Industri / Pelesenan / Lesen Perkhidmatan Udara
Lesen Perkhidmatan Udara
Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) diperlukan untuk mengangkut penumpang, mel atau kargo melalui udara bagi tujuan yang berkaitan dengan aktiviti memberi sewa dan mengambil upah (hire or reward) di antara mana-mana dua (2) tempat atau lebih, yang mana salah satu (1) daripadanya terletak di dalam sempadan Malaysia. Syarat ini tidak terpakai bagi sesiapa yang telah dibenarkan untuk mengendali operasi perjalanan berjadual ke atau dari Malaysia, di bawah mana-mana syarat perjanjian atau pelan yang dibuat oleh Kerajaan Malaysia. Sebagai contoh, syarikat penerbangan asing yang diberikan kebenaran untuk beroperasi ke Malaysia di bawah Perjanjian Perkhidmatan Udara.
Setiap ASL merangkumi syarat-syarat terperinci yang terikat dengan undang-undang, yang mana ia menyatakan jenis perkhidmatan yang diberikan hak pelaksanaan kepada pemegang lesen, tempoh sah lesen dan juga syarat-syarat lain yang berkaitan.
ASL membolehkan pemegang lesen tersebut untuk menjalankan perkhidmatan penerbangan berjadual, seperti penerbangan komersial berjadual. Bagi perkhidmatan penerbangan tidak berjadual, permit yang tepat untuk dipohon adalah Permit Perkhidmatan Udara (ASP).
Pemohon yang berjaya akan diberikan Kelulusan Bersyarat pada peringkat awal, yang membolehkan pemohon mengemukakan permohonan Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk operasi yang dicadangkan. ASL hanya akan dikeluarkan kepada pemohon yang memiliki AOC sah yang dikeluarkan oleh CAAM.
Memohon Lesen Perkhidmatan Udara (ASL)
Mana-mana entiti yang berhasrat untuk memohon ASL hendaklah mengemukakan borang ini yang telah lengkap diisi (Borang permohonan ASL) kepada MAVCOM melalui portal AeroLicence, bersekali dengan maklumat-maklumat yang disenaraikan pada Lampiran C borang permohonan ASL.
Permohonan dinilai oleh MAVCOM berasaskan beberapa kriteria, termasuk tetapi tidak terhad kepada yang berikut:
- struktur pemilikan pemohon tersebut yang mana sama ada pemohon adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan di Malaysia dan dikawal secara langsung oleh syarikat/warganegara Malaysia;
- permintaan bagi pengangkutan udara di dalam kawasan operasi yang dimohon;
- pengalaman dan kecekapan pasukan pengurusan syarikat;
- kebolehlaksanaan pelan perniagaan yang dicadangkan;
- daya tahan kewangan perniagaan; dan
- kewujudan perkhidmatan lain yang serupa serta kecekapan dan kekerapan perkhidmatan yang ditawarkan.
Permohonan bagi ASL memerlukan minima 90 hari untuk diproses. MAVCOM hanya akan memulakan proses penilaian sesuatu permohonan setelah menerima permohonan lengkap bersama dengan bayaran yang ditetapkan. Permohonan yang tidak lengkap boleh menyebabkan kelewatan di dalam memproses permohonan tersebut dan berkemungkinan ditolak. Keputusan terkini berkaitan ASL yang diluluskan oleh MAVCOM boleh didapati di sini.
Sekiranya pemegang lesen gagal mematuhi mana-mana syarat berkaitan lesen yang ditetapkan oleh MAVCOM, MAVCOM berhak untuk meminda, membatal, atau menggantung lesen tersebut.
MAVCOM boleh meluluskan ASL untuk tempoh sehingga sepuluh (10) tahun dari tarikh kuat kuasa.
Memperbaharui Lesen Perkhidmatan Udara (ASL)
Untuk memperbaharui ASL anda, permohonan bertulis hendaklah dikemukakan kepada MAVCOM bersekali dengan semua maklumat yang disenaraikan di Lampiran C pada borang permohonan ASL.
Setiap pemegang ASL dikehendaki mengemukakan laporan operasi dan kewangan secara berkala kepada MAVCOM sebagai sebahagian daripada syarat lesen mereka.
Permohonan bagi pembaharuan lesen hendaklah dibuat sekurang-kurangnya 90 hari sebelum tarikh tamat lesen sedia ada dan hendaklah disertakan dengan bayaran yang ditetapkan.