Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Kenyataan Media / MAVCOM Memberikan Hak Trafik Udara untuk Memangkin Peningkatan Kesalinghubungan Udara ke ASEAN dan Seterusnya

 

MAVCOM Memberikan Hak Trafik Udara untuk Memangkin Peningkatan Kesalinghubungan Udara ke ASEAN dan Seterusnya

7 Ogo, 2023

Hak Trafik Udara pada Suku Kedua Tahun 2023 Menunjukkan Kenaikan Ketara Sebanyak 87.5 Peratus Tahun ke tahun

 

KUALA LUMPUR, 7 OGOS 2023 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada hari ini telah menerbitkan laporan Hak Trafik Udara (ATR) bagi suku kedua tahun 2023 (S2 2023). MAVCOM telah meluluskan sejumlah 57 ATR kepada sektor penerbangan awam di Malaysia dari bulan April hingga Jun 2023, yang terdiri daripada 45 laluan udara antarabangsa dan 12 laluan domestik.

Permohonan ATR telah menyaksikan peningkatan yang ketara pada S2 2023 berbanding suku kedua tahun 2022 (S2 2022). Secara khususnya, terdapat penambahan ATR yang signifikan sebanyak 87.5 peratus, menandakan momentum yang lebih kukuh dalam sektor penerbangan. Sementara industri penerbangan meneruskan pemulihannya, Suruhanjaya turut melaporkan penurunan dalam permohonan ATR sebanyak 11.7 peratus pada S2 2023 berbanding suku pertama tahun 2023 (S1 2023).

Dibandingkan dengan suku kedua tahun 2019 (S2 2019), permohonan ATR yang diterima telah menunjukkan kenaikan sebanyak 5.3 peratus. Di samping itu, S2 2023 telah menyaksikan penambahan sebanyak 12 ATR yang diberi bagi sektor antarabangsa berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019. Ini menandakan bahawa industri penerbangan semakin pulih dan sedang berkembang pesat.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim, berkata, “Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Suruhanjaya untuk memastikan industri penerbangan Malaysia kekal dinamik dan responsif terhadap trend perjalanan global, Suruhanjaya telah meluluskan ATR untuk pelbagai destinasi baharu serta mewujudkan penyambungan kepada hab-hab penerbangan baharu. Langkah-langkah ini telah diambil secara khususnya untuk meningkatkan kesalinghubungan udara, merangsang pertumbuhan ekonomi, dan memangkin pemulihan sektor penerbangan. Kami turut digalakkan melihat syarikat penerbangan merebut peluang bagi perkembangan ini. Peningkatan ketara dalam permohonan dan kelulusan ATR pada S2 2023, berbanding tempoh yang sama pada 2022, membuktikan daya tahan industri penerbangan yang sedia ada serta keupayaan industri untuk mengubah suai dan berkembang maju.”

AirAsia dan syarikat subsidiari logistiknya, Teleport, telah menerima 16 ATR untuk laluan udara antarabangsa dan domestik. 16 kelulusan tersebut menandakan 28 peratus daripada jumlah 57 ATR yang diberi oleh MAVCOM, dan menunjukkan bahawa AirAsia telah memperoleh jumlah kelulusan tertinggi pada suku tersebut.

Pada suku yang ditinjau, Batik Air diberi kebenaran untuk membuat penerbangan ke destinasi-destinasi baharu termasuk Tashkent, Uzbekistan serta Okinawa, Jepun melalui Taipei, manakala AirAsia X menerima ATR untuk menyediakan perkhidmatan laluan udara ke Almaty, Kazakhstan. Pada masa yang sama, Teleport telah menerima ATR untuk laluan-laluan udara di Hong Kong dan sektor-sektor utama di Malaysia Timur, iaitu Kota Kinabalu, Kuching, dan Tawau. Selaras dengan strategi Malaysia Aviation Group (MAG) untuk membangunkan Kota Kinabalu sebagai hab serantau bagi Firefly, kelulusan ATR telah diberikan oleh Suruhanjaya untuk penerbangan dari Kota Kinabalu ke Narita dan Taipei pada bulan Mei 2023. Di samping itu, MAVCOM meluluskan ATR MYAirline ke destinasi di Indonesia, Vietnam dan Thailand, meluaskan kesalinghubungan udara Malaysia dalam rantau ASEAN. Berikutan kelulusan ATR yang diberikan, MYAirline telah mula beroperasi ke Bangkok, Thailand sejak bulan Jun 2023. Syarikat penerbangan dikehendaki menggunakan ATR yang diperuntukkan dalam tempoh enam bulan dari tarikh kelulusan ATR oleh MAVCOM untuk mengelakkan tamat tempoh ATR.

Laporan Hak Trafik Udara MAVCOM diterbitkan secara berkala dan maklumat lanjut boleh didapati di laman web MAVCOM di www.mavcom.my.