Pilih satu Halaman
Ruang Berita / Kenyataan Media /Data Trafik Penumpang Februari Terbitan MAVCOM Menunjukkan Pemulihan Teguh Industri serta Keyakinan Pengguna

Data Trafik Penumpang Februari Terbitan MAVCOM Menunjukkan Pemulihan Teguh Industri serta Keyakinan Pengguna

1 Apr 2024

Pertumbuhan sebanyak 34.8% tahun-ke-tahun

KUALA LUMPUR,1 APRIL 2024 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) hari ini menerbitkan statistik trafik penumpang udara terbaru bagi bulan Februari 2024, yang menunjukkan peningkatan permintaan perjalanan udara yang ketara dan trajektori ke arah pemulihan industri.

Bagi Februari 2024, Malaysia telah menyaksikan jumlah trafik penumpang mencapai 8.1 juta. Ini menunjukkan peningkatan bulan-ke-bulan (MoM) yang signifikan, iaitu sebanyak 12.6 peratus, berbanding bulan Januari 2024, yang mencatatkan seramai 7.19 juta penumpang. Ini turut menandakan pertumbuhan tahun-ke-tahun (YoY) yang ketara, iaitu sebanyak 34.8 peratus berbanding bulan Februari 2023, yang mencatatkan seramai 6.01 juta penumpang.

Daripada jumlah 8.1 juta tersebut, 7.81 juta atau 96.5 peratus, merupakan trafik penumpang di semua lapangan terbang yang dikendalikan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), manakala baki 0.29 juta penumpang atau 3.6 peratus, mewakili pergerakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai yang dikendalikan oleh Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd.

Data Suruhanjaya menunjukkan pertumbuhan MoM serantau yang ketara, didahului dengan peningkatan trafik penumpang domestik sebanyak 20.4 peratus, iaitu dari 3.32 juta pada bulan Januari ke 3.99 juta pada bulan Februari 2024. Dalam pada itu, trafik penumpang antarabangsa menyaksikan kadar pertumbuhan MoM yang positif sebanyak 5.9 peratus. Pertumbuhan ini boleh dikaitkan dengan beberapa faktor, termasuk musim perayaan Tahun Baru Cina, cuti sekolah selama sebulan, dan pengecualian visa selama 30 hari bagi pelancong dari negara China dan India, yang secara kolektifnya telah merangsang permintaan perjalanan.

Trafik penumpang domestik dan antarabangsa masing-masing menyumbang sebanyak 49.3 peratus dan 50.7 peratus kepada keseluruhan trafik pada Februari 2024. Ini menandakan peningkatan sebanyak 3.2 poin peratus dalam syer trafik penumpang domestik berbanding Januari 2024. 

Sehingga Februari 2024, jumlah trafik penumpang setakat tahun ini mencapai 15.3 juta, menandakan peningkatan ketara berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023, yang mencatatkan 12.6 juta penumpang. Ramalan trafik penumpang udara MAVCOM untuk tahun 2024 berkisar antara 93.9 dan 107.1 juta penumpang, menggariskan trajektori pertumbuhan sektor penerbangan yang dijangkakan.

Momentum pemulihan ini dibuktikan lebih lanjut dengan trafik penumpang Februari 2024 yang mencapai 95.4 peratus daripada jumlah trafik penumpang pada bulan Februari 2019.

Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, berkata, “Sektor penerbangan sedang menuju ke arah pemulihan yang teguh, dengan trafik penumpang udara untuk Februari 2024 menunjukkan peningkatan yang ketara. Data semasa ini menunjukkan bahawa permintaan untuk perjalanan udara di Malaysia mungkin mencapai tahap pra-pandemik menjelang akhir tahun 2024 dan berpotensi untuk melepasinya pada tahun 2025. Walau bagaimanapun, kapasiti pesawat saat ini masih menjadi isu berbangkit berikutan gangguan rantaian bekalan, menyebabkan kelewatan dalam penghantaran pesawat. Oleh itu, adalah penting bagi syarikat penerbangan untuk merancang rangkaian penerbangan mereka secara teliti dan memperuntukkan sumber mereka dengan cekap. Selain itu, pengendali lapangan terbang harus memastikan infrastruktur sedia ada mencukupi dan mampu menampung peningkatan permintaan untuk mengekalkan tahap kualiti perkhidmatan yang tinggi.”

Beliau menambah, “Bukan hanya sekadar penambahan angka, tetapi lonjakan perjalanan udara yang signifikan ini mencerminkan pemulihan kepercayaan pengguna terhadap perjalanan udara yang selamat dan kembalinya hasrat untuk berhubung, menekankan peranan penting sektor penerbangan dalam memudahkan bukan sahaja kecergasan ekonomi tetapi juga pembinaan semula ikatan. Sebagai pengawal selia, MAVCOM mengambil perhatian atas perkembangan ini dan kekal komited dalam memastikan pertumbuhan sektor ini sejajar dengan keperluan rangka kerja perlindungan pengguna dan kualiti perkhidmatan yang teguh, serta pengawasan kawal selia Suruhanjaya. Ini memastikan pemulihan industri bukan sahaja kukuh tetapi juga saksama dan mampan.”

Statistik trafik penumpang diterbitkan secara bulanan.