MYAirline Diarahkan untuk Memberikan Penjelasan Bertulis
MAVCOM mendalamkan siasatan ke atas MYAirline
KUALA LUMPUR, 26 Oktober 2023 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (“MAVCOM” atau “Suruhanjaya”) telah membuka siasatan terhadap MYAirline Sdn. Bhd. (“MYAirline”) dan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada MYAirline pada 13 Oktober 2023 berikutan pengumuman penangguhan operasi syarikat penerbangan tersebut pada 12 Oktober 2023. Surat tunjuk sebab tersebut menyatakan kegagalan MYAirline untuk memenuhi syarat-syarat Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) termasuk pembayaran gaji dan faedah pekerja yang masih belum dijelaskan. MYAirline telah diperintahkan untuk mengemukakan penjelasan bertulis sebelum atau pada 27 Oktober 2023.
Sebaik menerima penjelasan bertulis MYAirline, MAVCOM akan menilai sama ada MYAirline layak untuk kekal sebagai pemegang ASL atau sama ada ASL MYAirline harus digantung atau dibatalkan menurut seksyen 43(1) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771]. MAVCOM bakal mengumumkan maklumat terkini berkaitan dengan hasil siasatan tersebut dalam tempoh satu (1) minggu.
Dalam pada itu, MAVCOM sedang menyiasat MYAirline dengan lebih lanjut ke atas sebarang kemungkinan pelanggaran syarat-syarat ASL yang lain.
Berkenaan dengan bayaran balik kepada para pengguna yang terjejas pula, MAVCOM telah berhubung dengan pelbagai agensi termasuk pihak Bank Negara Malaysia berkaitan usaha mencari semua pilihan dalam mendapatkan bayaran balik bagi pengguna yang terjejas. MAVCOM akan memaklumkan maklumat terkini berkenaan dengan bayaran balik dalam masa terdekat.
Sementara itu, MAVCOM telah menubuhkan Pasukan Petugas (Task Force) yang terdiri daripada wakil Ahli Suruhanjaya, Anggota-anggota Jawatankuasa Perundangan, Jawatankuasa Pengawalseliaan dan Penyelesaian Pertikaian, serta Jawatankuasa Perlindungan Pengguna. Task Force ini diberi mandat untuk menyiasat bayaran balik penumpang yang terjejas dan mengemukakan cadangan – cadangan penambahbaikan pada masa hadapan. Walaupun rangka kerja kelulusan pelesenan sedia ada yang terpakai kepada semua pemegang lesen baharu dan sedia ada adalah komprehensif, Task Force ini antara lain akan turut menyemak semula rangka kerja tersebut bagi sebarang langkah pemerkasaan.