Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Kenyataan Media / Malaysia Mencatatkan 69.9 Juta Penumpang Penerbangan dalam Tempoh 10 Bulan, Melebihi Jangkaan

Malaysia Mencatatkan 69.9 Juta Penumpang Penerbangan dalam Tempoh 10 Bulan, Melebihi Jangkaan

27 Dis 2023

Trafik Penumpang Diramalkan Meningkat kepada 107.1 Juta pada Tahun 2024

KUALA LUMPUR, 27 Disember 2023 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) hari ini menerbitkan edisi ke-14 Laporan Industri dwi-tahunannya, Waypoint, yang memperincikan kemajuan penting yang dicapai oleh sektor penerbangan Malaysia sepanjang sembilan bulan pertama tahun 2023.

Menurut laporan tersebut, sektor penerbangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan pesat dalam trafik penumpang pasca pandemik COVID-19 dan mencapai 69.9 juta dalam sepuluh bulan pertama tahun 2023. Pertumbuhan yang memberangsangkan ini telah mendorong MAVCOM untuk mengkaji semula ramalannya untuk tahun 2023 dan kini menjangkakan antara 84.5 juta dan 86.5 juta penumpang, melampaui ramalan sebelumnya.

Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim, Pengerusi Eksekutif MAVCOM berkata, “Pertumbuhan trafik penumpang menunjukkan pemulihan berterusan sektor penerbangan di Malaysia. Melihat ke hadapan, kami menjangkakan pemulihan yang lebih ketara dalam bagi tahun 2024. Suruhanjaya menjangkakan bilangan penumpang antara 93.9 juta hingga 107.1 juta. Ini menunjukkan pemulihan hampir mencecah 98 peratus daripada tahap pra-pandemik COVID-19 yang dilihat pada tahun 2019. Lonjakan ini dijangka akan dipacu oleh peningkatan perjalanan domestik dan antarabangsa, terutamanya ke China dan rantau ASEAN. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa cabaran yang mungkin dihadapi, seperti peningkatan kos bahan api pesawat, penyusutan nilai Ringgit, kemungkinan penundaan penghantaran pesawat serta isu tenaga kerja yang mana elemen-elemen ini telah diambil kira di dalam ramalan kami.”

Beliau menambah, “Setakat bulan Disember 2023, terdapat peningkatan dalam jumlah kes COVID-19. Namun begitu, MAVCOM berpandangan bahawa impak wabak tersebut terhadap industri penerbangan tidak akan seburuk sebelumnya. Buat masa ini, pemulihan industri kepada tahap pra-COVID-19 dijangka akan kekal pada trajektori yang diramalkan.”

Jumlah kargo udara Malaysia mencatatkan penurunan sebanyak 15.3 peratus dari tahun ke tahun (YoY), bersamaan dengan 4.7 bilion tan kargo per kilometer (FTK) pada suku ketiga tahun 2023 (S3 2023). Sehubungan itu, MAVCOM telah menyelaraskan ramalan kargo udara 2023 ke bawah, kini menjangkakan penurunan antara 14.1 peratus hingga 13.5 peratus, bersamaan dengan 18.7 bilion hingga 18.8 bilion FTK. Walaupun terdapat penurunan, anjakan positif diramalkan bagi tahun 2024, dengan pertumbuhan kargo dijangkakan dari 6.0 peratus hingga 6.6 peratus dan berpotensi mencecah 19.8 bilion hingga 20.0 bilion FTK. Jangkaan peningkatan ini dikaitkan dengan kesan asas yang rendah (low base effect) pada tahun 2023, kemungkinan peningkatan dalam kitaran teknologi global, pemulihan berterusan di China dan penstabilan ekonomi yang lebih meluas. 

Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai negara kelima paling berhubung di ASEAN, mencapai skor kesalinghubungan yang mengagumkan iaitu 79.7 pada suku pertama hingga suku ketiga tahun 2023. Lapangan Terbang Antarabangsa KL, Terminal 1 mengekalkan statusnya sebagai lapangan terbang ketiga paling berhubung di rantau ini dengan skor kesalinghubungan udara langsung sebanyak 59.9. Lapangan Terbang Antarabangsa Singapura kekal di hadapan dengan skor 102.1, diikuti oleh Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok dengan skor 89.1.

Sepanjang sembilan bulan pertama tahun 2023, MAVCOM telah memberikan sejumlah 173 Hak Trafik Udara (ATR) tambahan. Daripada jumlah ini, 44 ATR telah diperuntukkan untuk laluan domestik, manakala 129 ATR adalah untuk destinasi antarabangsa. Malindo Air Sdn. Bhd. (Batik Air) menerajui peruntukkan ATR antarabangsa dengan 35 ATR, diikuti AirAsia Berhad (AirAsia) dan Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) masing-masing dengan 30 dan 18 ATR. Dari segi pengagihan serantau, ASEAN telah menerima peruntukkan terbesar dengan 48 ATR yang diberikan oleh Suruhanjaya. Ini diikuti rapat oleh seluruh Asia yang menerima 30 kelulusan ATR untuk laluan penerbangan yang merangkumi Bangladesh, Hong Kong, Jepun, Macau, Maldives, Korea Selatan, Sri Lanka, Taiwan, dan Uzbekistan. Pengagihan ini menggariskan komitmen MAVCOM dalam memperluaskan kesalinghubungan udara domestik dan antarabangsa, dengan tumpuan khusus untuk meningkatkan hubungan dalam rantau ASEAN. 

Laporan Waypoint dikeluarkan dua kali setahun, dan maklumat lanjut boleh didapati di sini.