Pilih satu Halaman
Ruang Berita / Kenyataan Media / MAVCOM Memantau Masa Penggiliran di Lapangan Terbang Antarabangsa KL Terminal 1 & 2

MAVCOM Memantau Masa Penggiliran di Lapangan Terbang Antarabangsa KL Terminal 1 & 2

29 Apr 2024

Prestasi syarikat penerbangan dan lapangan terbang boleh didapati di laman web MAVCOM

KUALA LUMPUR, 29 APRIL 2024Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) hari ini mengumumkan kemajuan terkini dalam pelaksanaan Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan (QoS) Lapangan Terbang.

Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang telah dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL Terminal 1 dan Terminal 2 (KUL T1 dan T2) sejak September 2018. Setakat ini, 20 daripada 28 elemen kualiti perkhidmatan telah dikuatkuasakan, memastikan peningkatan berterusan dalam kualiti perkhidmatan untuk pengguna lapangan terbang. Perkembangan tersebut bertujuan untuk meningkatkan keselesaan pengguna dan menaik taraf tahap perkhidmatan yang diberikan kepada penumpang syarikat penerbangan dan perkhidmatan pengendalian bagasi di lapangan terbang, yang berfungsi sebagai pintu masuk ke Malaysia.

Mulai Mei 2024, Suruhanjaya akan melaksanakan 6 elemen kualiti perkhidmatan yang tertumpu pada masa penggiliran di pusat-pusat pemeriksaan penumpang utama di KUL T1 dan T2. Ini termasuk Pemeriksaan Keselamatan, Laluan Masuk, Keluar dan Pindahan Imigresen, serta Laluan Masuk dan Keluar Kastam. Suruhanjaya menyasarkan untuk melaksanakan baki 2 elemen masa penggiliran menjelang suku keempat 2024, yang merangkumi kaunter Daftar masuk dan kawasan mengambil atau menghantar penumpang di bebendul jalan (kerbside). Untuk tujuan ini, Suruhanjaya akan memulakan pemantauan dan penilaian kualiti perkhidmatan bagi piawaian ini.

Perkembangan ini mewakili penyempurnaan integrasi 28 elemen kualiti perkhidmatan yang terdiri daripada 4 kategori kualiti perkhidmatan iaitu keselesaan dan kemudahan penumpang, masa penggiliran, aliran penumpang dan bagasi, serta kelengkapan pengendali dan kemudahan kakitangan di KUL T1 dan T2.

Sebagai meghargai sumbangan pelbagai pihak berkepentingan bagi pelaksanaan Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang, Suruhanjaya baru-baru ini telah menganjurkan majlis penghargaan untuk pihak-pihak berkepentingan yang terlibat seperti Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). Acara ini meraikan semangat kerjasama dan dedikasi ke arah memartabatkan perkhidmatan lapangan terbang Malaysia.

Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, berkata, “Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang menggariskan komitmen Suruhanjaya untuk mempertingkatkan pengalaman penerbangan secara mampan bagi pengguna lapangan terbang. Kejayaan Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang ini disokong oleh kerjasama yang teguh merentas seluruh komuniti penerbangan. Dengan memupuk perkongsian kerjasama dan mengekalkan ketelusan, kami berdedikasi untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan di semua lapangan terbang, memastikan pengalaman perjalanan yang lancar dan meningkatkan kepuasan pengguna.”

Suruhanjaya juga mengambil langkah proaktif untuk memastikan ketelusan dan penambahbaikan berterusan melalui pengenalan halaman prestasi syarikat penerbangan dan lapangan terbang di laman webnya, www.mavcom.my. Langkah ini bertujuan untuk menyediakan pihak berkepentingan dengan metrik prestasi penting, termasuk on time performance (OTP), pembatalan penerbangan dan kualiti perkhidmatan lapangan terbang dengan memupuk budaya akauntabiliti dan peningkatan berterusan.

“Halaman prestasi ini menandakan ketelusan yang dipertingkatkan dalam sektor penerbangan kita. Ini akan memberi kuasa kepada penumpang untuk membuat pilihan termaklum sambil memacu syarikat penerbangan dan lapangan terbang secara konsisten untuk meningkatkan piawai perkhidmatan mereka secara konsisten,” kata Datuk Seri Hj. Saripuddin.

Suruhanjaya berhasrat untuk melaksanakan sepenuhnya Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang di semua lapangan terbang antarabangsa dan domestik di Malaysia. Pelaksanaan Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang akan dilakukan secara berperingkat, dengan matlamat untuk memastikan lapangan terbang di Malaysia memenuhi piawaian kualiti dan perkhidmatan yang tertinggi.

Suruhanjaya telah memulakan pelaksanaan Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang di Kota Kinabalu (BKI) dan Langkawi (LGK) berkuat kuasa Julai 2023, manakala Kuching (KCH), Miri (MYY), dan Senai (JHB) kini dalam fasa pembangunan dan dijangka akan dilaksanakan menjelang suku ketiga tahun 2024 (3Q24). Memandangkan ciri unik setiap lapangan terbang, elemen kualiti perkhidmatan disesuaikan secara khusus untuk memenuhi keperluan berbeza bagi setiap lokasi.

Lapangan terbang yang dirancang untuk pembangunan pada suku keempat 2024 adalah Subang (SZB), Pulau Pinang (PEN), Kota Bharu (KBR), Sibu (SBW), dan Bintulu (BTU). Bagi lapangan terbang yang selebihnya, Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang akan dilaksanakan secara progresif sehingga 2027.