Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Pengumuman / Soalan Lazim (FAQ) / Lembaran Fakta Mengenai Bayaran Balik Penumpang MYAirline Melalui Proses ‘Chargeback’

Soalan Lazim (FAQ) / Lembaran Fakta Mengenai Bayaran Balik Penumpang MYAirline Melalui Proses ‘Chargeback’

4 Dis 2023

Panduan Mengenai Proses ‘Chargeback’ Sebagai Langkah Segera bagi Bayaran Balik

Mukadimah

MYAirline telah menggantung operasinya pada 12 Oktober 2023 dan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) syarikat penerbangan tersebut telah tamat tempoh pada 14 November 2023.

Pada 2 November 2023, Menteri Pengangkutan, YB Tuan Anthony Loke Siew Fook mengumumkan bahawa penumpang yang terjejas akibat penggantungan operasi mengejut MYAirline boleh meminta bayaran balik melalui proses ‘chargeback’ sekiranya tarikh perjalanan mereka telah berlalu.

MAVCOM telah bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengesahkan bahawa ‘chargeback’ boleh digunakan untuk tiket penerbangan yang telah dibeli dengan kad bayaran (kad debit atau kredit) atau melalui FPX daripada institusi kewangan (Bank).

Soalan Lazim/Lembaran Fakta di bawah berfungsi sebagai panduan kepada pengguna MYAirline untuk memulakan proses bayaran balik melalui ‘chargeback’ bagi perkhidmatan yang tidak diterima.

1. Apakah itu ‘chargeback’?

‘Chargeback’ ialah amalan antarabangsa yang diterima pakai oleh industri kewangan dan terpakai kepada kad debit/kredit yang dikeluarkan di dalam dan di luar Malaysia, beserta Pertukaran Pembayaran Kewangan (FPX). FPX adalah gerbang pembayaran berasaskan internet.

‘Chargeback’ membolehkan pemegang kad debit/kredit untuk mempertikaikan caj pembayaran untuk barangan atau perkhidmatan yang tidak diterima atau diberikan di atas transaksi kad debit/kredit mereka dan untuk mendapatkan bayaran balik bagi caj tersebut. Untuk bank memproses bayaran balik, pengguna perlu mengisi “borang pertikaian” yang boleh didapati di semua bank.

2. Apakah kaedah pembayaran balik dan pembayaran yang tersedia melalui bank?

Sebagai langkah segera untuk bayaran balik, pengguna yang membeli tiket penerbangan menggunakan kad debit atau kredit, atau melalui FPX, boleh mengemukakan tuntutan kepada pengeluar kad atau bank masing-masing.

3. Saya telah membeli tiket penerbangan menggunakan kad debit/kredit atau FPX secara langsung dengan syarikat penerbangan. Adakah saya layak untuk membuat ‘chargeback’?

Ya. Sekiranya anda telah membeli tiket penerbangan secara langsung dari syarikat penerbangan, sila e-mel syarikat penerbangan dengan permintaan bayaran balik, beserta dengan salinan tiket penerbangan anda. Seterusnya, serahkan permintaan bayaran balik kepada bank atau pengeluar kad debit/kredit anda. Sila hubungi bank atau pengeluar kad debit/kredit anda bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan perkara ini.

4. Bagaimana pula jika saya telah menempah tiket penerbangan melalui Agensi Pelancongan (TA) atau Agensi Pelancongan Dalam Talian (OTA). Bolehkah saya memulakan proses bayaran balik melalui bank?

Ya, anda boleh. Bagi memulakan proses bayaran balik melalui ‘chargeback’, pengguna digalakkan untuk terlebih dahulu menghubungi TA/OTA mereka sebelum mengemukakan permintaan bayaran balik kepada bank atau pengeluar kad debit/kredit masing-masing. Sila e-mel TA/OTA anda dan kemukakan salinan tiket penerbangan. Seterusnya, serahkan permintaan bayaran balik kepada bank atau pengeluar kad debit/kredit anda. Sila hubungi bank atau pengeluar kad debit/kredit anda bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan perkara ini.

5. Siapakah yang sepatutnya mengemukakan permohonan bayaran balik kepada bank?

Permohonan bayaran balik kepada bank perlu dibuat oleh individu yang merupakan pemilik akaun bank atau pemegang kad debit/kredit di mana pembayaran untuk pembelian tersebut telah dibuat.

6. Adakah tiket penerbangan yang dibeli menggunakan kad debit/kredit yang dikeluarkan oleh bank di luar Malaysia layak untuk permintaan bayaran balik?

Ya.

7. Selepas permintaan bayaran balik, berapa lamakah masa yang akan diambil untuk bayaran balik tersebut dikreditkan ke dalam akaun bank gguna atau kad debit/kredit pengguna?

Proses pengkreditan bayaran balik mungkin berbeza-beza bergantung kepada prosedur dalaman bank atau pengeluar kad debit/kredit masing-masing. Proses bayaran balik boleh mengambil masa sehingga enam (6) bulan. Pengguna digalakkan untuk memulakan proses permintaan bayaran balik secepat mungkin dengan bank atau pengeluar kad debit/kredit masing-masing.

8. Bagaimanakah boleh saya ketahui status permintaan bayaran balik saya?

Sila hubungi pengeluar kad debit/kredit atau bank anda berhubung perkara ini.

9.Berapakah jumlah bayaran balik yang akan saya terima daripada ‘chargeback’?

Pengguna sepatutnya akan menerima jumlah penuh bagi tiket penerbangan yang dibeli.

10. Bagaimana dengan tempahan Flysiswa?

Kementerian Pengangkutan telah menyelaraskan semula maklumat syarikat penerbangan dalam sistem Flysiswa bagi membolehkan mereka yang layak mengikuti program tersebut untuk memohon baucar daripada syarikat penerbangan lain.

Untuk maklumat lanjut mengenai Flysiswa, sila layari laman web Flysiswa di sini.

11. Sekiranya saya telah membeli insurans perjalanan, adakah saya layak untuk membuat tuntutan daripada insurans perjalanan saya?

Bagi mereka yang telah membeli insuran perjalanan MYAirline daripada Zurich Malaysia, pembayaran saguhati sedang ditawarkan. Untuk maklumat lanjut mengenai pembayaran saguhati tersebut, sila layari laman web Zurich Malaysia di www.zurich.com.my

Sila semak dengan syarikat insurans anda tentang kelayakan anda untuk bayaran balik polisi insurans perjalanan yang telah anda beli.

12. Bolehkah saya mendapatkan bayaran balik sekiranya saya membeli tiket penerbangan secara tunai, menggunakan baucar, dan Mata Ganjaran MYReward saya?

Buat masa ini, tidak ada penyelesaian bagi kaedah pembelian ini.

13. Sekiranya saya telah membeli insurans perjalanan dan membuat pembayaran tiket penerbangan saya menggunakan debit/kredit kad atau FPX, bolehkah saya membuat tuntutan daripada syarikat insurans perjalanan dan meminta ‘chargeback’ melalui Bank saya?

Tidak. Anda hanya boleh membuat tuntutan dari salah satu, sama ada daripada syarikat insurans perjalanan anda atau daripada Bank anda.