Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Kenyataan Media / April 2024 Mencatatkan Pertumbuhan Kukuh Perjalanan Udara, Dipacu oleh Faktor Musim dan Penerbangan Antarabangsa

April 2024 Mencatatkan Pertumbuhan Kukuh Perjalanan Udara, Dipacu oleh Faktor Musim dan Penerbangan Antarabangsa

20 Mei 2024

 

KUALA LUMPUR, 20 Mei 2024Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada hari ini menerbitkan statistik trafik penumpang udara terkini bagi bulan April 2024 yang menunjukkan pertumbuhan bulan-ke-bulan (MoM) dan tahun-ke-tahun (YoY) yang ketara.

Trafik penumpang udara pada bulan April 2024 mencecah 7.9 juta, dengan peningkatan YoY yang tinggi, iaitu 19.5 peratus dari April 2023 serta peningkatan sebanyak 8.0 peratus MoM dari Mac 2024. Pertumbuhan tersebut sebahagian besarnya didorong oleh perjalanan udara domestik, terutamanya perjalanan semasa musim cuti Hari Raya Aidilfitri yang merekodkan 3.9 juta penumpang, iaitu peningkatan sebanyak 14.9 peratus berbanding bulan sebelumnya iaitu Mac 2024. Trafik domestik menyumbang sebanyak 49.8 peratus daripada jumlah keseluruhan trafik penumpang pada bulan April 2024.

Trafik antarabangsa mengalami peningkatan sebanyak 1.9 peratus MoM kepada 4.0 juta penumpang. Khususnya, jumlah penumpang yang pergi dan balik dari rantau ASEAN telah meningkat 4.4 peratus MoM kepada 2.1 juta, manakala, trafik antarabangsa bukan ASEAN telah mengalami sedikit penurunan iaitu sebanyak 0.7 peratus kepada 1.9 juta penumpang. Secara keseluruhan, trafik antarabangsa mewakili 50.2 peratus daripada jumlah trafik penumpang pada April 2024. 

Jumlah trafik penumpang udara pada bulan April 2024 mencapai 86.3 peratus daripada paras pra-pandemik April 2019. Pemulihan ini didahului oleh trafik penumpang udara antarabangsa yang mencapai 88.1 peratus daripada paras April 2019. Trafik penumpang udara domestik turut mempamerkan kekukuhan dengan mencapai 84.5 peratus daripada jumlah trafik yang dicatat pada April 2019.

Secara kumulatif, trafik penumpang udara dari Januari hingga April 2024 telah mencecah 30.5 juta. Ini merupakan peningkatan sebanyak 17.0 peratus YoY berbanding 26.1 juta penumpang yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun 2023. Pertumbuhan tersebut sebahagian besarnya didorong oleh kenaikan dalam trafik penumpang udara antarabangsa sebanyak 39.4 peratus, atau 15.8 juta daripada 11.4 juta trafik penumpang dalam 4 bulan pertama tahun 2023. Justeru, peningkatan ini mencerminkan momentum pemulihan industri serta pemulihan laluan dan frekuensi antarabangsa. Trafik domestik menurun sedikit kepada 14.7 juta, atau sebanyak 0.4 peratus YoY. 

Menurut pemerhatian data Suruhanjaya, terdapat peningkatan dalam kesalinghubungan antarabangsa selaras dengan usaha syarikat penerbangan yang menumpukan perhatian dan sumber terhadap pemulihan laluan dan frekuensi antarabangsa. Ini mencerminkan trend sebelum penularan COVID-19. Permintaan perjalanan dalam kalangan pengguna turut menunjukkan trend ini. Secara keseluruhan, trafik penumpang domestik dan antarabangsa masing-masing menyumbang sebanyak 48.1 peratus dan 51.9 peratus daripada jumlah trafik dari bulan Januari hingga April 2024.

Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, menyatakan, “Jumlah trafik udara pada April 2024 menunjukkan pemulihan berterusan sektor penerbangan. Kebangkitan semula trafik antarabangsa merupakan petanda positif bagi pemulihan keseluruhan sektor perjalanan dan pelancongan global. Ia turut menunjukkan keyakinan pengguna yang teguh terhadap perjalanan udara. Suruhanjaya menjangkakan akan terdapat peningkatan selanjutnya dalam perjalanan antarabangsa, terutamanya dengan pengecualian visa 30 hari bagi pelancong dari China dan India.”

Beliau menambah, “MAVCOM kekal komited dalam menyokong pemulihan industri penerbangan, memastikan standard kualiti perkhidmatan lapangan terbang (QoS) yang tinggi serta melindungi hak-hak pengguna penerbangan. Baru-baru ini kami telah memajukan Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa KL Terminal 1 dan 2 dengan pemantauan masa penggiliran dan menambahbaik pengalaman penumpang. Sektor penerbangan terus memainkan peranan penting dalam menghubungkan orang ramai dan memacu kemampanan ekonomi.”