Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Kenyataan Media /MAVCOM Melaporkan Peningkatan Perjalanan Udara yang Stabil dan Konsisten

MAVCOM Melaporkan Peningkatan Perjalanan Udara yang Stabil dan Konsisten

2 Mei 2024

 

Suku Pertama Tahun 2024 Menyaksikan Anjakan Ke Arah Trafik Udara Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 2 Mei 2024Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) hari ini telah menerbitkan statistik trafik penumpang udara dan kargo terkini bagi suku pertama tahun 2024 (S124). Sorotan statistik menunjukkan corak perjalanan udara telah kembali kepada keadaan pra-COVID-19 di kalangan penumpang Malaysia.

Pada S124, trafik penumpang udara menyaksikan peningkatan tahun-ke-tahun (YoY) yang ketara berbanding suku pertama tahun 2023 (S123), di mana trafik suku tahunan telah meningkat sebanyak 16.1 peratus YoY kepada 22.6 juta penumpang. Pendorong utama lonjakan ini adalah berikutan peningkatan trafik udara antarabangsa sebanyak 39.9 peratus YoY, yang mencecah 11.9 juta penumpang. Trafik penumpang udara domestik suku tahunan pula menurun sedikit, iaitu sebanyak 2.3 peratus, yang berjumlah 10.7 juta penumpang.

Berbanding dengan suku keempat tahun 2023, jumlah trafik penumpang udara pada S124 meningkat sebanyak 2.7 peratus suku-ke-suku (QoQ), meskipun terdapat sedikit penurunan bagi trafik udara domestik sebanyak 2.5 peratus. Trafik penumpang udara antarabangsa meningkat sebanyak 7.9 peratus QoQ.

Pertumbuhan trafik udara suku tahunan direkodkan walaupun terdapat penurunan sebanyak 10.0 peratus bulan-ke-bulan (MoM) daripada 8.1 juta pada Februari 2024 kepada 7.3 juta pada Mac 2024. Bulan tersebut turut menyaksikan penurunan ketara dalam perjalanan udara domestik, iaitu sebanyak 14.8 peratus, daripada 4.0 juta pada Februari kepada 3.4 juta pada Mac 2024. Trafik udara antarabangsa juga turut menyaksikan penurunan sebanyak 5.4 peratus MoM. Jumlah penumpang ini mencerminkan pengurangan aktiviti perjalanan udara semasa bulan Ramadan. Namun begitu, trafik penumpang udara pada Mac 2024 mencatatkan peningkatan sebanyak 5.6 peratus YoY daripada Mac 2023, yang merekodkan seramai 6.9 juta penumpang. 

Trajektori pemulihan industri daripada pandemik COVID-19 menunjukkan bahawa S124 telah mencapai 85.5 peratus daripada paras 2019, dengan pemulihan trafik udara antarabangsa pada kadar 89.3 peratus dan trafik domestik pada kadar 81.7 peratus.

Buat pertama kalinya semenjak pandemik, trafik udara antarabangsa mengatasi trafik udara domestik, mencerminkan pemulihan yang teguh bagi laluan dan frekuensi antarabangsa serta peralihan kembali ke perjalanan antarabangsa, selari dengan pemulihan pelancongan sedunia. Trafik penumpang udara domestik dan antarabangsa masing-masing menyumbang sebanyak 47.5 peratus dan 52.5 peratus daripada jumlah trafik penumpang udara suku tahunan.

Dari segi pergerakan kargo udara, Malaysia telah merekodkan sebanyak 227,365 tan metrik pergerakan kargo pada S124, iaitu penurunan sebanyak 6.3 peratus YoY berbanding 242,750 tan metrik pada S123. Pergerakan kargo udara domestik menurun sebanyak 30.7 peratus YoY manakala pergerakan kargo udara antarabangsa meningkat sebanyak 7.2 peratus YoY berbanding S123.

Dari segi QoQ, pergerakan kargo udara mengalami penurunan sebanyak 10.7 peratus daripada 254,728 tan metrik yang direkodkan pada suku keempat tahun 2023, terutamanya disebabkan oleh faktor kemusiman. Pergerakan kargo udara antarabangsa menurun sebanyak 12.6 peratus QoQ, manakala pergerakan kargo udara domestik menurun sebanyak 5.0 peratus QoQ.

Menjelang suku kedua tahun 2024, Suruhanjaya optimistik akan pemulihan dan pertumbuhan berterusan industri penerbangan, walaupun terdapat pembatalan dan perubahan laluan penerbangan baru-baru ini ekoran konflik berterusan di Timur Tengah. Walaupun masih terlalu awal untuk menentukan kesan konflik, Suruhanjaya menjangkakan jumlah trafik penumpang pada tahun 2024 masih akan berada dalam julat ramalan Suruhanjaya.

Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, berkata, “Apabila kami meneliti jumlah trafik udara bagi S124, adalah jelas bahawa sektor penerbangan sedang mengalami pemulihan yang kukuh. Syarikat penerbangan telah mengalihkan fokus mereka terhadap pemulihan dan penambahan destinasi antarabangsa baharu dalam rangkaian udara mereka. Selain itu, inisiatif pengecualian visa selama 30 hari bagi pelancong dari China dan India telah mewujudkan persekitaran yang kondusifbagi perjalanan udara antarabangsa yang kian pesat meningkat. Walaupun terdapat pengurangan dalam pergerakan kargo udara pada suku pertama, pergerakan kargo udara Malaysia kekal di atas paras pra-pandemik, iaitu sebanyak 100.7 peratus pergerakan kargo udara pada suku pertama tahun 2019.”

Beliau seterusnya menekankan, “Komitmen Suruhanjaya terhadap perlindungan pengguna serta pengawalseliaan kekal teguh dan tidak berbelah bahagi, menggariskan peranan penting industri dalam memupuk jalinan hubungan serta memacu kemampanan ekonomi.”