Ruang Berita / Kenyataan Media / Pemulihan Industri Penerbangan Malaysia: Trafik Penumpang Udara Meningkat Sebanyak 123.6% Tahun-Ke-Tahun Pada Suku Pertama Tahun 2023
Pemulihan Industri Penerbangan Malaysia: Trafik Penumpang Udara Meningkat Sebanyak 123.6% Tahun-Ke-Tahun Pada Suku Pertama Tahun 2023
KUALA LUMPUR, 19 Jun 2023 –Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) hari ini menerbitkan edisi ke-14 Laporan Industri dwi-tahunannya, Waypoint, yang menunjukkan pemulihan pesat sektor penerbangan Malaysia bagi suku pertama tahun 2023 (S123).
Dalam Waypoint terkini, MAVCOM mencatatkan peningkatan jumlah trafik penumpang penerbangan bagi S123 iaitu sebanyak 123.6 peratus tahun ke tahun atau 19.4 juta penumpang. Susulan pembukaan semula sempadan antarabangsa secara sepenuhnya, trafik penumpang antarabangsa telah meningkat pada purata 80.9 peratus suku ke suku. Tambahan pada itu, Hak Trafik Udara (ATR) antarabangsa yang diluluskan juga telah mencatatkan peningkatan ketara tahun-ke-tahun iaitu sebanyak 246.1 peratus, menunjukkan pemulihan kukuh pasaran antarabangsa. Selain itu, jumlah trafik penumpang mencapai 73.0 peratus daripada paras jumlah trafik penumpang pada tahun 2019.
MAVCOM mengekalkan ramalan trafik penumpang udara seperti yang diumumkan pada tahun Disember 2022. Suruhanjaya menjangkakan trafik penumpang udara akan meningkat antara 40 peratus dan 52 peratus tahun ke tahun pada tahun 2023, mencapai antara 74.6 juta dan 80.8 juta penumpang.
Suku pertama tahun 2023 juga menyaksikan penurunan dalam prestasi kargo penerbangan. Jumlah Freight Tonne Kilometre (FTK) telah berkurang sebanyak 11.0 peratus tahun ke tahun kepada 4,666 juta, menandakan penurunan prestasi kargo suku kedua yang berturut-turut. Penurunan ini selaras dengan prestasi perdagangan Malaysia dalam suku yang sama, disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk kelembapan ekonomi global, peralihan berterusan dalam perbelanjaan pengguna daripada barangan kepada perkhidmatan, serta kitaran turun (downcycle) dalam industri Elektrik & Elektronik (E&E).
Trafik kargo udara diramalkan berkembang antara 3.0 peratus dan 4.8 peratus tahun ke tahun pada tahun 2023. Berdasarkan prestasi kargo yang mencabar pada S123, MAVCOM meramalkan trafik kargo bagi tahun 2023 akan berada di sekitar tahap rendah ramalan, menunjukkan pertumbuhan yang lebih perlahan.
Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim berkata, “Walaupun industri penerbangan mengalami pengurangan dalam jumlah trafik kargo udara pada S123, lonjakan yang luar biasa dalam jumlah trafik penumpang memberikan gambaran yang baik tentang daya tahan industri penerbangan kita. Prestasi luar biasa ini bukan sahaja menunjukkan keupayaan industri penerbangan untuk pulih tetapi turut menyediakan asas yang kukuh bagi pertumbuhan sektor yang berterusan sepanjang tahun 2023.”
Mencerminkan pemulihan pesat industri penerbangan negara, kedudukan kesalinghubungan udara Malaysia meningkat kepada taraf kelima di ASEAN, mengatasi Filipina, dengan skor kesalinghubungan udara sebanyak 61.0 pada tahun 2022.
Peningkatan ini boleh dikaitkan dengan penambahan bilangan kerusi bagi penerbangan antarabangsa ke destinasi-destinasi mempunyai nilai yang lebih tinggi (higher weightage) berikutan pembukaan semula sekatan sempadan pada suku ketiga tahun 2022. Lapangan Terbang Antarabangsa KL, Terminal 1 and Terminal 2 (KUL) mengekalkan kedudukannya sebagai lapangan terbang yang mempunyai taraf kesalinghubungan udara keempat tertinggi di ASEAN.
Laporan Waypoint MAVCOM turut menunjukkan bahawa purata perolehan tempat duduk kilometer tersedia – purata kos tempat duduk kilometer tersedia (RASK-CASK) kembali stabil kepada 1.6 sen pada suku keempat tahun 2022.
“MAVCOM akan terus menyokong industri dan pihak berkepentingan industri penerbangan, khususnya melalui pelbagai inisiatif bertumpukan industri, seperti Laporan Waypoint. Laporan ini akan terus menjadi rujukan penting bagi pihak berkepentingan dalam industri penerbangan Malaysia, bukan sahaja dalam membimbing pemain industri membuat keputusan termaklum tetapi juga dalam memupuk sektor penerbangan yang berdaya tahan dan berorientasikan pengguna, memacu kepada pertumbuhan ekonomi negara yang lebih pesat,” tambah Datuk Seri Hj. Saripuddin.
Laporan Waypoint diterbitkan sebanyak dua kali setahun dan maklumat lanjut boleh didapati di sini.