Ruang Berita / Pengumuman / Inisiatif-inisiatif MAVCOM Menambah Baik Perlindungan Pengguna Penerbangan dan Mempertingkatkan Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang di Sabah
Inisiatif-inisiatif MAVCOM Menambah Baik Perlindungan Pengguna Penerbangan dan Mempertingkatkan Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang di Sabah
Penambahbaikan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC)
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dengan sukacitanya memaklumkan bahawa usaha MAVCOM dalam penambahbaikkan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
Semenjak tahun 2016, MACPC telah berperanan sebagai kerangka yang dipercayai dalam melindungi hak-hak dan kepentingan pengguna perjalanan udara di Malaysia. Dengan memanfaatkan pengalaman yang dipelajari dalam tempoh pasca pandemik COVID-19, serta mengambil kira pandangan daripada aduan-aduan pengguna yang diterima oleh pihak MAVCOM, pembaharuan MACPC ini dirangka untuk memenuhi keperluan pengguna penerbangan yang semakin berkembang dengan lebih efektif.
Penambahbaikan yang dirancang bagi MACPC termasuk penambahbaikan terhadap peruntukan sedia ada dan penambahan peruntukan baru mengenai isu-isu utama pengguna perjalanan udara seperti bayaran balik, pengiklanan oleh syarikat penerbangan, serta penundaan dan pembatalan penerbangan. Penambahbaikan MACPC ini dijangka akan bermula pada suku pertama tahun 2024 (S1 2024).
MACPC yang diperkemas kini merupakan satu lagi langkah ke arah meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti yang lebih besar dalam industri penerbangan, menjadikannya lebih sejajar dengan amalan terbaik global dalam perlindungan hak pengguna perjalanan udara.
Kejayaan pelaksanaan Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang MAVCOM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu
Pada separuh pertama tahun 2023, MAVCOM telah menyelesaikan fasa pembangunan dan pelaksanaan Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI). Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang berfungsi sebagai panduan bagi pengendali lapangan terbang untuk menilai, memantau, menyelenggara, dan meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka berdasarkan piawaian dan penunjuk prestasi utama yang ditetapkan oleh MAVCOM.
Di bawah Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang di BKI, MAVCOM telah menetapkan dan seterusnya, menguatkuasakan 19 elemen kualiti perkhidmatan untuk dipatuhi oleh pengendali lapangan terbang. MAVCOM juga telah menjalankan pemeriksaan secara berkala untuk memastikan pengendali lapangan terbang mematuhi elemen-elemen yang ditetapkan.
19 elemen yang telah dilaksanakan di BKI adalah berdasarkan 4 kategori utama kualiti perkhidmatan iaitu Keselesaan dan Kemudahan penumpang, Masa menunggu, Aliran penumpang dan bagasi, serta Kemudahan pengendali dan kakitangan. MAVCOM berbesar hati untuk memaklumkan bahawa BKI telah mencapai sasarannya untuk semua elemen kualiti perkhidmatannya bermula dari Mei 2023.
Selain daripada BKI, sasaran Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang bakal dilaksanakan di lapangan terbang Sabah yang lain termasuk lapangan terbang kedua terbesar di negeri ini iaitu Lapangan Terbang Tawau. Fasa pelaksanaan bagi Lapangan Terbang Tawau akan bermula pada suku pertama tahun 2024.
Pemantauan tambang penerbangan untuk musim percutian Krismas yang akan datang
Dari segi dinamik ekonomi, MAVCOM telah meneliti perubahan ketara bagi tambang penerbangan. Pada tahun 2022, purata tambang bagi penerbangan domestik telah melonjak sebanyak 48.1 peratus jika dibandingkan dengan tahap pra-pandemik COVID-19, yang dipacu oleh kenaikan harga bahan api serta penurunan dan kenaikan mata wang. Sejak April 2023, MAVCOM telah melaksanakan pemerhatian tambang penerbangan bagi tempoh perjalanan Krismas bagi tahun 2023 antara Semenanjung Malaysia ke Sabah. Pemerhatian Suruhanjaya menunjukkan peningkatan purata tambang perjalanan semasa tempoh perayaan Krismas meningkat daripada RM338 pada bulan April 2023 kepada RM490 pada bulan September 2023. Kenaikan ini berlaku kerana kebanyakan tiket yang lebih murah telah habis dijual.
Seterusnya, pemerhatian Suruhanjaya pada 27 September 2023 menunjukkan tambang penerbangan kelas ekonomi terus sehala bagi laluan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak adalah antara RM279 dan RM1,398, dengan 27 peratus tambang di bawah tambang purata.
Berdasarkan senario ini dan jangkaan kekurangan tambang tiket yang lebih berpatutan akibat peningkatan permintaan pengguna dan pilihan penerbangan yang terhad, serta musim perayaan yang semakin hampir, MAVCOM menggalakkan para pengguna untuk menempah penerbangan mereka bagi musim perayaan Krismas/Akhir tahun dengan lebih awal. Pengguna juga digalakkan mengambil peluang untuk membeli tiket penerbangan lebih awal bagi cuti Tahun Baharu Cina serta musim cuti sekolah pada Februari 2024 yang akan datang untuk mendapatkan tambang yang lebih berpatutan, malah ia juga menjamin ketersediaan tiket penerbangan, serta membolehkan penumpang menikmati pelbagai tawaran dan promosi.
Sehubungan dengan itu, MAVCOM telah bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dalam inisiatif “FlySiswa” yang menawarkan subsidi tiket penerbangan bernilai RM300 kepada pelajar universiti awam. Subsidi tersebut disediakan bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan. Baru-baru ini, inisiatif FlySiswa telah diperluaskan kepada pelajar yang kini mendaftar di politeknik, kolej komuniti, pusat matrikulasi, serta IPG (institut latihan guru). Pelajar dalam kategori tersebut boleh menuntut baucar perjalanan FlySiswa sehingga 31 Disember 2023.
MAVCOM kekal komited dalam misinya untuk menggalakkan persekitaran komersial yang kukuh dan mampan bagi industri penerbangan awam Malaysia, sambil memperjuangkan hak-hak pengguna, menjadikan perjalanan udara di Malaysia lebih mudah, cekap, dan menyenangkan buat semua.