Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Kenyataan Media / Suruhanjaya Penerbangan Malaysia Menggantung Lesen Perkhidmatan Udara MYAirline

 

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia Menggantung Lesen Perkhidmatan Udara MYAirline

1 Nov 2023

 

KUALA LUMPUR, 1 November 2023 Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (“MAVCOM” atau “Suruhanjaya“) telah mengumumkan keputusannya untuk menggantung Lesen Perkhidmatan Udara (“ASL“) MYAirline Sdn. Bhd. (“MYAirline“) berkuat kuasa serta-merta selaras dengan seksyen 43(1) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771].

Suruhanjaya telah mengeluarkan surat tunjuk sebab pada 13 Oktober 2023. Di dalam surat tunjuk sebab tersebut, MAVCOM telah mengarahkan MYAirline untuk memberikan penjelasan berhubung isu kegagalan syarikat penerbangan tersebut untuk mematuhi syarat-syarat ASL dan penggantungan operasinya secara tiba-tiba pada 12 Oktober 2023, 

MAVCOM telah menerima penjelasan bertulis MYAirline pada 27 Oktober 2023. Setelah mengkaji penjelasan bertulis tersebut, MAVCOM telah memutuskan untuk menggantung ASL MYAirline kerana penjelasan yang diberikan oleh syarikat penerbangan tersebut adalah tidak memuaskan.

“MAVCOM juga mempertimbangkan pembatalan ASL MYAirline, namun begitu ianya akan memberi kesan kepada usaha untuk memulakan bayaran balik kepada penumpang yang terjejas,” kata YBhg. Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim, Pengerusi Eksekutif MAVCOM.

Sebagai pengawal selia ekonomi dan komersial industri penerbangan awam Malaysia, Suruhanjaya telah membuat keputusan ini dengan tujuan untuk melindungi kepentingan para penumpang dan pekerja-pekerja yang terjejas disebabkan oleh penggantungan operasi MYAirline, serta mengambil kira cabaran yang dihadapi oleh industri penerbangan pasca pandemik COVID-19.

Penilaian Lesen Perkhidmatan Udara MYAirline

Sebelum keputusan MAVCOM untuk menggantung ASL MYAirline dan pengumuman penggantungan operasi dari syarikat penerbangan tersebut, MAVCOM telah menjalankan penilaian terhadap permohonan ASL MYAirline sebelum memberikan Kelulusan Bersyarat (CA) untuk ASL dan ASL penuh kepada syarikat penerbangan tersebut. Sebagai sebahagian daripada proses wajar Suruhanjaya, CA untuk ASL diperlukan oleh mana-mana syarikat penerbangan untuk memohon Sijil Pengendali Udara (AOC) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). MAVCOM telah mengeluarkan CA untuk ASL kepada MYAirline pada 22 Disember 2021, yang berkuat kuasa dari 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2022. 

Selanjutnya, MAVCOM telah memberikan ASL penuh kepada MYAirline setelah syarikat penerbangan tersebut memenuhi semua keperluan ASL dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya, termasuk kriteria Kelayakan dan Kesesuaian. Semasa tempoh penilaian ini, MYAirline telah membuktikan bahawa ia mempunyai keupayaan kewangan, dan semua perisytiharan berkanunnya didapati teratur.

Penilaian “Kelayakan dan Kesesuaian” MAVCOM telah dijalankan ke atas semua pegawai bertanggungjawab utama MYAirline yang terdiri daripada Pemegang Saham, Lembaga Pengarah, dan pasukan Pengurusan. 

Penumpang MYAirline yang Terjejas

MYAirline masih bertanggungjawab untuk membuat bayaran balik terhadap penumpang-penumpang yang terjejas mengikut Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC), walaupun ASLnya telah digantung.

Sejumlah lebih daripada 117,000 penumpang dianggarkan terjejas diakibatkan oleh penggantungan operasi MYAirline, dengan nilai jualan hadapan keseluruhan berjumlah lebih daripada RM22 juta untuk penerbangan berjadual dari 12 Oktober 2023 hingga 31 Mac 2024. Sebahagian besar jualan hadapan adalah daripada agensi pelancongan sebanyak 58 peratus (RM12.8 juta), diikuti oleh 41.8 peratus (RM9.2 juta) daripada pembayaran yang dibuat menggunakan kad kredit atau debit.

Pasukan Petugas MAVCOM telah diberi mandat untuk melihat isu bayaran balik penumpang yang terjejas dan memberikan cadangan mengenai langkah seterusnya. Ini termasuk penyelarasan mekanisme perlindungan pengguna penerbangan. Sementara itu, MAVCOM akan terus bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia bagi mencari penyelesaian buat penumpang-penumpang yang terjejas untuk mendapatkan wang mereka kembali.

Langkah Seterus MAVCOM

Walaupun rangka kerja kelulusan lesen sedia ada MAVCOM yang terpakai kepada semua pemegang lesen baharu dan sedia ada adalah komprehensif, Pasukan Petugas, antara lain, juga akan mengkaji semula rangka kerja tersebut untuk penambahbaikan.

“Keputusan ini selaras dengan fungsi MAVCOM yang antara lainnya termasuklah menyediakan mekanisme perlindungan penumpang penerbangan dan menggalakkan pelaburan yang tepat pada masanya dalam industri penerbangan awam untuk memenuhi permintaan dan keperluan pembangunan yang semakin meningkat di Malaysia. Oleh itu, peranan MAVCOM adalah untuk memastikan keseimbangan antara aktiviti komersial untuk mempromosikan kelestarian dan kemajuan industri, sambil memastikan penumpang dilindungi,” kata YBhg. Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim, Pengerusi Eksekutif MAVCOM.