Suruhanjaya Penerbangan Malaysia Menamatkan Penilaian Permohonan Pengecualian Individu bagi Perjanjian Usaha Sama antara Malaysia Airlines Berhad dan Cathay Pacific Airways Limited
- Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (“Suruhanjaya”) menamatkan penilaian permohonan pengecualian individu (“Permohonan”) bagi cadangan perjanjian usaha sama (“Joint Business / JB”) antara Malaysia Airlines Berhad (“MH”) dan Cathay Pacific Airways Limited (“CX”) (secara kolektifnya dirujuk sebagai “pihak-pihak perjanjian”) setelah pihak-pihak perjanjian memaklumkan Suruhanjaya bahawa mereka tidak lagi berhasrat untuk meneruskan JB pada 31 Julai 2023.
- Pada 11 Mei 2022, pihak-pihak perjanjian telah mengemukakan permohonan tersebut kepada Suruhanjaya menurut seksyen 51 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771]. “Metal-neutral” JB yang dicadangkan oleh pihak syarikat penerbangan merujuk kepada semua perkhidmatan penerbangan berjadual antara Malaysia dan Kawasan Pentadbiran Khas Hong Kong di Republik Rakyat China (“Hong Kong”) yang dikendalikan oleh MH dan CX. “Metal-neutral” JB melibatkan kerjasama yang menyeluruh antara pihak-pihak perjanjian, di mana kerjasama tersebut akan termasuk, antara lain, perkongsian hasil dan kos, penyelarasan harga, perancangan rangkaian dan jadual penerbangan, penyelarasan perkhidmatan dan produk, serta pemasaran dan jualan bersama.
- Setelah Suruhanjaya menimbangkan permohonan pihak-pihak perjanjian, Suruhanjaya mendapati bahawa JB ini akan mengurangkan daya persaingan dengan ketara, terutamanya bagi pasaran Kuala Lumpur–Hong Kong kerana pihak-pihak perjanjian akan mendominasi pasaran tersebut. MH dan CX merupakan pesaing terdekat antara satu sama lain bagi laluan penerbangan tersebut dan ketiadaan persaingan antara pihak-pihak perjanjian boleh membawa kesan negatif kepada pengguna dalam bentuk kenaikan tambang penerbangan atau penurunan tingkat perkhidmatan pelanggan. Walaupun JB tersebut boleh mendatangkan manfaat, Suruhanjaya mendapati bahawa implikasi negatif JB terhadap persaingan akan melebihi manfaatnya.
- Suruhanjaya telah memaklumkan perkara di atas kepada pihak-pihak perjanjian melalui surat pada 20 Januari 2023 dan 7 Mac 2023. Suruhanjaya juga telah memberi peluang kepada pihak-pihak perjanjian untuk menawarkan aku janji bagi menyelesaikan perkara yang telah diketengahkan oleh Suruhanjaya.
- Pihak-pihak perjanjian telah memberi maklum balas kepada Suruhanjaya melalui beberapa surat serta penyerahan maklumat antara bulan Februari dan Julai 2023 dan telah mengemukakan cadangan aku janji bagi pertimbangan Suruhanjaya. Suruhanjaya dan pihak-pihak perjanjian tidak dapat mencapai persetujuan mengenai aku janji yang boleh menyelesaikan isu yang diketengahkan oleh Suruhanjaya dengan secukupnya.
- Suruhanjaya turut menjalankan beberapa sesi konsultasi bersama pihak ketiga sepanjang proses penilaian tersebut, termasuk mendapatkan maklum balas daripada pesaing-pesaing pihak-pihak perjanjian dalam pasaran Malaysia–Hong Kong.
- Berikutan makluman kepada Suruhanjaya mengenai keputusan pihak-pihak perjanjian untuk tidak meneruskan JB, Suruhanjaya telah menamatkan proses penilaian permohonan tersebut dan perkara ini dianggap selesai.