Pilih satu Halaman

Ruang Berita / Kenyataan Media / MAVCOM Melaporkan Pertumbuhan Berterusan Perjalanan Udara pada Bulan Mei Pemulihan Antarabangsa yang Kukuh

MAVCOM Melaporkan Pertumbuhan Berterusan Perjalanan Udara pada Bulan Mei Pemulihan Antarabangsa yang Kukuh

26 Jun 2024

 

KUALA LUMPUR, 26 JUN 2024 – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) hari ini mengeluarkan statistik terkini trafik penumpang udara bagi bulan Mei 2024, yang mempamerkan pertumbuhan dan pemulihan yang mampan dalam sektor penerbangan.

Pada Mei 2024, trafik penumpang udara mencatat sebanyak 8.0 juta, meningkat 0.8 peratus bulan-ke-bulan (MoM) berbanding 7.9 juta penumpang pada bulan April 2024, dan meningkat 12.2 peratus tahun-ke-tahun (YoY) berbanding 7.1 juta penumpang pada bulan Mei 2023. Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh peningkatan perjalanan antarabangsa, dengan kedua-dua rantau ASEAN dan bukan ASEAN menyumbang kepada peningkatan tersebut, walaupun terdapat sedikit penurunan dalam trafik domestik berbanding bulan sebelumnya. Trafik penumpang udara bukan ASEAN mencatatkan peningkatan MoM tertinggi sebanyak 2.9 peratus, dari 1.9 juta pada bulan April ke 2.0 juta pada bulan Mei 2024. Secara keseluruhan, trafik antarabangsa menyaksikan pertumbuhan MoM sebanyak 2.2 peratus.

Pada Mei 2024, trafik penumpang udara domestik menyumbang 49.1 peratus daripada jumlah keseluruhan, manakala trafik antarabangsa pula menyumbang sebanyak 50.9 peratus. Terdapat sedikit perubahan berbanding April 2024, di mana trafik domestik adalah 49.8 peratus manakala trafik antarabangsa adalah 50.2 peratus. Peratus sumbangan trafik antarabangsa yang tinggi secara berterusan memberi gambaran bahawa kecenderungan untuk perjalanan antarabangsa semakin meningkat.

Trafik penumpang udara untuk bulan Mei 2024 mencapai 97.2 peratus daripada paras pra-pandemik. Trafik penumpang udara antarabangsa menunjukkan daya tahan yang luar biasa, mencapai 99.8 peratus berbanding paras Mei 2019 dengan 4.1 juta penumpang. Trafik domestik juga menunjukkan pemulihan yang kukuh iaitu 94.7 peratus berbanding paras 2019, dengan jumlah 3.9 juta penumpang pada bulan Mei 2024 berbanding 4.1 juta pada bulan April 2019.

Untuk lima bulan pertama tahun 2024, trafik penumpang udara kumulatif mencatatkan 38.5 juta, peningkatan sebanyak 16.0 peratus YoY berbanding 33.2 juta dalam tempoh yang sama pada tahun 2023. Trafik penumpang udara antarabangsa melonjak kepada 19.9 juta, menandakan peningkatan sebanyak 38.3 peratus daripada 14.4 juta dalam lima bulan pertama tahun 2023. Lonjakan ini menandakan pemulihan yang kukuh dalam industri penerbangan dan pemulihan laluan dan kekerapan antarabangsa. Trafik penumpang udara domestik berkurang sedikit sebanyak 1.1 peratus YoY kepada 18.6 juta, berbanding 18.8 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Setakat bulan Mei 2024, trafik domestik menyumbang sebanyak 48.3 peratus, manakala trafik antarabangsa pula menyumbang sebanyak 51.7 peratus daripada jumlah keseluruhan trafik penumpang tahun ini. Peratusan taburan ini sejajar dengan trend pra-COVID, di mana perjalanan antarabangsa kebiasaannya lebih tinggi. Pemulihan awal selepas pandemik menyaksikan perjalanan domestik pulih terlebih dahulu; namun, fokus kini kembali beralih ke laluan antarabangsa. Peralihan ini mencerminkan trend yang lebih luas bagi peningkatan permintaan pengguna untuk perjalanan antarabangsa apabila pelancongan global pulih daripada sekatan akibat pandemik.

Datuk Seri Hj. Saripuddin Hj. Kasim, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, menyatakan, “Angka trafik bulan Mei 2024 menunjukkan daya ketahanan dan pemulihan berterusan dalam sektor penerbangan, terutamanya bagi trafik antarabangsa, yang merupakan penunjuk positif bagi kesihatan perjalanan dan pelancongan global. Dengan banyak pemulihan laluan antarabangsa dan peningkatan kekerapan penerbangan, kami menjangkakan trend ini akan berterusan. MAVCOM kekal komited menyokong pemulihan industri penerbangan, memastikan piawaian tinggi dalam kualiti perkhidmatan lapangan terbang dan melindungi hak pengguna.”