Pilih satu Halaman

Industri / Pelesenan / Lesen Pengendali Aerodrom

Lesen Pengendali Aerodrom

Lesen Pengendali Aerodrom (AOL) diperlukan untuk mengendalikan kawasan (termasuk lapangan terbang atau padang terbang komersial) di mana pesawat komersial berlepas atau mendarat dan terlibat dalam pengangkutan penumpang, mel atau kargo bagi tujuan yang berkaitan dengan aktiviti memberi sewa atau upah (hire or reward). Setiap AOL merangkumi syarat-syarat terperinci yang terikat dengan undang-undang, yang mana ia menyatakan jenis pesawat yang diluluskan, tanggungjawab pengendali, tempoh operasi dan hal-hal seumpamanya yang dianggap perlu oleh MAVCOM.

Pemohon yang berjaya akan diberikan Kelulusan Bersyarat pada peringkat awal, yang membolehkan pemohon mengemukakan permohonan Sijil Aerodrom (AC) kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk operasi yang dicadangkan. AOL hanya akan dikeluarkan kepada pemohon yang memiliki AC yang sah dari CAAM.

Aerodrom milik persendirian yang tidak dibuka kepada pengunaan perkhidmatan pengangkutan awam udara atau aerodrom yang tidak mengutip caj perkhidmatan penerbangan di bawah Peraturan-Peraturan Suruhanjaya Penerbangan Awam (Caj Perkhidmatan Penerbangan) 2016 adalah tidak tertakluk kepada keperluan pensijilan daripada MAVCOM.

Memohon Lesen Pengendali Aerodrom (AOL) 

Mana-mana entiti yang mahu memohon AOL hendaklah mengemukakan borang ini (Borang permohonan AOL) yang telah lengkap diisi kepada MAVCOM melalui portal AeroLicence, bersama dengan maklumat berkaitan seperti yang tersenarai di Lampiran C pada borang permohonan AOL.

Pemohon dinilai oleh MAVCOM berdasarkan beberapa kriteria, termasuk tetapi tidak terhad kepada yang berikut:

  • struktur pemilikan pemohon tersebut yang mana sama ada pemohon adalah syarikat yang ditubuhkan di Malaysia dan dikawal secara langsung oleh syarikat/warganegara Malaysia;
  • permintaan bagi pengangkutan udara di kawasan operasi yang dicadangkan;
  • pengalaman dan kecekapan pasukan pengurusan syarikat;
  • kebolehlaksanaan pelan perniagaan yang dicadangkan;
  • daya tahan kewangan perniagan; dan
  • kewujudan perkhidmatan lain yang serupa dalam industri.

Permohonan bagi AOL memerlukan minima 90 hari untuk diproses. MAVCOM hanya akan memulakan proses penilaian sesuatu permohonan setelah menerima permohonan lengkap bersama dengan bayaran yang ditetapkan. Permohonan yang tidak lengkap akan mengakibatkan kelewatan dalam pemprosesan dan berkemungkinan ditolak. Keputusan terbaharu MAVCOM berkaitan AOL boleh didapati di sini.

Sekiranya pemegang lesen gagal mematuhi mana-mana syarat yang ditetapkan oleh MAVCOM berkaitan lesen, MAVCOM berhak untuk meminda, membatal, atau menggantung lesen tersebut. MAVCOM boleh meluluskan AOL untuk tempoh sehingga sepuluh (10) tahun dari tarikh kuat kuasa.

Memperbaharui Lesen Pengendali Aerodrom (AOL)

Untuk memperbaharui AOL anda, permohonan bertulis hendaklah dikemukakan kepada MAVCOM bersekali dengan maklumat yang disenaraikan di Lampiran C pada borang permohonan AOL. Setiap pemegang AOL dikehendaki mengemukakan laporan operasi dan kewangan secara berkala kepada MAVCOM sebagai sebahagian daripada syarat lesen mereka. Permohonan bagi pembaharuan lesen hendaklah dibuat sekurang-kurangnya 90 hari sebelum tarikh tamat lesen sedia ada dan hendaklah disertakan dengan bayaran yang ditetapkan.