Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Kenyataan Media / MAVCOM Membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara Syarikat Penerbangan Kargo Berjadual, My Jet Xpress Airlines

MAVCOM Membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara Syarikat Penerbangan Kargo Berjadual, My Jet Xpress Airlines

16 Mei 2024

 

KUALA LUMPUR, 16 Mei 2024Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) syarikat penerbangan kargo berjadual My Jet Xpress Airlines Sdn. Bhd. (My Jet). Keputusan ini dibuat berkuat kuasa mulai 2 Mei 2024 ekoran pembatalan Perakuan Pengendali Udara (AOC) No. 40 My Jet oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). 

Pembatalan ASL oleh Suruhanjaya ini dibuat menurut subseksyen 43(3) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771]. Akta 771 menggariskan bahawa sekiranya pemegang ASL terhenti daripada memegang AOC yang sah, ASL yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya hendaklah disifatkan telah dibatalkan berkuat kuasa mulai tarikh pemegang ASL terhenti daripada memegang AOC. 

Dengan pembatalan ASL ini, My Jet dilarang bagi membawa melalui udara atau menggunakan mana-mana pesawat bagi membawa mel atau kargo untuk sewa atau upah dalam perjalanan berjadual atau tidak berjadual sama ada bagi laluan domestik atau antarabangsa. Jika syarikat penerbangan tersebut menjalankan perkhidmatan sedemikian, ianya merupakan suatu kesalahan di bawah Akta 771. 

Pada 9 September 2021, Suruhanjaya telah meluluskan pembaharuan ASL My Jet selama 48 bulan dari 1 Oktober 2021 hingga 30 September 2025. ASL ini telah ditetapkan dengan syarat-syarat tertentu oleh Suruhanjaya yang perlu dipatuhi oleh syarikat penerbangan tersebut. 

Pada 5 Julai 2023, Suruhanjaya telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada My Jet mengenai ketidakpatuhan syarikat penerbangan tersebut terhadap syarat-syarat yang telah ditetapkan kepada ASL. Suruhanjaya mengambil tindakan selanjutnya pada 1 November 2023 dengan penggantungan ASL My Jet bagi tempoh 6 bulan berkuat kuasa serta-merta sehingga 30 April 2024.

Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, berkata, “Industri penerbangan dipenuhi dengan cabaran dan hanya syarikat yang mempunyai asas dan pengetahuan komersial yang mendalam boleh mengekalkan operasi jangka panjang. Proses penilaian Suruhanjaya amat teliti yang mana kami menilai dan menyemak semua permohonan lesen atau permit berdasarkan kriteria tertentu. Suruhanjaya berusaha untuk memastikan hanya syarikat-syarikat yang memenuhi kriteria dan keperluan tersebut dibenarkan beroperasi.”

My Jet, yang sebelum ini dikenali sebagai Neptune Air, telah ditubuhkan pada tahun 1970 sebagai syarikat penerbangan kargo yang berpangkalan di Kuala Lumpur, Malaysia. Beroperasi dari pangkalan utamanya di Lapangan Terbang Antarabangsa KL, My Jet menawarkan perkhidmatan kargo, serta pajakan basah dan pajakan kering pesawat kargo (cargo aircraft wet and dry leasing services). Pada tahun 2018, Neptune Air telah distruktur semula sebagai My Jet Xpress Airlines.