Pilih satu Halaman
Ruang Berita / Kenyataan Media / MAVCOM Mengumumkan Pindaan kepada Caj Perkhidmatan Penerbangan (ASC) 

MAVCOM Mengumumkan Pindaan kepada Caj Perkhidmatan Penerbangan (ASC)

12 Mac 2024

Pindaan Dirangka beri Manfaat kepada Pengguna Penerbangan dan Pemulihan Industri Penerbangan Pasca-pandemik COVID-19

Ringkasan:

  • Kestabilan dan keteguhan industri penerbangan diutamakan bagi menggalakkan perjalanan udara buat pengguna penerbangan
  • Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) domestik dikekalkan bagi memastikan harga yang berpatutan buat penumpang
  • Pengurangan PSC antarabangsa melangkaui ASEAN untuk semua lapangan terbang selain daripada Lapangan Terbang Antarabangsa KL Terminal 1 (KUL Terminal 1
  • Pengenalan PSC pindahan (transfer) di semua lapangan terbang
  • Pindaan kadar PSC akan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2024

KUALA LUMPUR, 12 MAC 2024 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) hari ini mengumumkan pindaan kepada Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) untuk Tempoh Kawal Selia Pertama (RP1), bermula dari 1 Jun 2024 hingga 31 Disember 2026. Pengenalan kadar pindaan itu bertujuan untuk menyokong pemulihan dan penyesuaian sektor penerbangan dalam persekitaran pasca-pandemik COVID-19. Kadar pindaan tersebut turut mencerminkan dedikasi MAVCOM untuk mengekalkan pendekatan yang seimbang dan berorientasikan pengguna dalam sektor penerbangan yang dinamik.

Pindaan ini merupakan tanggungjawab MAVCOM dalam pengawalseliaan ekonomi Caj Perkhidmatan Penerbangan (ASC) di Malaysia di bawah seksyen 46 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771], yang merangkumi kuasa untuk menetapkan caj perkhidmatan penerbangan seperti PSC, serta caj pendaratan dan parkir pesawat, antara lain.

Pindaan PSC ini dibuat selepas proses perundingan yang menyeluruh bermula dari tahun 2021 menerusi pendekatan inklusif MAVCOM dengan mengambil kira maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk kementerian yang berkaitan seperti Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Kewangan (MOF), selain agensi kerajaan, pemain industri, pengurus dana, penganalisis, badan-badan penerbangan antarabangsa, dan persatuan pengguna. Beberapa sesi perundingan telah dijalankan, dilengkapi dengan penerbitan 2 kertas perundingan. Setiap langkah diambil bagi memastikan pemahaman yang holistik dan pertimbangan dari pelbagai perspektif sebelum keputusan akhir dimuktamadkan. 

Jadual 1 memperincikan kadar pindaan PSC baharu yang ditetapkan oleh MAVCOM untuk RP1 yang dikenakan kepada penumpang yang berlepas dan transfer dari Malaysia. Kadar tersebut termasuk caj keselamatan, iaitu caj bagi penyediaan perkhidmatan keselamatan di lapangan terbang.

Jadual 1: Kadar PSC semasa dan kadar pindaan bagi pelepasan dari lapangan terbang di Malaysia

Sumber: MAVCOM

Nota:

  • Untuk makluman, istilah *melalui merujuk kepada penumpang pindahan yang dijadualkan untuk berlepas ke penerbangan seterusnya. Penumpang pindahan ini akan dikenakan caj PSC transfer. 
  • KUL Terminal 2 rujuk kepada Lapangan Terbang Antarabangsa KL Terminal 2.
  • Kadar PSC di atas tidak terpakai untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (JHB). Sila rujuk halaman 3 siaran akhbar ini untuk maklumat lanjut.

Berikut adalah beberapa sorotan utama kadar pindaan PSC:

  1. Manfaat kepada penumpang:

PSC domestik dikekalkan bagi memastikan harga yang berpatutan dan merangsang perjalanan tempatan: MAVCOM mengekalkan PSC pelepasan domestik pada RM11 di semua lapangan terbang kecuali Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (JHB)*, mengiktirafkan peranan penting perjalanan udara domestik dalam menghubungkan Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak. Keputusan MAVCOM menyokong tahap kemampuan penumpang dan permintaan perjalanan udara berserta pelancongan tempatan.

PSC antarabangsa yang lebih rendah di semua lapangan terbang selain daripada KUL Terminal 1: MAVCOM telah meminda PSC antarabangsa dengan mengambil kira kepelbagaian sensitiviti harga serta kesanggupan penumpang untuk membayar bagi perjalanan ke destinasi antarabangsa. Bagi KUL Terminal 2 dan lapangan terbang lain, yang kebanyakannya merupakan penerbangan jarak dekat, PSC pelepasan antarabangsa ditetapkan pada RM50. Kadar ini lebih rendah daripada kadar yang ditetapkan bagi KUL Terminal 1, iaitu pada RM73. Faktor-faktor yang mempengaruhi keputusan ini termasuk keanjalan harga yang lebih tinggi bagi penerbangan laluan jarak dekat, tingkah laku pembelian penumpang yang lebih memihak kepada model pengangkutan tambang rendah, dan demografi yang lebih sensitif terhadap kadar harga berbanding penumpang dari KUL Terminal 1.

  1. Daya saing dan pertumbuhan industri:

PSC antarabangsa tunggal: Dengan kadar PSC baharu, PSC ASEAN dan destinasi melangkaui ASEAN telah digabungkan menjadi PSC antarabangsa tunggal berjumlah RM73 bagi KUL Terminal 1, dan RM50 bagi KUL Terminal 2 berserta lapangan-lapangan terbang lain. Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira penggunaan kemudahan dan perkhidmatan yang sama digunakan oleh penumpang yang berlepas ke mana-mana destinasi serantau, sekali gus mengenakan kos yang setanding untuk pengendali lapangan terbang.

Pengenalan PSC transfer: Bagi RP1, MAVCOM telah memperkenalkan PSC transfer di semua lapangan terbang di Malaysia. Caj ini mengkehendaki penumpang pindahan menyumbang kepada kos infrastruktur lapangan terbang yang digunakan. Pengenalan PSC transfer di Malaysia selaras dengan lapangan-lapangan terbang lain di Asia, termasuk Singapura, Thailand, dan Jepun, serta di negara-negara Eropah seperti United Kingdom, Jerman, dan Perancis.

PSC di lapangan terbang lain: MAVCOM telah membenarkan lapangan terbang lain yang tidak dikendalikan oleh anak-anak syarikat Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) [Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. dan Malaysia Airports Sdn. Bhd.], iaitu *JHB, Lapangan Terbang Kerteh (KTE), dan Lapangan Terbang Tanjung Manis (TGC), untuk mengemukakan cadangan tarif bagi RP1 kepada MAVCOM. Kebenaran yang diberi ini berdasarkan penilaian kuasa pasaran (market power) yang dijalankan oleh MAVCOM yang menentukan bahawa lapangan-lapangan terbang ini sama ada tidak mempunyai atau berkeupayaan untuk melaksanakan market power. KTE dan TGC, kedua-duanya telah memilih untuk menerima pakai kadar yang dicadangkan oleh MAVCOM. Sementara itu, JHB telah mengemukakan struktur kadar yang berasingan, di mana kadar yang diluluskan oleh MAVCOM digariskan dalam Jadual 2 di bawah:

Jadual 2: Kadar PSC semasa dan kadar pindaan untuk pelepasan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (JHB)

Sumber: MAVCOM

Nota: Untuk makluman, istilah *melalui merujuk kepada penumpang pindahan yang dijadualkan untuk berlepas ke penerbangan seterusnya. Penumpang pindahan ini akan dikenakan caj PSC transfer.

Pindaan ASC selain PSC sejajar dengan kadar inflasi: Sepanjang tempoh RP1, caj pendaratan dan parkir pesawat, serta semua ASC lain, termasuk caj pas lapangan terbang, permit kenderaan tapak udara, serta permit memandu tapak udara, akan dipinda untuk mengambil kira kadar inflasi. MAVCOM telah menentukan bahawa pindaan berdasarkan peningkatan Indeks Harga Pengguna (CPI) mewakili perubahan minimum yang diperlukan untuk memastikan tarif mencerminkan perubahan kos yang tepat.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim berkata, “Suruhanjaya telah mengambil pendekatan yang teliti terhadap pindaan PSC dengan mengambil kira kesan pandemik COVID-19 terhadap kedua-dua industri dan pengguna penerbangan. Pindaan ini merupakan tonggak utama strategi kami untuk melindungi kebajikan pengguna, menyokong pemulihan industri yang mampan dan berdaya tahan, serta memastikan kestabilan kewangan sektor penerbangan, selaras dengan keadaan pasaran yang berubah. Tarif PSC yang diumumkan hari ini merangkumi maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan, bertujuan untuk menyokong daya maju jangka panjang, pemulihan, serta daya saing industri. Dengan memberikan keutamaan kepada kestabilan industri, Suruhanjaya telah memperkenalkan langkah-langkah untuk memastikan kadar-kadar ini tidak membebankan penumpang, sekali gus merangsang permintaan perjalanan udara. Pada masa yang sama, kami memastikan pengendali lapangan terbang mengekalkan keupayaan dan daya saing kewangan yang kukuh, membolehkan peluang pembiayaan semula pada kadar yang munasabah dan pelaburan berterusan dalam infrastruktur lapangan terbang yang efisien.”

Seperti yang digariskan dalam Warta di bawah Peraturan-Peraturan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Caj Perkhidmatan Penerbangan) 2016, PSC dikenakan kepada penumpang domestik dan antarabangsa yang berlepas dari dan transfer melalui semua lapangan terbang nasional. Pindaan ini akan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2024. Tiket-tiket yang dikeluarkan sebelum 1 Jun 2024 tidak akan tertakluk kepada kadar baru, walaupun tarikh perjalanan berlaku pada atau selepas 1 Jun 2024.

Tempoh pindaan PSC semasa berkuat kuasa mulai 1 Jun 2024 hingga 31 Disember 2026. Maklumat lanjut mengenai PSC dan Caj Perkhidmatan Penerbangan lain boleh didapati dalam Kertas Keputusan berkenaan Penyeliaan Caj Perkhidmatan Penerbangan untuk RP1 di bawah: