Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Kenyataan Media / MYAirline Mengumumkan Penggantungan Operasi

 

MYAirline Mengumumkan Penggantungan Operasi

12 Okt 2023


MAVCOM menggesa para pengguna yang terjejas untuk menghubungi
MYAirline atau Suruhanjaya dengan kadar segera

 

KUALA LUMPUR, 12 Oktober 2023 – Berikutan pengumuman MYAirline mengenai operasinya yang terpaksa digantung berkuat kuasa 12 Oktober 2023 sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (“MAVCOM” atau “Suruhanjaya”) telah menyediakan talian dan saluran khusus untuk membantu para pengguna yang terjejas akibat penggantungan mengejut ini.

MAVCOM menggesa para pengguna terjejas yang telah membeli tiket penerbangan MYAirline bagi tarikh penerbangan dari 12 Oktober 2023 dan selanjutnya, untuk menghubungi saluran aduan khas syarikat penerbangan tersebut iaitu customercare@myairline.my bagi sebarang pertanyaan dan bantuan berhubung tempahan mereka.

Saluran-saluran aduan khusus MAVCOM juga tersedia untuk membantu para pengguna yang terjejas:

  • Hotline pengguna: +1800-18-6966 (dalam Malaysia) atau +603-7651 2777 (luar negara) 
  • E-mel: consumer@mavcom.my
  • Borang aduan FlySmart: https://flysmart.my/buat-aduan/
  • Aplikasi mudah alih FlySmart boleh dimuat turun daripada Google Play store dan Apple App store bagi pengguna Android and iOS

Suruhanjaya ingin menekankan bahawa MYAirline bertanggungjawab untuk membuat bayaran balik kepada pengguna yang telah membeli tiket dengan syarikat penerbangan tersebut tetapi tidak dapat meneruskan penerbangan. 

MAVCOM telah mengarahkan MYAirline untuk segera membantu para pengguna terjejas antara lainnya termasuklah, dengan memaklumkan kepada mereka mengenai penggantungan operasi tersebut dan menerbitkan pengumuman mengenai penggantungan tersebut melalui saluran-saluran komunikasi syarikat penerbangan yang tersedia. 

MYAirline juga telah diarahkan oleh Suruhanjaya untuk segera menghentikan penjualan dan tempahan tiket penerbangan di semua platform tempahan sehingga notis lanjut diberikan.

MAVCOM sedang berhubung rapat dengan MYAirline bagi menangani isu ini. Di samping itu, MAVCOM juga sedang menjalankan siasatan ke atas syarikat penerbangan tersebut berdasarkan pelaksanaan semakan dalaman serta aduan yang telah diterima berkenaan pembayaran statutori yang tidak dijelaskan kepada para pekerja MYAirline, antara lainnya.

MAVCOM akan memaklumkan sebarang perkembangan lanjut mengenai operasi MYAirline dalam masa terdekat.