran perjalanan kepada pengguna semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri. Oleh itu, pemeriksaan lapangan terbang ini perlu dilaksakan. Dengan memastikan kemudahan dan kelancaran perjalanan pengguna menjelang Hari Raya ini, Suruhanjaya dapat memainkan peranan kecil dalam menghubungkan serta menyemarakkan kegembiraan rakyat Malaysia pada musim perayaan yang istimewa ini. Pemeriksaan mengejut kami di Terminal 1 dan 2 serta Lapangan Terbang Subang bertujuan untuk mengenal pasti isu yang memerlukan penambahbaikan. Suruhanjaya bekerjasama rapat dengan pengendali lapangan terbang dan syarikat penerbangan untuk menangani sebarang isu yang timbul. Selain itu, sebagai pengawal selia ekonomi industri penerbangan, kami memahami kepentingan sektor penerbangan kepada ekonomi serta masyarakat. Oleh itu, Suruhanjaya akan terus bekerjasama rapat dengan pemain-pemain industri dalam memastikan sektor penerbangan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan dan pembangunan di Malaysia.”

Beliau menambah, “Daripada pemeriksaan kami, Suruhanjaya ingin melaporkan bahawa tahap kesediaan kedua-dua syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang di kesemua titik sentuh penumpang penerbangan (consumer touchpoints) adalah memuaskan selari dengan jangkaan peningkatan trafik penumpang. Namun begitu, MAVCOM akan terus menjalankan pemeriksaannya dan akan terus bekerjasama bersama syarikat penerbangan serta operator lapangan terbang bagi memastikan tahap perkhidmatan ini berterusan sepanjang tempoh perjalanan Hari Raya. Pasukan kami juga akan menjalankan pemeriksaan berkala semasa musim perjalanan bukan puncak.”

MAVCOM amat menggalakkan pengguna untuk mendaftarkan aduan mereka dengan syarikat penerbangan atau pengendali lapangan terbang sekiranya berlaku gangguan penerbangan. Pengguna terjejas yang tidak menerima maklum balas atau tidak berpuas hati dengan penyelesaian yang diberi oleh syarikat penerbangan atau pengendali lapangan terbang digalakkan untuk mengemukakan aduan mereka kepada MAVCOM melalui inisiatif berteraskan pengguna MAVCOM, di laman web www.flysmart.my, atau aplikasi mudah alih FlySmart yang boleh dimuat turun secara percuma di Apple App Store dan Google Play Store.

Pengguna juga boleh menghubungi talian pengguna MAVCOM di 1800-18-6966 untuk panggilan dalam Malaysia atau +603-7651 2777 untuk panggilan dari luar Malaysia. Semua saluran pengguna MAVCOM bersedia untuk menerima dan membantu pengguna dengan aduan mereka.

Sejak awal bulan Mac, MAVCOM serta pihak-pihak berkuasa berkaitan telah menggalakkan syarikat penerbangan untuk menawarkan tambang penerbangan yang berpatutan dan telah meluluskan kesemua permintaan kapasiti tambahan oleh syarikat penerbangan termasuk menawarkan tambang tetap ke destinasi-destinasi utama di Malaysia. MAVCOM telah meluluskan 527 penerbangan tambahan bagi tempoh 15 April hingga 6 Mei 2023 untuk 6 syarikat penerbangan, khususnya dalam usaha untuk memenuhi permintaan penerbangan yang tinggi bagi penerbangan antara Semenanjung Malaysia dan Sabah dan Sarawak. Ianya adalah tambahan kepada 5,617 penerbangan yang telah dijadualkan untuk beroperasi di Semenanjung Malaysia, 2,149 penerbangan antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak, serta 2,033 penerbangan antara Semenanjung Malaysia dan Sabah. MAVCOM sedang memantau perkembangan dan penambahan kapasiti penerbangan ini dengan teliti dan bekerjasama dengan syarikat penerbangan serta lapangan terbang dalam memastikan peningkatan trafik penumpang di sepanjang tempoh perayaan tersebut tidak menjejaskan rancangan perjalanan pengguna.